Selasa, 13 April 2010

Mengurus Anak Remaja - Pendapat Saya


Salam,

Malam tadi, saya bersama seorang kawan berborak santai di sebuah warung kopi di Ampang, Diantara topik perbualan kami ialah kesulitan beliau untuk berkomunikasi dengan anak gadis remajanya yang kini berumur 16 tahun. Beliau merasakan anaknya itu agak degil, suka menjawab dan kadangkala seperti memberontak.

Beliau bukanlah keseorangan dalam masalah ini, kerana ramai para bapa yang mengeluh mengenainya. Memanglah, pada masa anak kita kecil, kita tidak berhadapan dengan masalah tersebut, tetapi bila si anak beranjak remaja, keadaannya tentulah berubah kerana si anak mengalami satu tempoh masa (transition period) ke alam dewasa. Si anak akan menghadapi perubahan fisik, emosi termasuk dunia sosialnya. Ada masanya, tidak mampu untuk mengatasi perubahan-perubahan tersebut.

Manakala, si bapa pula kurang menyedari tekanan-tekanan yang dihadapi oleh si anak, malas dan mengambil ringan masalah anaknya. Terdapat juga si bapa yang susah untuk berkomunikasi dengan anak remajanya walaupun duduk sebumbung dalam sebuah keluarga. Pemerhatian saya mendapati, komunikasi antara si bapa dengan anak yang bermasalah, biasanya berbentuk 'authoritative', menilai, mengkritik, mengancam, amaran, menyalah malah ada yang mentertawakan. Sedangkan, si anak memerlukan perhatian, sokongan dan dorongan si bapa, ibu mahupun ahli keluarga yang lain.

Apabila perkara ini berlaku, jalinan komunikasi antara si anak dan bapanya akan terputus, si anak akan menghentikan pembicaraan, merasa rendah diri, berperasaan benci dan marah, merasa bersalah, malah merasakan diperlakukan seperti anak kecil. Akibatnya, si bapa akan merasai bahawa anaknya ini tidak lagi menghormatinya, degil, melawan dan sebagainya.

Saya berpendapat, pada tempoh si anak beranjak ke alam remajanya, seorang bapa perlu memahami anjakan dunia anaknya. Dalam tempoh ini seorang bapa perlu proaktif untuk meluangkan masa dan lebih akrab dengan anaknya. Si bapa harus berperanan sebagai pengurus kepada anak remajanya. Perkara utama ialah menjalinkan hubungan komunikasi dua hala yang efektif. Ia bermaksud si bapa perlu meluangkan masa bersama si anak, mencintai dengan penuh kasih, menjadi pendengar yang lebih baik, mempunyai hati yang terbuka untuk si anak mencurahkan isi hatinya, bersikap tenang dan jujur, jangan menjadi seperti seorang 'interrogater' , meminta maaf jika bersalah dan sentiasa memberikan sokongan kepada si anak. Paling penting membuat 'follow up terhadap perkara-perkara yang telah dibincangkan bagi menambahkan keyakinan diri si anak.

Ini pendapat saya, mungkin berguna kepada para bapa.

Wasalam.

1 ulasan:

ME berkata...

Thanks for the entry .. amat berguna terutama bagi menangani masalah remaja kini.