Rabu, 29 Ogos 2012

Pantun Budi Bahasa : Menghormati Orang Tua




Puteri bongsu memetik melati
Tumbuh mewangi di tengah laman
Gerak laku pancaran budi
Baik pekerti hati tertawan

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Dua rangkap pantun di atas molek menggambarkan keperibadian isteri saya, bukan memuji tetapi itulah cerminan jiwa beliau. Keindahan budi bahasa yang terukir daripada didikan orang tuanya. Dan kerana itulah jua saya menyanjunginya sejak mula bertemu.

Beliau sangat menghormati orang-orang tua dan mengambil berat tentang mereka, terutamanya saudara mara dan jiran yang telah uzur. Lazimnya, beliau tidak lupa menziarahi mereka setiap kali pulang ke kampung, apatah lagi semasa hari perayaan seperti Aidilfitri. Kata beliau 'kita patut menghormati orang-orang tua kerana mereka banyak pengalaman dan dapat memberikan kita tunjuk ajar. Tambahan ia dituntut oleh Islam agar menghormati orang yang lebih tua'.

Mungkin molek juga jika saya pautkan kekuatan pekerti isteri itu dengan pantun-pantun lama dalam menghormati orang-orang tua, agar menjadi petunjuk kepada para remaja kita terutamanya anak-anak saudara kami yang seramai 20 orang itu:

Bunga hiasan penyeri meja
Perabut jati dari Melaka
Jadilah insan berpekerti mulia
Baik hati berbudi bahasa

Apalah tanda batang keladi
Batang keladi di tanah isinya
Apalah tanda orang berbudi
Orang berbudi rendah hatinya

Air telaga sejuk sekali
Anak dara mandi di kali
Orang tua kita hormati
Orang muda kita sayangi

Anak rusa masuk ke laman
Senanglah jua orang memburu
Yang muda buatkan teman
Yang tua jadikan guru

Tidak tempua bersarang tinggi
Begitulah jua sarang kedidi
Orang tua dijunjung tinggi
Orang muda kita sanjungi

Betapa budi bahasa dan menghormati orang tua dipandang tinggi dalam masyarakat kita. Orang Melayu meletakkan nilai sesuatu perlakuan itu berasaskan budi bahasa. Seseorang itu di pandang rendah apabila luntur budi bahasanya. Saya sekadar mengingatkan, mungkin berguna juga.

Tiada ulasan: