Sabtu, 24 Disember 2011

Pesanan Buat Puteh

Salam,

Semalam saya mendapat panggilan dari Puteh, anak saudara saya di kampung, memberitahu dia mendapat tawaran kerja di Pulau Pinang. Ini merupakan tawaran pekerjaan pertama beliau, satu pencapaian baru dalam perjalanan hidupnya.

Sayangnya, saya tidak dapat menghadiri majlis meraikan beliau pada minggu ini yang dianjur oleh keluarga dan rakan taulan kami. Kabarnya, ia diadakan di dusun keluarga yang di isi dengan doa kesyukuran serta sajian buah-buah durian, manggis dan rambutan.

Kata beliau, dalam keseronokan itu ada perasaan takut dan gementar, maklum sajalah inilah kali pertama beliau akan hidup merantau di tempat orang, berhijrah dari kampung ke kota besar pula. Dah tentu banyak pancaroba, sambungnya.

'Pak Ngah pun rasa begitu juga semasa kali pertama menjejakkan kaki di Kuala Lumpur' jawab saya. Lalu saya pun teringat kepada pesanan Emak ketika mengizinkan saya merantau ke ibu kota itu dan kini saya sampaikan pula kepada Puteh untuk amalan beliau seperti berikut:-

Jika diri ingin dipandang
Jauhi kata tinggi melambung
Hindari sifat ayam di kandang
Bertelur satu riuh sekampung

Jauhi sifat kelaku pandai
Angkuh dan sombong menepuk dada
Ingat petua penyu di pantai
Telur beratus tapi tak bangga

Bila diri ingin dikenang
Semailah benih di tengah sawah
Bawalah rasmi padi di ladang
Tambah berisi tunduk ke bawah

Bila ingin harum bak mawar
Jauhi sifat meninggi diri
Bisa ular tidakkan tawar
Walau menyuruk di batang berduri

Namun saya yakin dengan jati diri anak saudara itu, perisai dirinya kuat, tambahan pula telah di isi dengan didikan agama, pekertinya sebagai anak Melayu yang penuh adab dan kesopanan memang menjadi kebanggaan keluarganya dan kami. Dia boleh membawa dirinya kemana saja dengan keperibadian begitu. Insyaallah.

Wasalam.

Khamis, 8 Disember 2011

Anak Sungai Dan Parit Semulajadi Perlu Dipelihara

Salam,

Baru-baru ini anak saya berhasrat untuk memelihara ikan pelaga. Maka kami pun ke 'Pet Shop' untuk membelinya. Lalu saya teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, saya tak perlu untuk mendapatkannya dikedai, memadai dengan turun ke anak-anak sungai atau parit di kampung seorang sahabat saya di Perak untuk menangguknya. Selain ikan pelaga, saya juga boleh menangkap ikan semelai, sepat dan puyu.

Kelihatan anak saya teruja mendengar cerita masa kanak-kanak saya di kampung, dan meminta membawanya ke sana. Molek juga cadangan dia kerana dapatlah saya menziarah sahabat yang telah bertahun tidak berjumpa. Saya lantas menghubungi beliau dan menyatakan hasrat untuk melawat kampungnya. Sambil menyindir kerana sudah lama tidak menziarahnya, dia memberitahu anak-anak sungai itu sudah tiada lagi, tercemar atau hampir mati akibat pembangunan dan menjadi mangsa pencemaran campak buang oleh penternak, pengilang dan penduduk setempat yang tidak menghargai anak-anak sungai sebagai sumber.

Lantas saya terfikir, mengapakah ada lagi mentaliti masyarakat yang masih rendah untuk menghargai anak-anak sungai kurniaan alam ini. Sedangkan anak-anak sungai itu berfungsi sebagai sumber semula jadi untuk bekalan air bagi kegunaan domestik, pertanian dan penternakan juga.

