Sabtu, 24 Disember 2011

Pesanan Buat Puteh

Salam,

Semalam saya mendapat panggilan dari Puteh, anak saudara saya di kampung, memberitahu dia mendapat tawaran kerja di Pulau Pinang. Ini merupakan tawaran pekerjaan pertama beliau, satu pencapaian baru dalam perjalanan hidupnya.

Sayangnya, saya tidak dapat menghadiri majlis meraikan beliau pada minggu ini yang dianjur oleh keluarga dan rakan taulan kami. Kabarnya, ia diadakan di dusun keluarga yang di isi dengan doa kesyukuran serta sajian buah-buah durian, manggis dan rambutan.

Kata beliau, dalam keseronokan itu ada perasaan takut dan gementar, maklum sajalah inilah kali pertama beliau akan hidup merantau di tempat orang, berhijrah dari kampung ke kota besar pula. Dah tentu banyak pancaroba, sambungnya.

'Pak Ngah pun rasa begitu juga semasa kali pertama menjejakkan kaki di Kuala Lumpur' jawab saya. Lalu saya pun teringat kepada pesanan Emak ketika mengizinkan saya merantau ke ibu kota itu dan kini saya sampaikan pula kepada Puteh untuk amalan beliau seperti berikut:-

Jika diri ingin dipandang
Jauhi kata tinggi melambung
Hindari sifat ayam di kandang
Bertelur satu riuh sekampung

Jauhi sifat kelaku pandai
Angkuh dan sombong menepuk dada
Ingat petua penyu di pantai
Telur beratus tapi tak bangga

Bila diri ingin dikenang
Semailah benih di tengah sawah
Bawalah rasmi padi di ladang
Tambah berisi tunduk ke bawah

Bila ingin harum bak mawar
Jauhi sifat meninggi diri
Bisa ular tidakkan tawar
Walau menyuruk di batang berduri

Namun saya yakin dengan jati diri anak saudara itu, perisai dirinya kuat, tambahan pula telah di isi dengan didikan agama, pekertinya sebagai anak Melayu yang penuh adab dan kesopanan memang menjadi kebanggaan keluarganya dan kami. Dia boleh membawa dirinya kemana saja dengan keperibadian begitu. Insyaallah.

Wasalam.

Khamis, 8 Disember 2011

Anak Sungai Dan Parit Semulajadi Perlu Dipelihara

Salam,

Baru-baru ini anak saya berhasrat untuk memelihara ikan pelaga. Maka kami pun ke 'Pet Shop' untuk membelinya. Lalu saya teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, saya tak perlu untuk mendapatkannya dikedai, memadai dengan turun ke anak-anak sungai atau parit di kampung seorang sahabat saya di Perak untuk menangguknya. Selain ikan pelaga, saya juga boleh menangkap ikan semelai, sepat dan puyu.

Kelihatan anak saya teruja mendengar cerita masa kanak-kanak saya di kampung, dan meminta membawanya ke sana. Molek juga cadangan dia kerana dapatlah saya menziarah sahabat yang telah bertahun tidak berjumpa. Saya lantas menghubungi beliau dan menyatakan hasrat untuk melawat kampungnya. Sambil menyindir kerana sudah lama tidak menziarahnya, dia memberitahu anak-anak sungai itu sudah tiada lagi, tercemar atau hampir mati akibat pembangunan dan menjadi mangsa pencemaran campak buang oleh penternak, pengilang dan penduduk setempat yang tidak menghargai anak-anak sungai sebagai sumber.

Lantas saya terfikir, mengapakah ada lagi mentaliti masyarakat yang masih rendah untuk menghargai anak-anak sungai kurniaan alam ini. Sedangkan anak-anak sungai itu berfungsi sebagai sumber semula jadi untuk bekalan air bagi kegunaan domestik, pertanian dan penternakan juga.

Saya teringat pembentangan Pn. Haliza Abdul Rahman, Pensyarah Universiti Sains Malaysia di Persidangan Geografi 2007 pada 8-9 September 2007. Beliau memberikan beberapa saranan yang sangat bernas untuk tindakan kita. Diantaranya, beliau berkata sikap masyarakat harus diubah terlebih dahulu untuk  memelihara dan memulihara alam sekitar, dan disusuli pula oleh pihak berwajib untuk mengambil segala langkah saintifik dan pengurusan kawalan terhadap pencemaran sungai, barulah segala usaha untuk pemeliharaan sungai itu lebih bermakna dan berjaya dilaksanakan kerana sebahagian besar masyarakat telah memahami dan berupaya menilai kepentingan sungai, anak-anak sungai dan parit anugerah semula jadi alam kepada kita.

Saya sekadar berkongsi pandangan.

Wasalam.

Khamis, 1 Disember 2011

Pemajuan Sukan Sepak Takraw Malaysia Perlu 'Re-engineering'

Salam,

Sukan SEA 2011 telahpun berlalu, namun semasa saya pulang ke kampung baru-baru ini, teman-teman di kampung masih lagi memperkatakan tentang kegagalan pasukan sepak takraw kita dalam temasya  sukan itu. Maklum sajalah, sukan ini telah menjadi minat dan tumpuan kami sejak kecil lagi. Inilah sukan yang kami bermain semasa di kampung dan di sekolah dahulu.

Pada waktu itu, terdapat dua gelanggang sepak takraw di kampung saya, tetapi hari ini, tapak tersebut sudah tiada lagi. Anak-anak muda lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti lain. Sukan sepak takraw sudah terpinggir di kampung saya. Bakat yang mungkin ada pada anak-anak muda di kampung ini hilang begitu saja. Tenggelam jualah ia sebagai sukan warisan pusaka bangsa di kampung ini.

Berbalik kepada prestasi pasukan sepak takraw negara kita, kekalahan demi kekalahan dalam beberapa kejohanan yang kita sertai amat mengecewakan. Ia juga membimbangkan bila pasukan dari Korea Selatan dan Indonesia sudah mampu untuk membelasah pasukan kita. Malah pasukan Myanmar dan Jepun sudah boleh menunjukkan taring mereka.

Keresahan ini amat dirasakan oleh para peminat sukan tanah air, sehingga mempersoalkan kewibawaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), malah sampai mencela kepimpinan Presidennya. Ada benarnya kritikan-kritikan pedih itu diterima oleh Badan ini, sebagai contoh, Ketua Jurulatih Jamaluddin Hassan berkata beliau tidak sempat untuk mempersiapkan skuad sepak takraw negara kerana baru menjawat tugas tersebut pada bulan April yang lalu, sedangkan terdapat pihak lawan yang sudah mempersiapkan pasukan mereka untuk Sukan SEA 2011 ini sejak tahun 2007 lagi. Manakala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata beliau tidak nampak kesalahan patut diletakkan kepada jurulatih kerana pemain sendiri takut berdepan dengan lawan (Sinar Harian, 22/11/11).

Alasan-alasan di atas hanya menunjukkan sesuatu yang tidak baik oleh pengurusan PSM dalam menyediakan para pemain dan pasukan negara untuk temasya Sukan SEA ini. Bukanlah kita ingin menafikan usaha dan keringat PSM dalam membangunkan sukan sepak takraw di negara ini, namun hasilnya tidak kelihatan kerana sasaran sekurang-kurangnya satu emas melayang jauh.

Saya tertarik dengan pendapat seorang teman saya, katanya 'May be PSM needs a re-engineering, the radical redesign of processes, organization and culture to achieve a quantum leap in performance'. Saya percaya Datuk Ahmad boleh melakukannya. Saya melihat beliau mempunyai tinggi jati diri, mental teguh, bergolok secara peribadi demi pemajuan sukan sepak takraw dan yang paling penting tidak mudah beralah dengan desakan. Mungkin kata-kata Vince Lombardi, ketua jurulatih lagenda American Football dalam tahun 60'an ini dapat membakar lagi semangat beliau.

1. Mental toughness is essential to success
2. The harder you work, the harder to surrender
3. It's not whether you get knocked down, It's whether you get up again
4. They may not love you at the time, but they will later

Semua pihak perlu membantu PSM untuk meletakkan semula Malaysia sebagai penakluk dunia. Saya sekadar memberi pandangan, mungkin berguna juga.

Wasalam.

Rabu, 16 November 2011

Kisah Seorang Peniaga Tapai

Salam,

Setiap kali kalau saya ke pekan Tangkak, di Johor pada pagi Ahad, samada atas urusan kerja atau ziarah, saya tidak lupa untuk singgah di Pasar Tani, di Jalan Naib Long, kerana di sini terdapat tapai pulut dan ubi yang lazat untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Selain rasa tapainya yang enak, apa yang menambat hati saya ialah sikap peniaganya yang peramah, sentiasa tersenyum dan pemurah. Pakcik penjual tapai ini suka menambah satu atau dua bungkus produknya kepada pembeli sebagai hadiah.

Pada minggu yang lalu, saya berkesempatan untuk berbual panjang dengannya, sambil bertanyakan tentang perniagaan beliau itu.  Jualan tapai Pakcik laris di sini dan selalu mendapat tempahan awal dari pelanggan, katanya. Saya bertanyakan juga rahsia kejayaannya. Pakcik pastikan rasa tapai itu sentiasa sedap dan tidak berubah-ubah. Semasa membuatnya, badan kita kena bersih dan tidak bercakap yang bukan-bukan, jika tidak tapai itu kurang menjadi. Kita juga kena ramah dan melayan pelanggan dengan baik. Hadiahkan sebungkus dua barangan kita itu kepada pembeli untuk mendapat berkat.

Wah! hebat Pakcik ini. Saya rasa bertuah mendapat tips perniagaan sebegini, amat relevan dan harus menjadi contoh kepada peniaga yang lain. Pertamanya, Pakcik ini menjaga kualiti produknya secara konsisten, dengan memastikan rasa produknya itu sedap dan tidak berubah pada setiap kali dia berjualan. Kedua, beliau amat berdisiplin tentang menjaga kebersihan produknya, samada semasa membuatnya atau semasa berjualan. Ketiga, dia mempunyai strategi hubungan pelanggan yang baik, ramah dan mesra serta sentiasa tersenyum ketika melayani pelanggan. Keempat, menghadiahkan kembali sedikit keuntungannya kepada pelanggan. Kelima, beliau mahu segala usaha dan perniagaannya mendapat keberkatan Allah SWT.

Diakhir perbualan kami, saya sempat berjenaka dengannya. Kalau di Kuala Lumpur sana, saya terpaksa membayar untuk mendapat ilmu jualan ini dalam seminar atau bengkel usahawan, tetapi pada hari ini Pakcik memberikan saya ilmu yang amat berguna secara percuma.

