Rabu, 15 September 2010

Bila Anak-Anak Melayu Menganggur - Apa Kita Nak Buat?

Salam,

Tadi malam, saya dan empat orang jiran lama minum teh tarik sambil bertanya kabar di sebuah kedai mamak di Ampang Point Selangor. Sempena bulan raya ini elok benarlah kami bertemu dan mengeratkan lagi persahabatan kami berempat.

Sudah tentulah topik perbualan kami berkisar tentang keluarga, pekerjaan dan kisah-kisah lama yang mencuit hati. Dalam kerancakan itu terpantul juga perkara serius yang kami bualkan, iaitu mengenai anak-anak menganggur. Seorang jiran saya ini mempunyai dua orang anak yang menganggur. Manakala seorang lagi jiran mempunyai tiga orang anak saudara yang masih menganggur.

Maka banyaklah yang terkeluar dari mulut kami tentang permasalahan ini, diantaranya anak Melayu suka memilih kerja, lemah penguasaan bahasa kedua dan kurang kemahiran. Terdapat juga syarikat-syarikat milik bukan Melayu tidak mahu mengambil anak-anak Melayu untuk bekerja dengan mereka, serta banyaklah lagi alasan dan terasa ada pula yang sensitif untuk didebatkan.

Saya lalu teringat pandangan Sdr. Abdullah Karim, Pengarah Hal Ehwal Pelajar Dewan Pemuda Pas Pusat suatu ketika dahulu. Beliau menyatakan orang Melayu kebanyakannya adalah anak-anak petani, nelayan dan anak-anak pegawai kerajaan, jadi apabila keluar dari universiti mereka sukar untuk mendapat pekerjaan dan terpaksa bersaing untuk merebut peluang tersebut sesama mereka. Berbeza pula dengan kedudukan pelajar dari kaum Cina, kebanyakan tidak perlu bersaing sesama sendiri kerana keluarga mereka banyak menceburi perniagaan dan mereka lebih banyak berkhidmat dengan syarikat milik keluarga atau saudara mara sebaik saja tamat pengajian.

Memang ada benarnya apa yang dikatakan itu, Contohnya, HarakahDaily pada 24.01.07 pernah melaporkan peratus graduan Melayu yang menganggur ialah sebanyak 96.33 peratus., berbanding graduan Cina 1.73 peratus. Manakala, pada 19.05.10, Utusan Malaysia mendedahkan peniaga Melayu cuma menguasai 10 peratus hartanah (ruang niaga) komersial di seluruh negara.

Kedua-dua contoh tersebut sudah cukup menggambarkan masa depan yang akan dihadapi oleh anak-anak Melayu. Saya berpendapat seharusnya masalah pengangguran orang-orang Melayu diletakkan sebagai agenda utama Melayu oleh masyarakat Melayu bagi membela nasib bangsanya. Orang Melayu harus dibantu dengan apa carapun supaya mendapat bahagiannya dalam bidang ekonomi. Kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu saya kira boleh membantu.

Mesti ada pemimpin, pertubuhan dan badan berkuasa yang boleh menggerakkan agenda ini bagi mewujudkan suatu mekanisme dan rangkaian ekonomi Melayu yang kuat sepertimana orang Cina menguasai ekonomi. Sistem sediada yang membantu orang Melayu harus dikaji semula keberkesanannya. Mesti ada pendekatan baru, pendidikan baru dan konsep baru. Orang Melayu wajib dikerah untuk menceburi sektor perniagaan biar wujud kantor dan kedai disetiap kampong dan bandar dengan mengambil anak-anak Melayu sebagai pekerja.

Sebagai contoh diwujudkan projek satu kampong satu rangkaian perniagaan Melayu. Saya melihat masih terdapat kampong-kampong Melayu dimana tidak ada satupun kedai yang dimiliki oleh orang Melayu melainkan diusahakan oleh peniaga Cina dan India

Cuba fikirkan sampai bila anak-anak kita mengharapkan simpati dan ehsan peniaga dan syarikat bukan Melayu untuk memberikan anak-anak kita peluang pekerjaan. Mana maruah kita?

Mungkin pendapat saya ini berguna.

Wasalam

Rabu, 8 September 2010

Kepada Semua Muslimin Dan Muslimat


Selamat menyambut Aidil Fitri
Eratkan keluarga, saudara dan teman
Saya menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Salam,

Saya mengucapkan selamat menyambut hari lebaran kepada para pembaca dan pengunjung blog ini. Semoga semangat beribadah yang dikerjakan bersungguh-sungguh pada Ramadan kali ini dapat diteruskan dalam bulan-bulan berikutnya sehinggalah Ramadan tahun depan.

Hari mulia ini tentu lebih bererti jika dapat disambut dengan penghayatan konteks ajaran Islam sebenar, sederhana dan menguasai nafsu. Disamping dapat menyambutnya bersama mereka yang tersayang.

Wasalam.

Selasa, 7 September 2010

Mengenang Pak Rashid


(10 Oktober 1917 - 1 September 2006)

Berkolek mudek ke Kuala Sayung
Biarpun bocor tetap berdayung
Jasa Bapak tetap disanjung
Satria merdeka terulung

Tanggal 1 September 2010 yang lalu, genap 4 tahun Pak Rashid Maidin meninggal dunia pada usia 89 tahun. Saya mendoakan agar amal ibadah dan perjuangannya diterima Allah. Begitulah jua dengan arwah-arwah pahlawan Melayu yang tidak kita kenal saya doakan agar diberi tempat di sisi Allah.

Sejarah 'heroic' perjuangan Pak Rashid mengusir Penjajah Jepun dan British dari Tanah Melayu patut dikenang, terutamanya generasi muda yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Pak Rashid merupakan pahlawan Melayu yang sanggup menyabung nyawa demi pengabdiannya untuk membebaskan bangsa dan nusa.

Sewajarnya rasa bangga dan hormat dirasakan dalam diri setiap anak-anak Melayu di atas pengorbanan Pak Rashid. Dan yang terpenting adalah bagaimana mereka sebagai penerus bangsa dapat mewarisi sifat kepahlawanan beliau untuk masa depan Malaysia tercinta.

Pak Rashid dilahirkan pada 10.10.1917 di Kampong Gunung Mesah, Gopeng Perak. Kerjaya politiknya bermula pada tahun 1939 pada usia 22 tahun. Beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berhaluan kiri dan menentang British. Beliau kemudiannya menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tahun 1941. Pak Rashid kekal memilih PKM sebagai wadah perjuangannya.
Walaupun selepas Tanah Melayu merdeka pada 31.08.1957. Pak Rashid enggan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaya atas alasan pemerintahan masih mengikut telunjuk dan berbagai syarat penjajah British. Sehinggalah persetujuan damai tiga pihak dimetrai oleh Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan PKM pada 2.12.1989, dan tamatlah persengketaan bersenjata PKM terhadap negara yang sudah memakan masa lebih 40 tahun.
Akhirnya, Pak Rashid menetap di perkampongan perdamaian di Ban Chulaborn Patana II di Wilayah Yala Selatan Thailand. Di kampong tersebut Pak Rashid mengajar Al Quran kepada anak-anak di situ. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1.9.2006 di Sisakoin, Narathiwat, Thailand.
Coretan saya ini sekadar menyatakan bahawa Pak Rashid turut berperanan untuk kemerdekaan tanah air kita. Beliau wajar dikenang jasanya sebagai pahlawan nusa dan bangsa. Coretan ini juga sekadar pengobar semangat generasi muda supaya menghargai perjuangan orang-orang tua kita dahulu sehingga terciptanya Tanah Melayu yang bebas, maju, aman dan damai.
Wasalam.

Rabu, 1 September 2010

Mengapa Saya Memuja Wanita Ini?