Saya teringat pembentangan Pn. Haliza Abdul Rahman, Pensyarah Universiti Sains Malaysia di Persidangan Geografi 2007 pada 8-9 September 2007. Beliau memberikan beberapa saranan yang sangat bernas untuk tindakan kita. Diantaranya, beliau berkata sikap masyarakat harus diubah terlebih dahulu untuk  memelihara dan memulihara alam sekitar, dan disusuli pula oleh pihak berwajib untuk mengambil segala langkah saintifik dan pengurusan kawalan terhadap pencemaran sungai, barulah segala usaha untuk pemeliharaan sungai itu lebih bermakna dan berjaya dilaksanakan kerana sebahagian besar masyarakat telah memahami dan berupaya menilai kepentingan sungai, anak-anak sungai dan parit anugerah semula jadi alam kepada kita.

Saya sekadar berkongsi pandangan.

Wasalam.

Khamis, 1 Disember 2011

Pemajuan Sukan Sepak Takraw Malaysia Perlu 'Re-engineering'

Salam,

Sukan SEA 2011 telahpun berlalu, namun semasa saya pulang ke kampung baru-baru ini, teman-teman di kampung masih lagi memperkatakan tentang kegagalan pasukan sepak takraw kita dalam temasya  sukan itu. Maklum sajalah, sukan ini telah menjadi minat dan tumpuan kami sejak kecil lagi. Inilah sukan yang kami bermain semasa di kampung dan di sekolah dahulu.

Pada waktu itu, terdapat dua gelanggang sepak takraw di kampung saya, tetapi hari ini, tapak tersebut sudah tiada lagi. Anak-anak muda lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti lain. Sukan sepak takraw sudah terpinggir di kampung saya. Bakat yang mungkin ada pada anak-anak muda di kampung ini hilang begitu saja. Tenggelam jualah ia sebagai sukan warisan pusaka bangsa di kampung ini.

Berbalik kepada prestasi pasukan sepak takraw negara kita, kekalahan demi kekalahan dalam beberapa kejohanan yang kita sertai amat mengecewakan. Ia juga membimbangkan bila pasukan dari Korea Selatan dan Indonesia sudah mampu untuk membelasah pasukan kita. Malah pasukan Myanmar dan Jepun sudah boleh menunjukkan taring mereka.

Keresahan ini amat dirasakan oleh para peminat sukan tanah air, sehingga mempersoalkan kewibawaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), malah sampai mencela kepimpinan Presidennya. Ada benarnya kritikan-kritikan pedih itu diterima oleh Badan ini, sebagai contoh, Ketua Jurulatih Jamaluddin Hassan berkata beliau tidak sempat untuk mempersiapkan skuad sepak takraw negara kerana baru menjawat tugas tersebut pada bulan April yang lalu, sedangkan terdapat pihak lawan yang sudah mempersiapkan pasukan mereka untuk Sukan SEA 2011 ini sejak tahun 2007 lagi. Manakala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata beliau tidak nampak kesalahan patut diletakkan kepada jurulatih kerana pemain sendiri takut berdepan dengan lawan (Sinar Harian, 22/11/11).

Alasan-alasan di atas hanya menunjukkan sesuatu yang tidak baik oleh pengurusan PSM dalam menyediakan para pemain dan pasukan negara untuk temasya Sukan SEA ini. Bukanlah kita ingin menafikan usaha dan keringat PSM dalam membangunkan sukan sepak takraw di negara ini, namun hasilnya tidak kelihatan kerana sasaran sekurang-kurangnya satu emas melayang jauh.

Saya tertarik dengan pendapat seorang teman saya, katanya 'May be PSM needs a re-engineering, the radical redesign of processes, organization and culture to achieve a quantum leap in performance'. Saya percaya Datuk Ahmad boleh melakukannya. Saya melihat beliau mempunyai tinggi jati diri, mental teguh, bergolok secara peribadi demi pemajuan sukan sepak takraw dan yang paling penting tidak mudah beralah dengan desakan. Mungkin kata-kata Vince Lombardi, ketua jurulatih lagenda American Football dalam tahun 60'an ini dapat membakar lagi semangat beliau.

1. Mental toughness is essential to success
2. The harder you work, the harder to surrender
3. It's not whether you get knocked down, It's whether you get up again
4. They may not love you at the time, but they will later

Semua pihak perlu membantu PSM untuk meletakkan semula Malaysia sebagai penakluk dunia. Saya sekadar memberi pandangan, mungkin berguna juga.

Wasalam.