Kesimpulannya, saya kagum dan sangat hormat dengan peniaga Melayu yang berpekerti tinggi seperti Pakcik penjual tapai ini.

Wasalam.

Jumaat, 4 November 2011

'Sexuality Rights' Yang Songsang


Salam,

Bulan November ini, kita dihangatkan dengan Festival Seksualiti Merdeka 2011, satu acara mengenai 'sexuality rights' dalam memperjuangkan hak para pengamal LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) di negara ini. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kita bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk menzahirkan diri mereka yang sebenar, dan bebas dari sebarang bentuk diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi dan perilaku seksual mereka.

Festival ini bukanlah satu program baru, tetapi telah diadakan secara tahunan sejak 2008 lagi dengan tema-tema hebat seperti 'Queer without fear (2011), Our bodies our rights (2010), We are family (2009) dan If one of us ain't free, none of us are!(2008). Ia diisi dengan mengadakan bengkel, perbincangan, tayangan filem, pelancaran buku, aktiviti seni dan sebagainya.

Namun, pada tahun ini penentangan terhadap festival ini datang dari banyak pihak kerana dilihat sebagai memperjuangkan kemungkaran, menodai adab dan budaya serta amat berlawanan dengan fitrah manusia. Semalam pihak polis telah mengeluarkan arahan kepada penganjur supaya membatalkan festival tersebut kerana melanggar undang-undang dan bertentangan dengan ajaran pelbagai agama di negara ini.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya terhadap gejala songsang ini, kerana berasa sedih mengapakah ada orang Melayu yang murni nilai adat resam dan budayanya turut terlibat dalam program seperti ini? Dan sebagai Melayu Islam, seharusnya tauhid kepada Allah menjadi pegangan pokok untuk kita bertindak benar dalam hubungan sesama manusia, diantaranya membimbing kita dengan prinsip mu'asyarah bil ma'ruf (pergaulan yang sopan dan santun), baik dalam hubungan kemanusiaan mahupun seksual.

Saya bimbang program seperti ini akan hanya memperdayakan orang Melayu, terutamanya mereka yang tidak sensitif terhadap nilai dan martabad bangsa akan turut serta menyuburkan amalan LGBT dalam masyarakat kita. Saya juga bimbang akan tiba masanya mereka akan menuntut untuk menghalalkan pula gejala 'incest sukarela' atas nama hak  dan kebebasan 'sexuality independence'. 

Gerakan hak dan kebebasan songsang ini wajib dihentikan dan perlu ada satu cara lain untuk membetulkan keadaan amalan LGBT di negara ini, yang nampaknya semakin menular dan berani. Ia laksana bara dalam sekam, kemungkinan ada matlamat yang lebih besar yang tersembunyi.

Akhirnya, syabas kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang telah bertindak betul dengan mengharamkan terus program ini.

Wasalam. 

Rabu, 2 November 2011

Sarina, Sahabat Yang Hebat

(Sarina@ tahun 2011)
Salam,

Kelmarin, saya dan rakan-rakan meraikan seorang sahabat kami yang akan berhijrah ke daerah baru, beranjak untuk meningkatkan keupayaan diri, melangkah untuk menabur bakti di gelanggang yang lebih mencabar. Ia satu tekad dan pembaruan diri yang 'continuous' bagi membina masa depan kerjayanya.

Sarina, seorang sahabat dan pekerja yang hebat, kerana itulah saya rasa perlu untuk mencatatkan wanita ini di laman ini. Dia seperti wanita -wanita melayu lain, cantik, bersopan santun, lemah lembut dan tekun bekerja. Saya kagum dengan personalitinya, bak kata orang tua-tua:-
Bercakap lurus berkata benar
Pantang sekali berlaku kasar
Ramah kepada kecil dan besar
Pantang memilih membezakan orang
Salah ditimbang baik dibalas
Di muka terang di belakang jelas

Sebagai pekerja, sahabat saya ini memiliki keupayaan membentuk arah, mengungkap ide dan dapat diajak untuk berkomunikasi, mampu memberi motivasi dan semangat kepada rakan kerja yang lain. Dijalur inilah, saya yakin Sarina akan terus berjaya dan melangkah maju dalam setiap pekerjaan, azam dan iltizamnya.

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang jua

Semoga Sarina dan keluarga sentiasa dilimpahi rahmat dan kasih Allah SWT.

Wasalam.

Khamis, 27 Oktober 2011

Perayaan Diwali 2011 - Terkenang Teman-Teman Lama


Salam,

Semalam, saya menziarahi rumah seorang teman yang merayakan sambutan hari Deepawali. Seronok dapat bertemu kawan-kawan lama, terutamanya yang pernah bersama saya mengharungi hidup di Kuala Lumpur pada tahun 70'an yang lalu.

Dalam keseronokan itu, saya lalu terkenang kepada tiga orang teman rapat saya bernama Deva, Joseph Harris dan Stephen Thomas Selvarajah. Deva telah meninggal dunia. Harris bekerja di New Guinea. Manakala Stephen tidak saya ketahui dimana beliau kini berada.

Kami merupakan teman karib yang sentiasa menemani disaat senang maupun susah. Suka dan duka dialami bersama. Semangat dan dukungan diantara kami menjadikan persahabatan kami itu hebat dan tidak ternilai harganya.

Namun, perjalanan masa dan membina kerjaya masing-masing membuatkan kami terpisah. Apa yang tetap terpahat di hati saya ialah nilai persahabatan kami yang sangat indah, banyak terdapat kenangan manis di dalamnya.

Benarlah kata seorang rakan saya, hidup tanpa sahabat laksana biduk yang terapung-apung di lautan. Oh..saya amat merindui mereka!

Wasalam.

Khamis, 8 September 2011

Belajar Dari Bencana Somalia


Salam,

Al-Fatihah kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.
Wartawan Malaysia yang terkorban dalam Misi Kemanusiaan Somalia
 pada Jumaat, 2 September 2011. Moga rohnya dicucuri rahmat

Bencana kemarau dan kebuluran yang menghentam Somalia semakin memburuk meskipun begitu banyak berdatangan bantuan oleh masyarakat antarabangsa. Angka kematian meningkat setiap hari. Kanak-kanak merupakan mangsa terbesar dalam krisis tersebut.
  • 05.08.11. Nancy Lindborg, Pegawai U.S Government & Aid Arm melaporkan sejumlah 29,000 kanak-kanak Somali dibawah umur 5 tahun mati dalam tempoh 90 hari yang lalu di Selatan Somalia.
  • 16.08.11. U.N Refugee Agency melaporkan seramai 10 kanak-kanak pelarian Somali mati setiap hari di Kobe Camp, Ethiopia.
  • 06.09.11. Marixie Mercado, Jurucakap The United Nations Children Fund (UNICEF) mengeluarkan amaran bahawa berpuluh ribu kanak Somali yang menghadapi kebuluran akan mati dalam minggu-minggu terdekat ini jika tidak menerima bantuan kecemasan.
  • 07.09.11. Andrew Mitchell, Setiausaha, Britain International Development semasa melawat Mogadhisu menyatakan kemungkinan seramai 400,000 kanak-kanak diancam maut akibat kebuluran, malnutrition dan penyakit.
Apakah bencana ini disebabkan oleh faktor musim kemarau panjang ataupun sebaliknya? Menurut Sheikh Abdisalam Hussein Mala, Pensyarah Universiti Antarabangsa Al-Madinah, kemarau bukan punca utama krisis Somalia tetapi disebabkan oleh perang saudara yang berpanjangan di negara itu.

Menurut beliau, ini adalah kerana majoriti rakyat Somalia adalah petani. Mereka telah bertahun-tahun mempunyai sistem air bawah tanah dan bersedia untuk menghadapi musim kemarau. Namun, perang saudara telah memusnahkan sistem air bawah tanah tersebut. Mereka tidak boleh lagi bercucuk tanam dan terpaksa pula menjadi pelarian kerana peperangan. Masalah kemarau menambahkan lagi penderitaan mereka.

Manakala Pemerintah Sementara Persekutuan Somalia yang disokong oleh African Union (AU) tidak dapat melaksanakan mandat utama mereka untuk mentadbir negara, menyusun konstitusi, mengadakan pilihanraya dan menyelaras perpaduan rakyat negara itu. Hari ini Somalia menjadi negara benua Afrika paling tidak selamat dilawati.

Saya berpendapat ada beberapa faktor yang dapat kita pelajari dari penderitaan saudara-saudara kita rakyat Somalia:-
  • Somalia menderita kerana tidak terbentuknya pemerintahan yang berdaulat yang dapat memimpin negara kearah kedamaian dan kemakmuran.
  • Tiada perpaduan diantara 144 puak yang menduduki negara itu. Pertikaian politik dan perang saudara telah berpanjangan sejak tahun 1991.
  • Konflik senjata telah menyukarkan penyaluran bantuan kecemasan ke negara itu.
Akhirnya, saya amat menyanjung tinggi usaha dan pengorbanan Kelab Putra 1Malaysia menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada saudara-saudara kita rakyat Somalia. Selain bantuan kecemasan seperti pengedaran bantuan makanan dan minuman serta bantuan perubatan, saya cadangkan elok para petani negara itu dibantu kerana mereka merupakan tulang belakang kepada ekonomi Somalia.

Wasalam.

Isnin, 5 September 2011

Murtad - Langkah Membendung Yang Berkesan



Salam,

Bulan Ramadan yang lalu, heboh diperdebatkan isu cubaan memurtadkan saudara-saudara muslim kita ke agama lain, sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat dan demonstrasi bantahan oleh beberapa pertubuhan Melayu dan Islam.

Mengapakah gerakan memurtadkan orang-orang Islam ini begitu berani dan melakukannya secara terbuka? Apakah gerakan ini tidak lagi memperdulikan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada umat Islam di negara ini? Dan mengapa begitu mudah pula saudara-saudara kita itu mendekati gerakan tersebut?

Didapati orang Islam yang ingin murtad datangnya dari individu yang kecewa dengan sikap masyarakat Islam yang tidak memperdulikan nasib saudara mereka. Mereka terhimpit dengan masalah kewangan, kemiskinan dan desakan hidup. Kumpulan inilah yang menjadi sasaran gerakan murtad yang berselindung disebalik aktiviti kebajikan mereka. Missioner gerakan ini menggunakan pendekatan yang amat mempengaruhi, menghulurkan bantuan dengan mudah, diselitkan dengan  rasa kasih dan sayang serta sikap mengambil berat. Ia membuatkan mereka yang dibantu merasa terhutang budi dan hati akan terpaut dek keikhlasan dan rasa dihormati.

Jika kemiskinan dan desakan hidup punca saudara muslim kita semakin ramai murtad, apakah dengan berdemonstrasi dan membakar semangat orang Islam untuk bangun menentang gerakan yang melakukan aktiviti bantuan ini berkesan? Apakah dengan mewujudkan undang-undang seperti Akta Murtad akan dapat menghalang orang Islam daripada murtad sedangkan hatinya telah berpaling tadah terhadap agama anutannya?

Sebenarnya, Islam sudah mempunyai sistem dan hukum zakat bagi membantu umatnya yang dilanda kesusahan dan kesulitan hidup. Jika miskin punca ramai orang Islam murtad, maka pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan zakat perlu tampil untuk membantu golongan ini, lagipun ia memang hak mereka. Persoalannya, apakah pihak pengurusan zakat itu dilihat efisyen dan efektif dalam melaksanakan amanah ini? Ada rungutan dari mereka yang memohon bantuan zakat dilayan seperti pengemis di pejabat zakat!

Saya juga ingin menyarankan agar para pendakwah bersikap lebih berhikmah dalam berdakwah. Maksud saya mereka perlu berhati-hati ketika berceramah. kekadang itu, ada pendakwah berapi-api menyampaikan dakwah sampai terlupa menjaga akhlak, rasa hormat dan menjaga perasaan orang yang menyebabkan ceramah kita dijauhi. Kita perlu tahu audien dan gelanggang yang ingin kita sampaikan dakwah. Contohnya, jika cinta menjadi senjata gerakan murtad untuk menarik remaja kita kepada agama mereka, dakwah kita perlulah menarik remaja Islam untuk memantapkan lagi akidah mereka.

Manakala, pertubuhan politik dan NGO perlu lebih ikhlas berjuang membantu orang Islam yang memerlukan bantuan dan bukan dibayangi oleh motif politik semata-mata. Hari ini gerakan murtad nampak berani kerana mereka melihat ada kelemahan dalam kepimpinan Melayu Islam di negara ini yang sering berbalah dan bercakaran.

Cuba kita hayati Firman Allah berikut:-
  • Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantulah mereka dengan cara yang lebih baik (Surah An-Nahl : Ayat 125)
  • Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu" (Surah Ali Imran " Ayat 159)
Kesimpulannya, ada benarnya kata seorang kawan saya "Hanya orang Islam yang nipis imannya sahaja yang sanggup murtad. Manakala mereka yang mengenal Allah swt tidak akan menukar akidah mereka walaupun diuji dengan kepayahan dan tekanan hidup" Mari kita fikirkan!

Wassalam.

Isnin, 22 Ogos 2011

Sagil Estate Re-visited : Terkenang Jasa Cikgu Yahya@Ahmad

(Cikgu Yahya @ tahun 2008)
(Kediaman Cikgu Yahya di Ladang Sagil, Johor @ 1960)

Ketika itu, aku masih kecil
Dalam darjah 2
Dan pagi itu
Aku menemani ayah bekerja di ladang
Ada deru motokar besar hitam
Dalam gumpalan debu di jalan tanah ladang 
Kagum, Tak kerdip mata melihatnya

Kamu, kelak jika belajar tinggi
Kamu mampu memilikinya seperti orang itu
Rajinlah belajar
Itu kata guruku Cikgu Yahya
yang tiba-tiba ada dibelakangku

Kini aku telah punya motokar besar
Punya pemandu
Aku hari ini adalah hasil kata semangat Cikgu Yahya di pagi itu

Cikguku!
Kau bagai matahari yang tak jemu bersinar
Seperti halnya semangat dan pengabdianmu
Dalam mendidik kami anak Ladang
Kau pelita penerang bagi anak bangsa
Agar menjadi yang terbaik buat nusa

Selasa, 16 Ogos 2011

Ajaran Ayah yang menjadi amalan saya

Salam,

Pada kali ini, saya ingin berkongsi bersama pembaca pengalaman berpuasa bersama Ayah saya. Ayah mula melatih saya berpuasa pada umur enam tahun. Beliau bermula dengan mengajar saya untuk menghayati roh berpuasa dan memahami semangat berpuasa melalui kehidupan bermasyarakat di kampung kami.

Katanya:-
"Di kampung kita ini ada  jiran dan kawan-kawan kita yang hidupnya susah. Mereka mungkin makan hanya sekali sehari atau berlapar kerana makanan tidak mencukupi. Maka dengan berpuasa, kita dapat merasai kehidupan mereka yang sempit berbanding kita. Bagaimana jika kita ditempat mereka? Sampaikah hati kita melihat kawan-kawan kita berlapar?

Semasa saya di sekolah rendah, setiap hari Emak bekalkan saya makanan bersama minuman dan Ayah pula memberi saya duit belanja sebagai tambahan. Ayah selalu menasihati saya supaya jangan bazirkan makanan, beri sedikit kepada kawan-kawan. Saya masih ingat lagi, saya selalu berkongsi makanan bersama dua orang kawan yang saya rasa dari keluarga susah, kerana mereka jarang sekali berada di kantin atau membawa bekalan makanan ke sekolah. Kami menjadi kawan rapat dan sehingga ke hari ini kami saling berhubungan dan menjadi sahabat yang saling membantu.

Kesimpulannya, Ayah telah mengajar saya untuk bermurah hati, tidak kedekut untuk membantu mereka yang memerlukan.  Didikan beliau melalui  pengertian berpuasa dan kehidupan bermasyarakat sangat terkesan di hati saya sehingga kini. Ayah telah mendidik saya untuk rajin bersedekah walaupun nilainya sangat kecil bagi kita tetapi amat bermakna kepada orang lain.

Ayah sudah lama tiada, tetapi personaliti dan prinsip hidupnya sangat saya kagumi. Dia adalah hero saya.

Wassalam.

Ahad, 14 Ogos 2011

Bencana Alam - Fenomena Atau Sebaliknya

Salam,

Sambil kita memperbanyakkan ibadah di bulan Ramadhan 1423H ini, molek juga jika kita merenungi tentang  kejadian bencana alam yang berlaku diserata dunia. Jumlah kejadiannya kian membimbangkan masyarakat dunia. Malah telah banyak mendatangkan kemusnahan harta benda dan meragut nyawa. Laporan yang dikeluarkan oleh Centre for Research on the Epdemology of Disasters (CRED) menyatakan pada tahun 2007 sahaja sebanyak 414 bencana alam telah dilaporkan berlaku di seluruh dunia.

Persoalannya, apakah punca ia semakin banyak berlaku? Adakah ia suatu fenomena alam semula jadi atau akibat dari perbuatan manusia sendiri? Mari kita fikirkan!

Teori terkini yang dikaitkan dengan peningkatan bencana alam tertunjuk kepada perubahan iklim dunia. Ia disebabkan oleh perbuatan manusia yang membawa kepada perubahan terhadap sifat-sifat semulajadi alam. Contohnya, pencemaran gas karbon dioksida di udara oleh kenderaan, sisa industri perkilangan serta penerokaan hutan yang menyebabkan berlakunya penipisan lapisan ozon. Kesannya membawa kepada peningkatan suhu harian dan kesejukan melampau dikebanyakan tempat di dunia. Dua laporan berikut boleh dikaitkan kepada teori di atas:-
  • Kumpulan William Gray di Colorado State University dalam kajian mereka berpendapat bahawa kenaikan suhu air di Lautan Atlantik telah menyebabkan kejadian musim ribut taufan bertambah meningkat.
  • Amerika Syarikat, China dan Indonesia merupakan tiga negara teratas pengeluar gas karbon dioksida. Menurut Tabung Hidupan Luar Dunia (WWF), lapan puluh peratus pengeluaran karbon di Indonesia adalah daripada pembasmian hutan.  
Mereka yang merenung mengenai kejadian alam dari perspektif agama dan yang faham dengan agama, akan berpendapat lain pula. Ia merupakan peringatan dari Allah terhadap manusia yang lalai dan kufur kepadaNya. Disebabkan kekufuran itu maka Allah membalas perbuatan mereka dengan bala yang dahsyat. Mari lihat Firman Allah SWT berikut:-

"Sesungguhnya kami menimpakan azab seksaan tetapi mereka tidak mahu tunduk kepada perintah Tuhannya" (Surah Al-Mukminun : Ayat 76)

"Sudah datang kerosakan di darat dan di lautan akibat perbuatan manusia. Allah mengkehendaki agar mereka merasai akibat dari perbuatan mereka supaya mereka kembali (mengingati Allah swt)" (Surah Rum : Ayat 41)

"Allah mengumpamakan sebuah negeri yang dahulunya aman tenteram dengan rezeki yang melimpah ruah dari segenap sudut ruang, tetapi apabila mereka mengingkari nikmat dan perintah Allah swt, didatangkan bencana kebuluran yang amat dahsyat akibat perbuatan mereka sendiri" (Surah An-Nahl : Ayat 112)

Kesimpulannya, kejadian bencana alam ini dapat di lihat dari dua perspektif iaitu saintifik dan agama. Dari sudut ilmu sains, kejadian fenomena alam ini dinilai dari teori logik manusia sebagai kejadian evolusi alam. Manakala daripada pemahaman agama pula ia merupakan bencana yang didatangkan Allah kepada manusia sebagai pengajaran dan peringatan.

Bagi saya semuanya itu adalah ketentuan yang ada sebab-sebabnya. Ia berlaku akibat dari aktiviti manusia terhadap penjejasan kelestarian alam semulajadi, dan terakibat dari pembalasan Ilahi terhadap penyakit politik dan sosial penghuni bumi ini. Kisah-kisah Nabi Nuh, Nabi Hud dan Nabi Luth boleh diambil pengajaran.

Wassalam.

Khamis, 4 Ogos 2011

Harimau Malaya - FAM perlu menjadi penjaga yang hebat

Salam,

Pada 28 Julai 2011, saya diantara 90,000 penonton yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ribuan yang datang itu samada untuk memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak Malaysia ataupun Singapura.

Harapan saya adalah untuk melihat pasukan Malaysia melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 setelah gagal melakukannya dalam 11 kali percubaan. Malangnya, gegak gempita sorakan penyokong masih gagal membantu pasukan ini. Kita digagalkan oleh Singapura dengan agregat 6-4.