Salam,

Saya mudah menyukai mereka yang bersungguh dalam kerjanya, terutama yang mempunyai semangat kental dan daya juang untuk bangun bila jatuh, bangun lagi bila kembali jatuh, sehingga berjaya mencapai kejayaan yang dicitakan. Begitulah yang berlaku kepada perjalanan seni Seniwati Diane Lane. Kesungguhan seperti itulah yang membuat saya amat meminati personaliti hebat ini.

Saya menjadi peminat beliau sudah melebihi suku abad, sejak mula menonton filem-filem lakonannya pada awal 80'an, seperti Touched By Love (1980), The Fabulous Stain (1982) dan Rumble Fish (1983). Pada masa itu saya meramalkan dia pasti akan menjadi 'a household name' dalam industri ini. Benarpun, dengan rekod 16 kali dicalonkan untuk memenangi anugerah 'Best Actress' merupakan satu pencapaian yang tak dapat disangkal lagi.

Karier filem beliau bermula dengan filem A Little Romance pada tahun 1979, lantas dinobatkan sebagai Best Juvenile Actress In A Motion Picture pada tahun yang sama. Pada tahun berikutnya beliau dianugerahkan pula sebagai Best Young Actress In a Motion Picture melalui filem Touched By Love (1980).

Namun pada tahun-tahun seterusnya beliau gagal menyerlah, filem-filem lakonannya dikritik hebat seperti filem Cattle Annie And Little Britches (1981) dan Six Pack (1982). Malah, melalui filem The Cotton Club (1984) dan Streets Of Fire (1984) dianggap sebagai 'A high profile flop' sehingga beliau dicalonkan melalui Razzie Awards sebagai Worst Supporting Actress.

Akibat dari kekecewaan itu, beliau berehat dari dunia lakonan selama tiga tahun dan kembali untuk bangkit semula pada tahun 1987 melalui filem Lady Beware dan The Big Town. Namun, proses untuk membangunkan semula karier filemnya agak perlahan dan hanya diberikan peranan-peranan kecil melalui Judge Dredd (1995) bersama Sylvester Stallone, Jack (1996) bersama Robin William dan Murder At 1600 (1997) bersama Wesley Snipes.

Akhirnya, karier seninya kembali dipuncak, kejayaan demi kejayaan bagai jatuh ke riba, bermula dengan 'blockbuster' The Perfect Storm (2000) diikuti pula dengan The Glass House (2001) dan 'No.1 Smash Hit' Hard Ball (2001). Kejayaan paling besar beliau ialah melalui filem Unfaithful (2002), dimana beliau banyak menerima pencalonan anugerah seperti, Best Actress In A Leading Role (Academy Awards USA), Best Performance By An Actress In A Motion Picture-Drama (Golden Globes USA), Outstanding Performance By A Female Actor In A Leading Role (Screen Actors Guild Awards), Best Performance By An Actress In A Motion Picture-Drama (Satellite Awards), dan Best Actress (National Society Of Film Critics Awards USA).

Sehingga kini Diane Lane masih kekal dipuncak. Bak kata penulis Daryl Moulton " She is very well regarded within the industry, adored by film fans, and has a credibility and quality that is all too rare today. Her immense talent at playing human and real characters, her drop dead gorgeous and down to earth grittiness guarantees that she will stay on top for a long, long time"

Wasalam.

Selasa, 31 Ogos 2010

Sambutan Kemerdekaan Perlu Diisi Dengan Mengingati Perintis Dan Pejuangnya


Salam,

Hari ini kita merayakan Sambutan Kemerdekaan Negara ke 53. Namun, kelihatan seperti sudah redup dalam jiwa sebahagian orang Melayu untuk meraikannya sebagai peristiwa penting dalam sejarah bangsa. Seolah-olah sambutan itu sekadar upacara ritual tahunan yang tidak berisi.

