Sabtu, 29 September 2012

Pengalaman Di Pasar Terapung Damnern Saduak, Thailand

Salam,

Melihat tempat orang adalah satu aktiviti makan angin yang menyeronokkan. Kelebihannya kita dapat pengalaman baru yang pelbagai. Setiap tempat dan keadaan akan memberikan peluang untuk kita mempelajari pengetahuan yang berbeza. Bak kata pepatah lama 'jauh perjalanan luaslah pengalaman'

Semasa saya dan isteri bercuti di Thailand,  kami menikmati pengalaman baru dengan membeli belah dalam sampan di Pasar Terapung Damnern Saduak yang terletak di Wilayah Ratchabouri kira-kira 110KM dari Kota Bangkok. Perjalanan ke sana dengan bas mengambil masa kira-kira lebih satu jam.

Kami perlu menaiki bot untuk ke pasar tersebut dan menyusuri tali air yang dipanggil 'Khlongs', Sampai di pasar, kami menyewa sampan kecil pula yang dikayuh oleh seorang Mak Cik Tua untuk singgah dari sampan ke sampan dan gerai ke gerai. Berbagai barangan yang dapat dibeli di sini seperti cenderamata, aksesori wanita, hiasan diri, kesenian 'arts' desa, makanan dan juga buah-buahan.

Barangan yang saya dapati menarik di sini ialah produk-produk cenderamata dan kesenian ukiran hiasan ala Thai, sebagai contoh tempurung kelapa yang dijadikan 'table lamps', yang cantik,  ukiran binatang dan banyak lagi. Manakala, barangan lain seperti aksesori dan hiasan wanita agak rendah mutunya, namun harga yang ditawarkan berpatutan.
Isteri berposing kenangan di pengkalan bot ke Damnern Saduak
Isteri dan saya menyusuri terusan ke pasar dengan bot panjang
Singgah menikmati buah-buahan segar di tebing terusan
Diantara barangan yang dijual di pasar terapung
Pendapat saya, walaupun apa jadual perjalanan anda ke Kota Bangkok, jangan lepaskan peluang untuk ke pasar ini, kerana ia adalah tempat persinggahan yang menarik dan mengesankan. Pergi la!

Wassalam

Jumaat, 21 September 2012

Serumpun Bak Serai : Rahsia Kejayaan Kelab KSHS

Merencana aktiviti kelab
Bergotong royong melaksanakan aktiviti
Satu daripada aktiviti Kelab 'Masquerade Party'
Salam,

Semasa menghadiri jamuan 'Hi-Tea Raya' di sebuah kelab golf di Templer Park Resort baru-baru ini, seorang kenalan memuji keakraban yang terjalin di kalangan ahli-ahli kelab KSHS dan bertanyakan rahsianya. Elok juga kalau saya kongsikan bersama para pembaca kejayaan kami itu, mungkin boleh dijadikan panduan kepada anda yang ingin mempunyai kelab sukan ataupun sosial bersama rakan-rakan anda samada di pejabat mahupun di taman kediaman anda.

KSHS terbentuk daripada hasrat rakan-rakan yang ingin memusatkan kegemaran bersukan dan bersosial dalam satu pertubuhan yang sah. Melalui aspirasi tersebut wujud persefahaman ataupun kesatuan fikiran yang memudahkan lagi kami berfungsi sebagai satu pasukan yang berkesan. Budaya saling berinteraksi dan berkomunikasi dalam merencana mahupun melaksanakan aktiviti kelab telah melahirkan pula hubungan yang erat diantara kami.

Bagi mengekalkan jalinan erat itu semua ahli bersepakat untuk menyemai budaya 'serumpun bak serai, selubang bagai tebu' di kalangan para ahli. Setiap ahli menganggap ahli yang lain sebagai teman yang akrab menyebabkan hubungan kami menjadi kukuh. Rasa persahabatan daripada keakraban ini mengeratkan lagi persefahaman dan semangat kerjasama dalam aktiviti yang dirancang. Persefahaman ini pula akan mendorong semua ahli bekerja dengan tujuan yang sama dan memiliki kefahaman yang jelas berkaitan peranan masing-masing. Setiap rakan memandang tinggi pendapat rakan yang lain.

