Sabtu, 4 Ogos 2012

Mengenang Ahmad Deedat : Pendakwah Islam Terulung

Salam,

Tanggal 8 Ogos 2012 nanti, genaplah 7 tahun kematian Sheikh Ahmad Deedat, pendakwah Islam terkemuka dari Verulom, Afrika Selatan. Beliau merupakan seorang ilmuan dalam perbandingan agama (comparative religion) dan sangat terkenal kerana kebijaksanaannya berpidato dan berdebat mengenainya

Saya amat menyanjungi pendakwah terulung ini kerana kegigihannya terhadap pengembangan Islam di peringkat antarabangsa, dan usahanya untuk meyakinkan umat manusia bahawa Islam adalah cara hidup sebenar.

Beliau merupakan pengasas kepada Islamic Propagation Centre yang berpusat di Durban, Afrika Selatan dan penerima King Faisal International Award (In the field of Daawah and Islamic Missionary Activity).

Saya mula mengenali tokoh ini melalui buku-buku tulisan beliau yang dihadiahkan oleh seorang teman saya sekitar tahun 1989-1990, seperti 'Muhammad The Natural Succesor To Christ, Al Quran The Miracles of Miracles, Is The Bible God's Word dan Muhammad In The Bible'. Sejak itu saya mula mengikuti syarahan dan debat beliau samada melalui penulisan mahupun Video Cassette yang saya boleh dapati di SABA Islamic Media, Kuala Lumpur.

Pengalaman paling indah apabila saya sendiri dapat bertemu Ahmad Deedat secara 'live' ketika saya menghadiri satu majlis amal yang diadakan di PJ Hilton pada tahun 1992, dimana beliau merupakan tetamu untuk memberikan syarahan. Ia satu kenangan manis yang akan terus kekal di hati saya.

Kini, Ahmad Deedat sudah lama meninggal dunia tetapi saya rasa belum ada pengganti sehebat beliau. Walaupun telah muncul tokoh-tokoh baru dalam perbandingan agama seperti Dr Zakir Abdul Karim Naik, Mohammad Shaikh dan Moulana Abu Bakar Akoo, bagi saya tidak seorangpun dapat menandingi karisma dan personaliti Sheikh Ahmad Deedat.

Semoga Allah menempatkan tokoh besar ini di kalangan para solihin. Al Fatihah.

Wasalam.

Tiada ulasan: