Jumaat, 31 Ogos 2012

Merdeka Ke55 : Menghargai Pahlawan Yang Tewas

Whether regarded as villains or heroes
These men have become legends
The mark of Malay patriotism
An eternal symbol of freedom for Tanah Melayu
Al Fatihah 
Salam,

Hari ini, hari kemerdekaan negara kita yang ke 55. Marilah kita memperingati ulang tahun ini dengan rasa tanggungjawab dan patriotisme. Dan kita isikan sambutannya dengan dikobarkan semangat untuk menyanjungi pahlawan-pahlawan kemerdekaan yang tewas (gugur), tidak kira apa jua wadah perjuangan mereka kerana matlamatnya satu, iaitu membebaskan negara dari koloniolisme penjajah. 


Tok Lela, Dato' Sagor, Pandak Indut, 
Mat Salleh, Tok Janggut, Mat Indera
Keberanian telah mengisi dada kalian
Membara darah kesatria
Denyut nadi adalah gendang perwira
Atas nama kehormatan dan makna kebebasan
Kalian terus maju, mara diantara hujan senjata
Biar tersungkur menjamah bumi
Atau terkepar di tali gantung
Demi mewariskan Tanah Melayu kepada anak bangsa.

Mengambil kata-kata Pak Lah 'sesungguhnya segala kejayaan yang di capai hari ini ditunjangi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu'. Maka yang telah berlaku, biarkanlah berlalu, manakala yang mendatang kita hadapi dengan lebih cemerlang. Jadikan peristiwa kemerdekaan ini untuk menyatu padukan kita rakyat Malaysia. Fikirkanlah!

Wasalam.

Rabu, 29 Ogos 2012

Pantun Budi Bahasa : Menghormati Orang Tua




Puteri bongsu memetik melati
Tumbuh mewangi di tengah laman
Gerak laku pancaran budi
Baik pekerti hati tertawan

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Dua rangkap pantun di atas molek menggambarkan keperibadian isteri saya, bukan memuji tetapi itulah cerminan jiwa beliau. Keindahan budi bahasa yang terukir daripada didikan orang tuanya. Dan kerana itulah jua saya menyanjunginya sejak mula bertemu.

Beliau sangat menghormati orang-orang tua dan mengambil berat tentang mereka, terutamanya saudara mara dan jiran yang telah uzur. Lazimnya, beliau tidak lupa menziarahi mereka setiap kali pulang ke kampung, apatah lagi semasa hari perayaan seperti Aidilfitri. Kata beliau 'kita patut menghormati orang-orang tua kerana mereka banyak pengalaman dan dapat memberikan kita tunjuk ajar. Tambahan ia dituntut oleh Islam agar menghormati orang yang lebih tua'.

Mungkin molek juga jika saya pautkan kekuatan pekerti isteri itu dengan pantun-pantun lama dalam menghormati orang-orang tua, agar menjadi petunjuk kepada para remaja kita terutamanya anak-anak saudara kami yang seramai 20 orang itu:

Bunga hiasan penyeri meja
Perabut jati dari Melaka
Jadilah insan berpekerti mulia
Baik hati berbudi bahasa

Apalah tanda batang keladi
Batang keladi di tanah isinya
Apalah tanda orang berbudi
Orang berbudi rendah hatinya

Air telaga sejuk sekali
Anak dara mandi di kali
Orang tua kita hormati
Orang muda kita sayangi

Anak rusa masuk ke laman
Senanglah jua orang memburu
Yang muda buatkan teman
Yang tua jadikan guru

Tidak tempua bersarang tinggi
Begitulah jua sarang kedidi
Orang tua dijunjung tinggi
Orang muda kita sanjungi

Betapa budi bahasa dan menghormati orang tua dipandang tinggi dalam masyarakat kita. Orang Melayu meletakkan nilai sesuatu perlakuan itu berasaskan budi bahasa. Seseorang itu di pandang rendah apabila luntur budi bahasanya. Saya sekadar mengingatkan, mungkin berguna juga.

Jumaat, 24 Ogos 2012

Sambutan Aidil Fitri : Pandangan Saya

Salam,

Setiap kali menjelang Aidilfitri, maka banyaklah persiapan yang akan kita lakukan, seperti mempersiapkan pakaian baru, menyediakan makanan dan biskut raya berbagai jenis, menukar baru hiasan dan kelengkapan rumah, bahkan kadangkala menukar kereta baru. Semuanya harus dilakukan untuk meraikan satu hari tersebut. Kata seorang pekerja saya, 'Sambutan Aidilfitri banyak belanja, ia harus kelihatan berbeza dari hari-hari biasa'.

Maka tidak hairanlah jika persiapan menyambut Aidilfitri telah menjadi suatu kegiatan dagangan dan pesta berjual-beli. Sampai ada dikalangan kita yang agak keterlaluan, memaksa kehendak di luar kemampuan diri, malah sanggup berhabisan untuk meraikannya. Pokoknya semua orang harus bergembira di Aidilfitri.

Memang benar, Aidilfitri tak salah menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Ia adalah satu daripada dua perayaan terbesar Islam dan dinanti-nantikan setiap tahun. Tetapi, apakah itu pengertian sambutan Aidilfitri sebenar yang harus disambut dengan sesuatu yang bersifat lahiriah semata-mata?

Bagi saya, Aidilfitri merupakan penutup Ramadan yang membawa pengertian yang sangat besar,
  • Pertama, adalah rasa bersyukur kerana dapat mengurus hawa nafsu dan merasanya rahmat Allah.
  • Kedua, dapat berkumpul dan bertemu saudara mara serta sahabat handai sambil saling mengucapkan 'Taqabbalullah minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu) atau ucapan 'Maaf Zahir Batin' yang menjadi amalan masyarakat kita.
  • Ketiga, hari bertemunya keadilan dan kasih sayang mereka yang berada terhadap saudaranya para fakir dan miskin. Orang kaya melupakan darjatnya dan merendahkan diri untuk membantu saudaranya yang miskin supaya dapat merasa gembira bersama keluarga pada hari Aidilfitri. Manakala, orang miskin membuang rasa iri hati, 'inferiority' dan rasa terpinggir, kerana kesusahan dan kesedihan mereka tidak diabaikan oleh saudara seagama yang kaya  di Aidilfitri.
Itulah sebenarnya syiar agama dalam menyambut Aidilfitri, bukanlah dengan berbelanja besar dan berlebih-lebihan yang hanya akan mengosongkan  nilai-nilai kerohanian dan penghayatan Ramadan yang baru kita lalui. Semoga kita akan lebih arif dalam menyambut Aidilftri pada tahun akan datang dengan meneladani sunnah Rasulullah dan selari dengan perintah Allah SWT. Ini pandangan saya mungkin salah, tetapi bersama-samalah kita memikirkannya.

Wasalam.

Ahad, 19 Ogos 2012

Syabas! PLUSLine dan PLUS Ronda


Salam,

Pada coretan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman ketika mengalami kerosakan kereta di Lebuhraya Utara-Selatan pada 16 Ogos 2012 baru-baru ini.

Kejadian berlaku semasa saya dalam perjalanan ke Bukit Kangkar, Johor. Setibanya saya di KM276.9 diantara Nilai dan Seremban pada jam 12.48 pagi, salah satu tayar belakang kereta saya meletup. Mujurlah tiada apa yang lebih buruk berlaku. Keadaan lebuhraya waktu itu gelap-gelita dan sibuk dengan kenderaan, maklum sajalah pesta balik kampung telah bermula.

Dalam suasana tersebut saya mempunyai dua kebimbangan, pertamanya takut dirempuh oleh kenderaan lain dari belakang dan keduanya, takut di kunjungi oleh orang-orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap keadaan saya pada waktu itu.

Saya lantas menelefon PLUSLine untuk bantuan kecemasan. Apa yang saya hargai ialah apabila panggilan saya dijawab dengan pantas oleh seorang petugas lelaki dengan nada bersopan dan menenangkan. Selepas lima minit saya membuat panggilan kedua untuk bertanya sesuatu, sekali lagi panggilan saya dijawab pantas. Wah, hebat organisasi ini kerana dalam deringan pertama sahaja panggilan saya telahpun dijawab.

Manakala polis bantuan PLUS Ronda pula tiba dalam masa kurang daripada 10 minit. Sekali lagi saya merasa kagum dengan 'response time' pasukan ini, pantas dan cekap, serta tangkas memberikan bantuan. Begitu efisyen dan tinggi mutu perkhidmatan PLUSline dan PLUS Ronda. Saya merasakan wajar mencatatkannya sebagai satu contoh 'a world class customer services' oleh salah satu syarikat Malaysia yang patut diberikan penghargaan dan sanjungan tinggi. Seharusnya ia menjadi teladan kepada organisasi Malaysia yang lain.