Mungkin kerana kita sudah jauh merentasi perubahan dalam tempoh itu. Mungkin juga kerana kita telah berjaya mengisi nikmat kemerdekaan dengan pembangunan fizikal, ekonomi, pendidikan mahupun daya saing diperingkat global. Semua itu mungkin tidak dapat dirasai tanpa jasa nenek moyang kita yang mewariskan negara ini kepada kita dan generasi Melayu akan datang.

Nilai sambutan kemerdekaan perlu terisi dalam jiwa setiap anak Melayu dengan dikobarkan semangat untuk menyanjungi jasa-jasa para perintis dan para pejuangnya. Generasi muda kita perlu menghayati semangat nenek moyang mereka yang sanggup gugur bagi mengakhiri kolonialisme penjajah sejak tahun 1511 lagi. Semestilah, api semangat itu terus dinyalakan dalam kesempatan sambutan seperti ini agar anak-anak kita terus berjuang sebagai penerus bangsa dan demi Malaysia tercinta.

Tak mungkin kita dapat mencintai negara dan bangsa kalau tidak mengenal sejarahnya. Ini adalah kerana kesedaran sejarah mempertautkan makna masa lalu, masa kini dan masa depan survival bangsa.

Saya berpendapat bahawa mahu tidak mahu kita harus mengingat kembali perjalanan sejarah mereka yang muncul sebagai perintis kebangkitan bangsa Melayu untuk mengusir penjajah dari bumi bertuah ini. Mungkin ada pihak yang dapat mendokumentasikan biography pahlawan-pahlawan kemerdekaan kita itu bermula dari tahun 1511 sehingga 1957, atau ada para Sejarawan yang dapat membukukan senarai 100 pahlawan Melayu paling berpengaruh menentang penjajahan samada dari golongan Ulama, Nasionalis, Sosialis dan sebagainya. Sebagai contoh Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato' Maharaja Lela, Mat Kilau, Dato Onn Jaffar, YM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Abdullah CD, Rashid Maidin dan ramai lagi.

Mungkin juga wajar diadakan satu hari khas untuk mengingati para pejuang kemerdekaan ini dengan pengisian yang benar-benar bermakna.

Mungkin cadangan saya ini berguna.

Wasalam.

Isnin, 23 Ogos 2010

Ramadan Saya 40 Tahun Dulu

Salam,

Pada kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca pengalaman saya dalam bulan puasa 40 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1966. Waktu itu saya masih anak-anak lagi, tetapi sudah dididik untuk berpuasa. Saya tinggal di Simpang Lima, Kampung Sitiawan, Perak. Ia merupakan sebuah perkampungan kecil yang tidak mempunyai bekalan air mahupun elektrik. Penduduk di sini hanya menggunakan telaga sebagai sumber air dan menggunakan pelita minyak tanah untuk menerangi malamnya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah penggunaan sejenis alat idiofon yang dipanggil Keghontong, dan peranannya kepada masyarakat kampong pada waktu itu untuk kegiatan keagamaan mahupun untuk berkomunikasi. Keghontong ini diperbuat daripada batang nangka yang ditebuk lubang di permukaan tengahnya bagi mendatangkan gema yang kuat. Manakala alat pemalunya pula menggunakan kayu bakau sebesar lengan. Ia ditempatkan di anjung masjid dan di madrasah.

Pada bulan puasa Keghontong dipalu untuk menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Ia juga digunakan untuk membangunkan penduduk kampung pada waktu sahur, biasanya disekitar jam 4.oo pagi sehingga 5.oo pagi.

Apa yang seronoknya kepada saya ialah kanak-kanak dibenarkan oleh orang-orang tua untuk turut memalu keghontong di masjid bagi membangunkan penduduk kampung pada waktu sahur. Pada bulan-bulan lain kami langsung tidak dibenarkan menyentuhnya. Manakala, anak-anak muda yang lebih dewasa pula dibenarkan membawa Keghontong yang ringan dan bersaiz kecil ke sekeliling kampung sambil memalu dan melaung...bangkit-bangkit sahur!

Kegunaan utama Keghontong ini ialah untuk menandakan masuknya waktu solat. Cara pemaluannya ialah di pukul dengan tempo yang laju dan panjang serta diakhiri dengan pukulan kuat dan temponya perlahan satu demi satu mengikut rakaat solat . Contohnya, kalau paluan itu diakhiri dengan pukulan tiga kali yang kuat itu menandakan telah masuk waktu maghrib.

Selain itu, Keghontong juga digunakan untuk memberitahu penduduk kampong tentang adanya kematian dikampong tersebut, rentak paluannya sama cuma diakhiri dengan pukulan kuat, satu kali untuk kanak-kanak, lima kali untuk wanita dan tujuh kali untuk lelaki.

Semuanya itu hanya satu lembaran kenangan bagi saya yang tidak akan dapat dialami oleh anak-anak saya. Dunia semakin maju dengan teknologinya. Semoga catatan kenangan ini menjadi pengetahuan buat generasi moden kita.

Wasalam.

Sabtu, 1 Mei 2010

Graduan Perubatan Malaysia Berebut Kerja Di Singapura - Pendapat Saya


Salam,

Hari ini Hari Pekerja. Hari untuk warga kerja menilai diri tentang pemenuhan tuntutan tanggungjawab dan amanah dalam kerjaya masing-masing.

Pada sambutan tahun ini, Kementerian Sumber Manusia mahu para pekerja lebih daya bersaing dan berkemahiran sejajar dengan misi Model Ekonomi Baru (MEB) yang mahukan pekerja meningkat keupayaan diri.

Kebetulan pada hari ini juga Berita Harian melaporkan semakin ramai graduan perubatan negara yang ingin bekerja di Singapura. Daripada 209 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia yang lulus pada 26 Mac 2010, 20 orang daripada mereka telah menerima tawaran sebagai doktor pelatih di Singapura. Dijangka seramai 80 graduan lagi akan meninggalkan negara ini untuk bekerja di hospital-hospital di Singapura.

"Trend" begini telah membimbangkan Professor Datuk Dr Lokman Saim, Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , sehingga meminta kerajaan menghalang graduan perubatan baru daripada bekerja di luar negara. Alasan beliau supaya doktor-doktor muda tersebut terutamanya penerima biasiswa terlebih dahulu membalas jasa di atas peluang yang diberikan kepada mereka untuk dilatih menjadi doktor dengan berkhidmat di dalam negara. Di samping itu, adalah menjadi syarat kepada graduan perubatan ini untuk melaksanakan khidmat wajib mereka sebagai doktor pelatih atau pegawai perubatan selama tiga tahun di Malaysia.

Pada suatu sudut saya menyokong saranan beliau itu, tetapi saya lebih menyokong jika graduan perubatan ini dibenarkan untuk pendedahan di luar negara sebagai medan latihan untuk mereka berdaya saing dan meningkatkan keupayaan diri. Disamping itu, mereka juga akan menerima gaji yang lebih tinggi sebanyak RM6,187 (S$2,690) berbanding gaji yang mereka terima di negara ini sebanyak RM3,665.

Amat membanggakan kita bila sistem pendidikan perubatan di negara ini mendapat pengiktirafan negara-negara luar, seperti apa yang dilakukan oleh Majlis Perubatan Singapura yang mengiktiraf ijazah perubatan UKM. Kita seharusnya lebih berusaha dan meningkatkan lagi taraf pendidikan di bidang ini, agar terus menjadikan graduan perubatan kita sebagai produk negara yang teratas bertahap dunia dek kerana kualiti.

Mungkin pandangan saya ini berguna untuk para pendidik merenungnya.

Wasalam.

Jumaat, 23 April 2010

Durian Belanda - Buah Ajaib

Salam,

Terlebih dahulu saya mohon izin yang empunya http://cancer-b17.blogspot.com kerana ingin memuatkan artikel beliau tentang Durian Belanda, buah ajaib kurniaan Allah kepada manusia. Saya rasa maklumat tersebut sangat berguna untuk dikongsikan bersama para pembaca.

Durian Belanda adalah buah pembunuh semulajadi sel kanser dengan kekuatan 10 ribu kali ganda lebih kuat dari terapi kemo!

Buah ini di negara kita dikenali sebagai Durian Belanda. Manakala di Indonesia dinamakan sebagai buah Sirsak. Buahnya agak besar, kulitnya berduri lembut, isinya berwarna putih, rasanya masam-masam manis, dimakan dengan membuka kulitnya atau dibuat jus minuman.

Khasiat buah ini memberikan kesan anti tumor kanser yang sangat kuat dan terbukti secara perubatan menyembuhkan segala jenis kanser. Buah ini juga berfungsi sebagai anti bakteria, anti fungus, berkesan melawan berbagai jenis parasit dan cacing, menurunkan tekanan darah tinggi, kemurungan, stress dan menormalkan kembali sistem saraf yang kurang baik.

Hasil penyelidikan perubatan mendapati :-
  • ia menyerang sel kanser secara efektif dan semulajadi, tanpa rasa mual, turun berat badan, rambut gugur seperti yang terjadi pada terapi kemo.
  • ia melindungi sistem kekebalan tubuh dan mencegah daripada jangkitan yang mematikan.
  • pesakit merasa lebih kuat, lebih sihat selama proses rawatan atau penyembuhan.
  • menambah tenaga dan penampilan fizikal semakin bertambah baik.
  • secara berkesan membunuh sel jahat dari 12 jenis kanser yang berbeza. Diantaranya, usus besar, prostat, payu dara, paru-paru dan pankreas.
  • daya kerjanya 10,000 lebih kuat dalam memperlambatkan kan pertumbuhan sel kanser dibandingkan dengan terapi kemo dan Adriamycin yang biasa digunakan.
  • tidak seperti terapi kemo, ekstrak buah ini secara selektif hanya memburu dan membunuh sel-sel jahat dan tidak membahayakan atau membunuh sel-sel yang sihat.
Akhirnya, maklumat yang disampaikan beliau itu sangat berguna kepada kita dan saya ucapkan berbanyak terima kasih. Marilah kita bersama-sama berterusan bertukar-tukar maklumat baik seperti ini untuk kesejahteraan manusia sejagat.

Wasalam.

Isnin, 19 April 2010

Berjiwa Besar - Satu Pekerti Mulia


Salam,

Saya tertarik dengan pengakuan Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat bagi pilihan raya kecil P94 Hulu Selangor semalam. Beliau mengakui melakukan kesalahan di masa lampau, sambil menegaskan beliau juga tidak sempurna, "Apa yang silap, silaplah dan saya tidak pernah lari. Bila saya salah, saya mengaku dan saya minta maaf". Kenyataan tersebut beliau keluarkan apabila dituduh sebagai seorang kaki arak oleh pihak lawan.

Bagi saya, ini adalah ciri-ciri pemimpin berjiwa besar, kerana memang sukar untuk bertemu dengan seorang pemimpin seperti ini, terutama di saat beliau mempertaruhkan dirinya untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Pengakuan ini boleh menjadikan para pengundi beralih untuk memilih calon lain yang lebih bersih dan mempunyai pekerti yang baik. Pilihan raya kecil ini benar-benar menemukan beliau dengan ujian terhadap kebesaran jiwanya.

Saya bukanlah cenderung untuk turut serta dalam perdebatan personaliti calun, mahupun memihak kepada mana-mana pihak. Apa yang ingin saya nukilkan di sini ialah tentang kebesaran jiwa yang ada pada diri seseorang. Sebagai contoh, Salehuddin Al Ayubi seorang pemimpin terkenal Islam adalah seorang yang berjiwa besar. Dia berani, punya kekuatan, punya perasaan marah dan dendam, tetapi lebih memilih kasih sayang dan memaafkan.