Seperti dijangka, berbagai kenyataan, dan kritikan dikeluarkan oleh banyak pihak tentang kekalahan ini, samada yang seronok didengar ataupun sebaliknya. Ada yang berkata bahawa pasukan kita telah bermain dengan bagus tetapi tidak bernasib baik.  Malam itu kita tidak kalah tetapi seri, hanya agregat yang mengagalkan kita. Ada pula yang menyalahkan jurulatih dan pemain, memburukkan pasukan lawan kerana bermain kotor dan sebagainya.

Bagi saya, kita boleh memberi berbagai alasan untuk menyedapkan hati dan menutupi kelemahan dengan meletakkan beban kekalahan itu kepada orang lain, tetapi hakikatnya kita kalah kepada pasukan yang lebih baik. Singapura bermain baik di dalam kedua-dua perlawanan timbal balik itu. Strategi mereka untuk menang menjadi. Mereka bermain sebagai satu pasukan dan tidak mengharap satu atau  dua pemain untuk meledak gol lawan.

Saya berpendapat bahawa FAM (Football Association of Malaysia) perlu mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan ini. Bahkan mereka yang sepatutnya bertanggungjawab secara keseluruhannya terhadap kelesuan Harimau Malaya di peringkat antarabangsa sejak dahulu lagi. Pembangunan industri bola sepak negara ini semakin jauh ketinggalan berbanding negara-negara Asia yang dahulunya setaraf dengan mutu bola sepak kita seperti Korea, Jepun, Kuwait dan banyak lagi. Kita hanya boleh gah diperingkat Asia Tenggara sahaja itupun tidak konsisten.

Kesimpulannya, FAM adalah Badan yang bertanggungjawab terhadap industri bola sepak negara. Mereka pembuat dasar dan merencana pembangunan bola sepak kita. Mereka juga bertanggungjawab terhadap pembangunan, kemajuan, pendidikan dan kebajikan pemain dan pegawai pasukan negara. Mereka jugalah yang merancang dan mengatur persediaan pasukan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan. Berfikirlah!

Singapura, Indonesia dan Thailand kini telah berjaya kepusingan seterusnya dan kita terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk menyaingi rekod mereka. Alahai!

Wasalam.

Jumaat, 29 Julai 2011

Salam Ramadan 1432


  

Salam,

Selamat menyambut Ramadan 1432!
Selamat beramal!
Selamat bermaafan!

Kepada semua pembaca budiman, saya ucapkan selamat berpuasa, beribadah dan menghayati Ramadan Al-Mubarak. Semoga Ramadan kali ini adalah terbaik dalam kita menginsafi diri serta menambah amal soleh. Marilah kita memohon kasihan belas Allah terhadap kita yang tidak lupa menzalimi diri kerana Dia sentiasa menerima taubat dan memberikan keampunan. Semoga Allah menyampaikan kita ke mihrab Ramadan.

Di Laman ini dan sebagai ganti tangan, saya memohon maaf lahir dan batin kepada pembaca, keluarga dan teman-teman di atas segala kekhilafan dan salah saya.

Wasalam.

Selasa, 26 April 2011

Atas apapun alasan jangan lakukan ini - Menfitnah!

Salam,

Masa-masa kebelakangan ini banyak timbul cerita moral rosak yang melanda masyarakat Melayu, kebanyakannya terkait dengan skandal dan seks. Mereka yang dituduh pelaku akan menafikannya dan menyatakan sebagai fitnah. Sering kali pula ia menjadi besar apabila media menyebarkannya dan menjadikan bahasan orang ramai. Ia membuat ramai orang kebingungan bahkan ada pula yang terbawa oleh arus fitnah tersebut.

Akibatnya, masyarakat Melayu dicemuh dengan berbagai pelecehan, tampak orang Melayu begitu hasad dan liar sesama mereka. Mana watak Melayu yang dikatakan menolak permusuhan? Mana jiwa Melayu yang dikatakan mengangkat kasih sayang dan kekeluargaan? Mana tatacara hidup kita yang bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah?

Bagi saya, fitnah berupa satu kekacauan nilai moral yang membawa kepada kebinasaan kepada masyarakat kita. Tentunya, budaya murni bangsa gagal dipertahankan bahkan dilanda kehinaan dan pelbagai keburukan. Kesannya berlaku perpecahan, perbalahan dan permusuhan. Hidup masyarakat tidak lagi aman dan mesra. Begitulah kepahitan hidup masyarakat kesan daripada perbuatan fitnah.

Saya terbaca hadis Rasulullah 'Fitnah-fitnah didatangkan kepada semua hati. Hatimanapun yang mengecapnya, tertorehlah padanya satu noda hitam' (Shahih Muslim, Kitab Iman, Diriwayatkan oleh Imam Ahmad). dan firman Allah s.w.t 'Takutlah kalian kepada fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim diantara kalian secara khusus' (Al-Anfal:25). Kedua-duanya merupakan penjelasan kepada keburukan menfitnah serta kewajiban umat muslim untuk berhati-hati menghadapi fitnah dan menjauhinya.

Sesungguhnya, menfitnah adalah perbuatan khianat yang dibenci Allah. Ia boleh menghancurkan masa depan seseorang, membuat rumah tangga berkecai dan pemimpin yang baik gugur maruahnya. Fitnah tidak mungkin berlaku jika masyarakat kuat imannya, istiqamah dalam beribadat, tidak mementingkan diri, tidak tamak harta, tidak gila kuasa dan tidak tunduk kepada nafsu.