Sifat bermuafakat sedemikian meningkatkan lagi hubungan kami serta mampu mengatasi masalah ataupun pertembungan pendapat. Bermuafakat dapat menghasilkan kerja bermutu dan menghindarkan ahli daripada mementingkan diri sendiri dan bersikap individu, bak kata orang-orang tua kita dahulu "bulat air kerana pembentung. bulat manusia kerana muafakat"

Ini pengalaman saya, mungkin boleh dijadikan panduan.

Wasalam.

Sabtu, 15 September 2012

Sept 12: Selamat Tinggal Sahabat


Yang indah itu pertemuan
Yang manis itu persahabatan
Yang pahit itu perpisahan
Yang tinggal hanyalah kenangan

September 12.2012, hari terakhir saya selaku Presiden, Kelab Sukan KSHS. Saya harus melangkah untuk berbakti ke daerah lain bagi meningkatkan keupayaan diri. Selamat tinggal ahli-ahli Kelab yang telah saya anggap sebagai sahabat. Namun, semakin jauh kita terpisah, semakin erat jalinan ukhuwah dan semakin hati kita mendekat.

Derai bening yang tertitis hari ini menjadi bukti jalinan persahabatan yang telah kita simpulkan seerat-eratnya, dan pantun-pantun ini menggambarkan cinta saya kepada kalian:-



Di Tanjung Katung airnya biru
Tempat mandi si dara jelita
Sedang sekampung lagikan rindu
Inikan pula jauh dimata

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Biarpun jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan

Berkayuh sampan mudik ke kuala
Menebar pukat menjerat ikan
Budi kalian saya tak lupa
Kian terpahat dalam ingatan

Burung tempua terbang beriring
Terbang berpasang bersuka ria
Kita bekerja sama seiring
Bersusah senang sama dirasa

Kalau ada sumur di ladang
Bolehlah saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Dapatlah kita berjumpa lagi

Semoga sahabat-sahabat saya beserta keluarga sentiasa dibawah limpahan rahmat dan kasih Allah SWT.

Selasa, 4 September 2012

Pengalaman Indah Menjadi Tetamu Allah di Makkah

Salam,

Semasa bercuti raya di kampung mertua baru-baru ini, saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan bapa mertua. Seronok berbual dengan orang-orang lama ni, terutamanya mengenai pengalaman mereka sewaktu tahun 40'an-50'an. Begitu juga dengan hal-hal agama seperti ibadah haji dan umrah turut menjadi topik perbualan. 'Dah sampai ke Mekah? tanya seorang pakcik kepada saya. 'Dah, saya pergi Umrah bersama isteri dan anak, pengalaman paling indah' jawab saya. 'Baguslah, dah jadi tetamu Allah kamu sekeluarga' balasnya. 'Apa pengalaman kamu di sana? tanya seorang pakcik disebelahnya. 'Ada keajaiban' balas saya.

Memang benar, saya menikmati karamah kebesaran Allah di sana. Elok saya kongsikan pengalaman saya itu di blog ini, mungkin boleh menjadi pendorong kepada saudara-saudara yang belum lagi pernah sampai ke sana:-
Bapa, Emir dan Saya di hadapan Kaabah
Isteri dan Emir di Tan'im
  • Sepanjang 14 hari saya berada di kota suci Madinah dan Mekah, saya merasa amat tenang sekali. Fikiran lapang. Tumpuan beribadah amat tinggi. Jiwa dan raga hanya terpusat kepada usaha untuk mendapatkan keampunan dan keehsanan Allah semata-mata. Ia satu keajaiban yang belum pernah saya alami.
  • Semasa melakukan tawaf untuk Umrah kali kedua sambil mendokong anak saya Emir, saya di datangi satu perasaan yang tidak dapat saya jelaskan, secara tiba-tiba dada saya bergoncang kuat, tubuh menggeletar, hati menjadi terlalu sayu dan saya menangis teresak-esak, tidak tahu kenapa. Ajaibnya fikir saya.
Emir, Isteri dan Emak di ladang khurma
Emak, Emir dan Isteri di perkarangan Masjidil Haram
Itulah dua keajaiban yang saya alami di kota Mekah, perasaan ketenangan dan kesayuan yang teramat dan tidak dapat dijelaskan pula. Betapa saya tidak mampu untuk memikirkan rahsia dan hikmah Allah. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah, ibadah umrah saya dipermudahkan Allah dari mula hingga akhirnya.  Saya sekadar berbagi pengalaman.

Wasalam.