Ahad, 21 Disember 2008

Ahmad Nisfu - Lagenda Seorang Seniman Melayu


Salam,

Saudara pembaca, pada kali ini saya ingin berbicara tentang pelakon filem Melayu yang amat saya minati iaitu Seniman Ahmad Nisfu. Saya berbangga dapat memuatkan sedikit tentang Bintang yang saya kagumi ini. Disamping itu dapat juga menyerikan lagi kandungan Blog saya dengan variasi maklumat dan cerita.

Seniman Ahmad Nisfu bagi saya adalah lagenda seni lakon tanah air "A Super Star". Saya mula meminati Seniman ini bila melihat filem-filem lakonannya dikaca TV dan setiap kali kalau menonton filem Melayu di TV yang membariskan beliau sebagai pelakon, saya akan menontonnya hingga tamat. Ada kepuasan setiap kali menonton filem-filem yang menampilkan beliau. Biarpun dalam kebanyakan filem selaku "supporting actor" namun beliau berjaya membawa wataknya dengan begitu baik dan menjadikan filem-filem itu sangat menarik ditonton. Mungkin inilah "X-Factor" yang dimaksudkan oleh mereka orang-orang seni.

Boleh jadi kerana itu juga beliau dikagumi oleh Seniman Agong, Tan Sri P.Ramlee. Banyak filem-filem lakonan P.Ramlee seperti Nujum Pak Belalang, (1959), Musang Berjanggut (1959), Pendekar Bujang Lapok (1959), Antara Dua Darjat(1960), Seniman Bujang Lapok(1961), Ibu Mertua ku (1962) Tiga Abdul (164) dan Madu Tiga (1964) menampilkan Seniman Ahmad Nisfu.

Bagi saya beliau adalah seorang pelakon yang sempurna. Berikan apa saja watak, beliau dapat menjiwainya dengan sebegitu baik dan hidup. Lihat saja lakonannya sebagai Tengku Karim dalam filem Antara Dua Darjat, kita boleh menjadi geram dan membencinya. Manakala dalam filem Seniman Bujang Lapok, beliau bukan sahaja melucukan tetapi kita boleh terikut-ikut dengan dialognya seperti "kecik-kecik tak nak mampus, dah besar menyusahkan orang'.

Seorang pengulas filem di IMDb, The Internet Movie Database, Mad Janssen of The Netherlands memberikan komen yang sangat baik tentang kualiti lakonan Ahmad Nesfu, katanya "This is the perfect movie (3 Abdul) to watch Ahmad Nesfu at his evil best but even then, it's difficult to really truly hate him as he does it with such comedic contempt that you can't help but like him"

Ahmad Nisfu juga dikatakan sebagai seorang penulis. Cerita asal filem Ibu Mertua Ku adalah ditulis oleh beliau.

Sejarah hidup beliau tidak dapat saya perkatakan dengan banyak kerana tiada maklumat lengkap yang saya perolehi. Selain beliau berasal dari Tanjong Tokong Pulau Pinang, berbangsa Melayu dan mula terbabit dalam bidang seni sebagai seorang pelakon bangsawan. Di luar lokasi pula, beliau adalah seorang Imam atau Bilal di Surau Onan Road, Singapura. Pada penghujung hayatnya, beliau tinggal di sebuah Kubu Jepun di Jalan Labu Singapura tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas Off Geylang Serai. Tidak pula diketahui, bila beliau meninggal dunia, mungkin disekitar tahun 70'an kerana pada tahun 1970 dan 1971 beliau masih lagi dilihat berlakon, seperti dalam filem Puaka (1970) dan Mat Karung Guni(1971). Selepas itu tiada lagi berita mengenai beliau.

Saya difahamkan diusia akhirnya, beliau tinggal dalam keadaan daif dan sebatang kara. Ini amat menyedihkan bagi seorang penggiat dan pejuang seni filem Melayu yang banyak berjasa seperti beliau. Mungkin perlu ada sesuatu usaha dilakukan untuk mengingati sumbangan setiap mereka yang telah berjuang dan menghabiskan masa mereka untuk membangunkan industri filem Melayu di nusantara ini.

Al Fatihah.

4 ulasan:

Ghadaffi Khalid berkata...

Salam,
Terima kasih sy ucapkan kpd tuan kerana memberikan sedikit informasi tentang seniman Ahmad Nisfu. Saya juga tercari2 keratan mengenainya kerana pada saya dia juga pelakon yg sangat hebat. Boleh dikatakan sebaris dgn Dato Aziz Sattar & Shamsudin. Sedih apabila saya dapat tahu kesudahan hidup beliau yg demikian. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghormati & menghargai jasa2 mereka pada industri perfileman kita. Sekian

Malik berkata...

Ahmad Nisfu..Tidak berlebihan sekiranya saya katakan beliau adalah diantara pelakon-pelakon Melayu terhandal sepanjang zaman. Tetapi kenapa nama dan jasanya dilupakan? Malah ada pelakon-pelakon lain yang tidak sehebatnya mendapat pengiktirafan yang lebih besar. Kedaifan beliau dihujung hayatnya sangat menyedihkan setelah kita melihat dan terhibur dengan lakonan-lakonannya. Saya sangat berharap kita dapat melakukan sesuatu untuk mengingati beliau sebagai salah seorang anak watan yang tersohor.

kawaii_desu berkata...

Sebak rasa di hati... tiada penghargaan buat beliau... sedih bila baca sini:
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=82894

Unknown berkata...

I am the real grand daughter of the late Ahmad Nisfu. My father is the real son. Only one. Please delete this post. I want to find the writer of this fake article. Please contact me. Many thanks and regards. My email hartini.osman@gmail.com