Mengambil kepada kata sasterawan Usman Awang 'Melayu itu bijaksana, jika menipupun bersopan, kurang ajarnya tetap santun, budi bahasa jangan dikira, beraninya cukup benar, tunduk jika bersalah, lembutnya cukup jantan, setia sampai ke kubur, bila berkelahi menikam dengan pantun, menyanggah dengan senyum, marahnya dalam tertawa, merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak' Mari kita fikir!

Wasalam

Jumaat, 22 April 2011

Mengenang Zainon, A True Friend

Sahabat
Kau teman dekatku
Yang telah ku anggap saudara
  Hadir membantu saat aku susah
Datang menghibur saat aku berduka

Sahabat
Tidakkan terhitung nilai dirimu
Tiada permata sebening kasihmu
Tiada sutera sehalus jiwamu
Tiada embun sesuci hatimu

Dulu, waktu pertama bertemu pada tahun 1985, kami tidaklah lantas menjadi sahabat, hanya sekadar teman yang sering diwarnai dengan berbagai pengalaman suka dan suka, dihibur dan disakiti, didengar dan diabaikan, dibantu dan ditolak, namun semua itu tidak pernah sengaja dilakukan, bagi saya ia adalah satu perjalanan dari teman menjadi sahabat.

Berkawan dengannya kadangkala melelahkan, dia terlalu berani dan berterus terang, tetapi itulah yang membuat persahabatan mempunyai nilai yang indah. Berani menyatakan apa yang menyakitkan dengan tujuan sahabatnya mahu berubah, menegur ketika kita melalaikan sesuatu, mengingatkan ketika kita lupa, menolong kita untuk menjadi lebih baik, dan terlebih lagi menerima diri kita seadanya.

Saya menikmati nilai persahabatan beliau ketika saya menghadapi kesulitan dan merasakan hilangnya harapan. Beliau memberikan dirinya sebagai sandaran, melindungi saya sewaktu ketakutan, mencegah mereka yang ingin menjelekkan saya dan membantu lebih dari yang saya perlukan. Bagi saya, beliau adalah sahabat yang menaruh kasih setiap waktu dan menjadi saudara dalam kesukaran.

Zainon! Thanks for being my true friend! 

Isnin, 18 April 2011

Rindu Kota Makkah

Makkah
Kota yang menghiasi bumi
Mencorak indah dari langit
Betapa nian aku rindu padamu

Ya Allah
Saat ku tapaki lorong-lorong kotaMu
Seakan aku sedari ada diriMu
Berjalan disampingku

Makkah
Rasa rindu terbangkit ketika diingatkan tentangmu
Tak lelah hati ini menziarahmu
Semoga esok aku datang kepadamu lagi

Jumaat, 15 April 2011

Menyelak kenangan lalu - Stan Webb


Salam,

Malam tadi, sambil menyusun buku-buku lama, terjumpa pula lirik lagu 'I'd rather go blind' nyanyian kumpulan 'Chicken Shack' yang tersimpan sejak berpuluh tahun lalu dalam salah satu buku-buku tersebut. Kenangan saya lalu menyingkap ke tahun 1969. Pada tahun itulah saya mula mengenali musik Stan Webb, pengasas kumpulan musik tersebut.

Lagu 'I'd rather go blind' mencatatkan dua memori indah kepada saya, pertamanya saya mula diperkenalkan kepada genre 'blues rock' yang rupanya menjadi genre musik yang paling menepati minat saya, dan keduanya, ia merupakan lagu senandong hati saya kepada seorang gadis bernama Saodah Ismail. Bukanlah cinta pertama itu yang ingin saya kongsikan di sini, tetapi mengenai pemusik blues pujaan saya sehingga ke hari ini, Stan Webb.

Bagi saya Stan Webb adalah legenda kepada irama 'British Blues Music'. Beliau merupakan diantara pemusik blues terbaik sepanjang zaman. 'Stan is a real bluesman, one of the best british blues guitarist and singer, ever. He plays with great passion, more feeling and soul'. Memang benar, nyanyian dan musiknya jujur serta penuh jiwa. Diantara, lagu-lagu beliau yang saya minati ialah 'Sweetest little thing, Running and hiding, Everyday I have the blues, Black night dan Andalucian blues'.

Lahir sebagai Stanley Webb pada 3 Februari 1946 di Fulham, South West London, England. Beliau menubuhkan kumpulan 'Chicken Shack' pada tahun 1965 dan merakamkan album pertama '40 blue fingers' pada tahun 1968 dan yang terakhir ialah album 'Strange situations' pada tahun 2006. Sebanyak 24 album dilahirkan dalam tempoh tersebut. Sehingga hari ini, beliau masih lagi aktif dengan 'gigs and tours'. Saya dapat kabar beliau akan mengadakan persembahannya di Huntingdon Hall, Wirester, England pada 16 April 2011 dan di Great Woods Festival, Canada pada 30 Ogos 2011.

Stan Webb dan musiknya kekal menjadi kegemaran saya, walaupun saya turut meminati artis-artis blues British yang lain seperti Eric Clapton, Peter Green dan John Mayal, namun beliau tetap nombor satu kepada saya 'Stan is a greatman, his soul and the blues are one'.

Wassalam.