Kepada operator PLUSLine dan dua anggota polis bantuan PLUS Ronda yang bertugas pada waktu itu, saya ucapkan penghargaan dan terima kasih kerana telah menjalankan tugas dengan cekap serta berdedikasi, sejajar menepati 'Mission Statement PLUS : providing efficient and safe expressway network that enhances quality of life'. Anda membuatkan saya sebagai salah seorang pengguna yang akan merasa lebih yakin dan selamat di lebuhraya anda.

Syabas! PLUSLine dan PLUSRonda!

Rabu, 15 Ogos 2012

Superhero, Kartun dan Anak : Pengalaman Saya


Salam,

Anak saya Emir baru berusia tiga tahun setengah, tetapi sudah mempunyai filem kartun dan superhero kegemaran, seperti Ultraman dan Kamen Rider yang dapat ditontoninya di kaca TV, malah rela duduk memangku 'iPad' untuk berjam lamanya menonton cerita-cerita kegemarannya itu.

Filem-filem ini nampaknya memberi pengaruh yang agak terkesan terhadap Emir. Dia amat mudah meniru adegan pergaduhan 'fighting scene' yang dilihatnya dalam kedua-dua filem tersebut. Tingkahnya keras dan kadangkala seperti membuli adik dan kawan-kawan sebayanya.

Saya terfikir apakah filem superhero dan kartun baik ataupun tidak untuk Emir? Betulkah keputusan saya membenarkannya menonton filem yang ada unsur kekerasan? Filem yang bagaimanakah paling sesuai untuk anak seusianya? Apakah jenis cerita yang dapat membantu imaginasi dan pembangunan mentalnya? Saya dan isteri telah membincangi perkara ini dengan panjang lebar.

Kata isteri saya ada filem kartun yang menyajikan imaginasi yang tinggi bagi anak-anak, 'it can helps their imagination to wonder, which is good to mental development'. Tinggal lagi bagaimana ibu bapa memilih cerita yang tepat untuk anak-anak mereka. Kartun Upin dan Ipin misalnya sangat baik untuk mendidik akhlak anak' sambungnya.

Namun, suatu yang positif ialah apabila kami amati Emir mampu berfantasi dan berupaya mencipta teman khayalan (imaginary friends). Kelihatan dia berupaya mengolah cerita filem-filem kartun yang ia tontoni melalui percakapannya dengan teman khayalannya. Kata seorang sahabat kami ' it is a make believe friends grow out of healthy active imaginations. It gives children a great way to express their feelings and and a playmate to practice their social skills' jelasnya.

Namun begitu, saya dan isteri kini lebih cermat dalam memilih filem superhero dan kartun untuk Emir dan adiknya. Kami dapati tidak semua filem superhero dan kartun yang diterbitkan untuk konsumen anak-anak. Banyak kartun yang beredaran di pasaran dan TV yang tidak sesuai untuk anak-anak. 'Let some of the wrong cartoons or superheroes films are best saved for adults' kata isteri saya.

Kami juga bersepakat untuk mengambil masa mendampingi anak-anak ketika mereka sedang menonton filem superhero dan kartun, sambil menerangkan apa yang baik atau tidak baik dan apa yang boleh atau tidak boleh mereka tiru dari adegan filem yang ditontoni itu.

Saya sekadar berkongsi pengalaman mungkin berguna kepada para ibu-bapa.

Wasalam.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Go Mo! Go Mo! : Sorakan Keramat Di London 2012

Salam,

Go Mo! Go Mo! begitulah bunyi sorakan 80,000 penonton di Stadium Olimpik London pada hari Sabtu, 4 Ogos lalu, memberikan sokongan padu kepada Mohammad Farah atau Mo Farah pelari jarak jauh 'Team GB' dalam acara larian 10,000KM di Summer Olympics London 2012.

Ia merupakan sorakan keramat buat pelari itu apabila memenangi pingat emas dalam acara tersebut dengan masa 27 minit 30.42 saat. Kata beliau "if it wasn't for the crowd and their support, people shouting out my name, cheering and putting that Union Jack up, I don't think it would have happened. It was unbelievable support" sambungnya.

Maka terciptalah satu sejarah dalam sukan Great Britain apabila buat pertama kalinya atlet negara tersebut memenangi pingat emas dalam acara itu. Paling manis, bila Mo Farah dapat mengatasi Kenenisa Bekele, pelari Ethiopia yang merupakan juara dan pemegang rekod dunia untuk acara 5,000M dan 10,000M, dan merupakan juara Olimpik sebanyak dua kali.

Saya dapat menyaksikan kejayaan bersejarah Mo itu dalam siaran langsung Astro secara 'live'. Terima kasih Astro. Lalu saya pun terpanggil untuk mencoretkan sedikit tentang pelari hebat ini dan merasa amat berbesar hati dapat berbuat demikan bukan sahaja kerana kejayaannya memenangi emas, tetapi kerana beliau berjaya melakukannya ketika sedang beribadah puasa. Beliau berpuasa disepanjang bulan Ramadan, sedangkan beliau perlu berlatih dengan kuat dan bersaing pula dengan pelumba-pelumba handal dari Kenya dan Ethiopia.

Kejayaan Mo, elok dijadikan teladan kepada para atlet kita. Mengikut kabarnya, beliau pernah berlatih di Iten, Rift Valley, Kenya yang terkenal dengan jolokan 'The Mecca of Running' kerana di situ muncul pelari-pelari jarak jauh Kenya yang bertaraf dunia. Dan di situ juga terdapat seorang 'Inspirational Coach' terkenal bernama Brother Colm O'Connel yang telah berjaya melahirkan jaguh-jaguh sukan lumba lari Kenya.

Sebelum ke London 2012, Mo berlatih pula dibawah 'Nike Oregon Project' di Portland, USA dibawah jurulatih Alberto Salazar. Diantara objektif projek ini adalah untuk mengkaji dan menandingi pelari-pelari jarak jauh Afrika yang telah mendominasi acara tersebut sejak sekian lama. Di London 2012, Alberto turut menempah nama kerana anak didiknya, Mo Farah dan Galen Rupp meraih kemenangan 1-2 dalam acara sama.

Mungkin kita boleh pelajari sesuatu dengan kejayaan Mohammad Farah atau Mo Farah ini. Saya sekadar memberikan pandangan, mungkin berguna.

Wasalam.

Selasa, 7 Ogos 2012

London 2012 : Kemenangan Moral Atlet Muslimah

Fatima Sulaiman Dahman (Yemen)
Aia Mohamed (Qatar)
Salam,

Summer Olympics London 2012 telah melakar sejarah bagi atlet wanita Islam. Satu kemajuan dalam perjuangan menuntuk hak mereka untuk menyertai sukan di peringkat antarabangsa. Kalau dahulu mereka berdepan dengan dilema kerana tidak dibenarkan menyertai olimpik, samada kerana halangan politik, sosial, agama mahupun peraturan sukan itu sendiri, tetapi di London kali ini, buat pertama kalinya atlet-atlet wanita dapat bertanding dalam semua 26 jenis sukan yang ditawarkan.

Kalau 16 tahun dahulu semasa Atlanta Games 1996, sebanyak 26 negara tidak menghantar atlet wanita mereka, tetapi di temasya kali ini semua negara peserta mengirim setidak-tidaknya seorang ahli sukan wanita untuk bertanding. Brunei umpamanya, telah menghantar seorang pelari wanitanya, Maziah Mahasin untuk menyertai lumba lari jarak 400M. Negara tersebut sebelum ini tidak pernah menghantar atlet wanita dalam sukan olimpik.

Isu utama ialah peraturan berpakaian atlet wanita (dress codes), dimana berlaku pertembungan antara tuntutan agama dan peraturan sukan itu sendiri. Di satu pihak bertegas tidak akan mengorbankan tuntutan agama semata-mata untuk membolehkan atlet Muslimah bertanding. Manakala di pihak satu lagi berkeras mempertahankan prinsip, keselamatan serta disiplin sukan itu sendiri. Perkara ini berlaku apabila FIFA mengharamkan pemakaian tudung pasukan bola sepak wanita Iran dalam pusingan kelayakan Olimpik 2012. Sebelum itu Persatuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) melarang atlet wanita yang menutup tangan dan kaki mereka. Terbaru, apabila Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) menolak penyertaan atlet Saudi Arabia yang memakai hijab di Olimpik 2012.

Bagaimanapun, perselisihan tersebut berjaya diselesaikan apabila semua pihak menemui kata sepakat bahawa pemakaian atlet Muslimah tidak memudaratkan baik dari segi keselamatan mahupun kesihatan, dan hanya memerlukan perubahan dalam peraturan sukan dan mencipta pakaian (modest sportswear) yang menepati kehendak agama dan bersesuaian dengan sukan yang disertai.

Bagi saya, ini merupakan satu kejayaan dakwah, apabila Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan gabungannya dapat menerima nilai Islam dalam sukan. Ia juga merupakan kemajuan baru untuk mengikis sikap prejudis pihak-pihak yang mengatakan Islam mengongkong hak-hak wanita. Disamping memperbetulkan pentafsiran mereka yang mengamalkan religious extremism dalam agama.

Katakanlah atlet-atlet Muslimah ini tidak memenangi pingat dalam Olimpik kali ini, tetapi perjuangan mereka akan menjadi inspirasi dan membakar semangat kepada generasi baru Islam untuk mengambil sukan sebagai karier atau  profesion mereka kelak.

Wasalam.

Sabtu, 4 Ogos 2012

Mengenang Ahmad Deedat : Pendakwah Islam Terulung

Salam,

Tanggal 8 Ogos 2012 nanti, genaplah 7 tahun kematian Sheikh Ahmad Deedat, pendakwah Islam terkemuka dari Verulom, Afrika Selatan. Beliau merupakan seorang ilmuan dalam perbandingan agama (comparative religion) dan sangat terkenal kerana kebijaksanaannya berpidato dan berdebat mengenainya

Saya amat menyanjungi pendakwah terulung ini kerana kegigihannya terhadap pengembangan Islam di peringkat antarabangsa, dan usahanya untuk meyakinkan umat manusia bahawa Islam adalah cara hidup sebenar.

Beliau merupakan pengasas kepada Islamic Propagation Centre yang berpusat di Durban, Afrika Selatan dan penerima King Faisal International Award (In the field of Daawah and Islamic Missionary Activity).

Saya mula mengenali tokoh ini melalui buku-buku tulisan beliau yang dihadiahkan oleh seorang teman saya sekitar tahun 1989-1990, seperti 'Muhammad The Natural Succesor To Christ, Al Quran The Miracles of Miracles, Is The Bible God's Word dan Muhammad In The Bible'. Sejak itu saya mula mengikuti syarahan dan debat beliau samada melalui penulisan mahupun Video Cassette yang saya boleh dapati di SABA Islamic Media, Kuala Lumpur.

Pengalaman paling indah apabila saya sendiri dapat bertemu Ahmad Deedat secara 'live' ketika saya menghadiri satu majlis amal yang diadakan di PJ Hilton pada tahun 1992, dimana beliau merupakan tetamu untuk memberikan syarahan. Ia satu kenangan manis yang akan terus kekal di hati saya.

Kini, Ahmad Deedat sudah lama meninggal dunia tetapi saya rasa belum ada pengganti sehebat beliau. Walaupun telah muncul tokoh-tokoh baru dalam perbandingan agama seperti Dr Zakir Abdul Karim Naik, Mohammad Shaikh dan Moulana Abu Bakar Akoo, bagi saya tidak seorangpun dapat menandingi karisma dan personaliti Sheikh Ahmad Deedat.

Semoga Allah menempatkan tokoh besar ini di kalangan para solihin. Al Fatihah.

Wasalam.

Khamis, 2 Ogos 2012

Muslim Rohingya : Ini Yang Ku Mampu

Di bumi Arakan
Darah mengalir menjadi sungai
Yang keluar dari jasad dan jiwa luka
Muslim Rohingya sungguh lara
Muslim Rohingya penuh duka
Muslim Rohingya amat terseksa

Syaitan Rakhine
Manusia pencabut nyawa
Melolong megah menghayun senjata
Atas nama kuasa dan raga kebinatangan
Kemanusiaan sudah tidak bermakna
Muslim Rohingya begitu murah nyawanya

Muslim Rohingya
Saudara sesyahadah ku
Kemampuan ku hanyalah doa dan titisan pilu