Saya berpendapat, seseorang yang berjiwa besar atau mempunyai kebesaran jiwa mempunyai sifat-sifat berikut:-
  • ketika dihadapkan dengan keadaan dimana kita menjadi tersangat marah dan mampu pula untuk membantai lawan atau boleh berbuat sesuatu atas rasa sakit hati, tetapi kita memilih untuk bersabar, bertenang dan memaafkan.
  • berani meminta maaf ketika kita menyedari diri kita bersalah dan menerima kritik dengan hati yang terbuka.
  • sentiasa belajar dari kehidupan, tidak sombong, berfikiran positif, dan bertenang disaat semuanya menjadi rumit.
  • menerima kekalahan dikala kemenangan tidak memihak kepada kita, bah kan ikhlas mengucapkan selamat kepada pihak yang menang.
Berbalik kepada kisah Datuk Zaid tadi, selain dari mengakui kesilapannya, beliau turut menyatakan telah bertaubat kepada Allah di atas perbuatanya yang lalu, maka moleklah bagi semua pihak termasuk lawan supaya tidak menyerang peribadinya lagi. Adat bersaing dalam politik adalah bagaimana mengarahkan diri kita untuk memakmurkan daerah yang akan kita wakili serta memenangi hati rakyat melalui keikhlasan kita menjadi pemimpin mereka.

Mari kita fikir dan hayati nasihat Ustaz Ghani Shamsudin, Pengerusi Sekretariat Ulama Asia "Mereka yang telah bertaubat tidak wajar dihukum dan terus diaibkan. Sebaliknya mereka yang sanggup mengakui kesilapan dan berazam untuk kembali ke jalan yang benar harus diberi sokongan"

Wasalam.

Selasa, 13 April 2010

Mengurus Anak Remaja - Pendapat Saya


Salam,

Malam tadi, saya bersama seorang kawan berborak santai di sebuah warung kopi di Ampang, Diantara topik perbualan kami ialah kesulitan beliau untuk berkomunikasi dengan anak gadis remajanya yang kini berumur 16 tahun. Beliau merasakan anaknya itu agak degil, suka menjawab dan kadangkala seperti memberontak.

Beliau bukanlah keseorangan dalam masalah ini, kerana ramai para bapa yang mengeluh mengenainya. Memanglah, pada masa anak kita kecil, kita tidak berhadapan dengan masalah tersebut, tetapi bila si anak beranjak remaja, keadaannya tentulah berubah kerana si anak mengalami satu tempoh masa (transition period) ke alam dewasa. Si anak akan menghadapi perubahan fisik, emosi termasuk dunia sosialnya. Ada masanya, tidak mampu untuk mengatasi perubahan-perubahan tersebut.

Manakala, si bapa pula kurang menyedari tekanan-tekanan yang dihadapi oleh si anak, malas dan mengambil ringan masalah anaknya. Terdapat juga si bapa yang susah untuk berkomunikasi dengan anak remajanya walaupun duduk sebumbung dalam sebuah keluarga. Pemerhatian saya mendapati, komunikasi antara si bapa dengan anak yang bermasalah, biasanya berbentuk 'authoritative', menilai, mengkritik, mengancam, amaran, menyalah malah ada yang mentertawakan. Sedangkan, si anak memerlukan perhatian, sokongan dan dorongan si bapa, ibu mahupun ahli keluarga yang lain.

Apabila perkara ini berlaku, jalinan komunikasi antara si anak dan bapanya akan terputus, si anak akan menghentikan pembicaraan, merasa rendah diri, berperasaan benci dan marah, merasa bersalah, malah merasakan diperlakukan seperti anak kecil. Akibatnya, si bapa akan merasai bahawa anaknya ini tidak lagi menghormatinya, degil, melawan dan sebagainya.

Saya berpendapat, pada tempoh si anak beranjak ke alam remajanya, seorang bapa perlu memahami anjakan dunia anaknya. Dalam tempoh ini seorang bapa perlu proaktif untuk meluangkan masa dan lebih akrab dengan anaknya. Si bapa harus berperanan sebagai pengurus kepada anak remajanya. Perkara utama ialah menjalinkan hubungan komunikasi dua hala yang efektif. Ia bermaksud si bapa perlu meluangkan masa bersama si anak, mencintai dengan penuh kasih, menjadi pendengar yang lebih baik, mempunyai hati yang terbuka untuk si anak mencurahkan isi hatinya, bersikap tenang dan jujur, jangan menjadi seperti seorang 'interrogater' , meminta maaf jika bersalah dan sentiasa memberikan sokongan kepada si anak. Paling penting membuat 'follow up terhadap perkara-perkara yang telah dibincangkan bagi menambahkan keyakinan diri si anak.

Ini pendapat saya, mungkin berguna kepada para bapa.

Wasalam.

Isnin, 12 April 2010

Broken - Lagu Mengangkat Semangat Saya


Salam,

Semasa berada di Bandung, Indonesia, saya berkesempatan menonton TV movie di atas. Ceritanya menarik, tetapi apa yang saya ingin kongsikan bersama pembaca ialah sebuah daripada lagu filem tersebut yang menyentuh hati dan semangat saya. Tambahan pula, ia disampaikan dengan begitu baik oleh Missy Lindsey Haun. Hayatilah liriknya:-

Broken
By Lindsey Haun

Wake to a sunny day
Not a cloud up in the sky
And then it starts to rain
My defences hit the ground
And they shatter all around
So open and exposed
But I found strength in the struggle
Face to face with my troubles
When you're broken, in a million little pieces
And you're trying, but you can't hold anymore
Every tear falls down for a reason
Don't just stop believing in yourself
When you're broken
Little girl don't be so blue
I know what you're going through
Don't let it beat you up
Hitting walls and getting scars
Only makes you what you are
No matter how much your heart is aching
There is beauty in the breaking
Yeah...
Better days are gonna find you once again
Every piece will find its place
When you're broken.

p/s : anda boleh dapati klip videonya dalam You Tube

Sabtu, 10 April 2010

Malas Membaca? Pandangan Saya



Salam,

Semalam, seorang bekas pensyarah di Jabatan Usuldin, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Dr. Abdul Fatah Haron Ibrahim kecewa apabila ramai tidak berminat membaca bahan ilmiah berat. Kebanyakannya lebih berminat membaca bahan bacaan ringan.

Bagi saya perkara ini telah lama diperkatakan dan dah banyak kali diperdebatkan. Saya berpendapat malas membaca kerana kurang berminat, kurang kemudahan, kurang perpustakaan, buku mahal, buku kurang menarik, susah mendapat bacaan yang sesuai. Malah, dalam era perkembangan teknologi yang semakin pesat ini, mendapatkan informasi melalui media eletronik lebih menarik, mudah, cepat dengan piktorialnya pula hidup.

Saya merasakan membaca perlu menjadi kebiasaan yang tidak boleh diringankan, kerana tabiat itu erat kaitannya dengan kemajuan sesuatu bangsa. Jika minat atau malas membaca, tentulah bangsa itu akan ketinggalan daya saing dalam perkembangan ilmu dan teknologi progresif dunia moden. Nilai dari tabiat rajin membaca adalah pengetahuan dan maklumat yang akan digunakan dalam hidup seseorang.

Namun, membudayakan minat rajin membaca harus dengan bahan dan rencah yang baik. Isi sesebuah buku samada buku-buku ilmiah berat atau bacaan ringan sangat relatif dengan bahan dan rencah itu. Kita tentu ingin membaca tulisan yang efektif, enak dibaca, tidak kaku, cukup masuk akal agar pembacaan lebih mudah dan tidak perlu berfikir keras yang hanya membuat pembaca mengerutkan dahi.

Akhirnya, malas membaca adalah satu aib, membacalah, satu buku sebulan sudah memadai untuk meningkatkan kompetisi kita.

Wasalam.