Jumaat, 26 September 2008

Kampung Jelutong - Suatu Kenangan

Salam.

Saya dilahirkan di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Jelutong terletak dipinggiran hulu Sungai Dinding, Daerah Dinding, Perak. Ia sebuah perkampungan kecil yang didiami oleh 10 keluarga Melayu dan 1 keluarga Cina.

Kampung ini agak terpencil. Perhubungan dengan lain-lain kampung hanyalah melalui jalan sungai atau lorong tanah merah yang hanya sesuai untuk laluan basikal. Kampung ini juga tidak mempunyai bekalan air, elektrik dan telefon. Kegiatan harian penduduk Melayu di kampung ini ialah berkebun getah, berdusun, menangkap ikan atau bekerja di ladang getah berdekatan. Manakala penduduk Cina pula bertanam sayur dan menternak babi.

Saya telah berpindah ke kampung lain ketika berumur 10 tahun dan kini menetap di Kuala Lumpur. Namun, Kampung Jelutong sentiasa dalam ingatan dan menjadi kenangan yang indah dalam hidup saya. Pertama, ia adalah sebuah kampung yang sangat aman. Masyarakatnya hidup dalam harmoni, saling mengenali, tolong menolong dan saling menjaga kebajikan diantara satu sama lain. Pendek kata, penduduk di kampung ini hidup secara kolektif tanpa membezakan kaum dan agama.

Kedua, kampung ini amat selamat, penduduknya boleh keluar rumah tanpa perlu untuk mengunci pintu. Anak-anak boleh bermain disekeliling kampung tanpa merasa bimbang tentang keselamatan mereka. Memang ada orang-orang dari luar masuk ke kampung ini untuk mencari kayu nibung, mencari lokan dan menjerat biawak, tetapi tidak pernah terjadi sebarang perkara tidak baik berlaku, seolah-olah semua pihak saling menjaga keamanan di kampung ini.

Ketiga, Interaksi penduduk sangat erat bagai sebuah keluarga. Ada rasa kebersamaan dan rasa saling memiliki diantara satu sama lain. Saya sering kali diminta Ibu untuk menghantar kueh kepada jiran-jiran termasuk keluarga Cina yang tinggal di hujung kampung. Dan sering kali juga keluarga Cina tersebut memberikan sayur-sayuran termasuk kueh bakul pada musim perayaan mereka kepada kami. Apatah lagi jika terdapat salah seorang penduduk yang sakit semua akan datang menziarah. Perbezaan kaum dan budaya tidak dapat mengasingkan kesatuan penduduk Kampung Jelutong.

Inilah contoh nilai dan acuan bagi membentuk perpaduan dikalangan masyarakat berbilang kaum seperti di negara kita. Rakyat Malaysia jangan taksub kepada kaum, agama dan budaya masing-masing. Kita adalah hasil dari ketentuan Tuhan untuk hidup sebagai berbilang bangsa di negara ini. Kita perlu redha dan insaf dengan takdir tersebut. Kita rakyat Malaysia amat memerlukan kesatuan dan perpaduan. Kita tidak mampu untuk bertelingkah kerana ia hanya membawa kepada perpecahan yang akan menjadikan bangsa Malaysia lemah dan ketinggalan.

Marilah kita bersama-sama menghayati permuafakatan para penduduk Kampung Jelutong dengan fahaman "Bersatu teguh bercerai roboh. Negara mendahului kaum, dan masyarakat mendahului diri"

Wassalam.

Rabu, 24 September 2008

Peribahasa - Untuk Renungan Para Pemimpin Melayu



Pemimpin yang baik.

Ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.
(Makna: Pemimpin yang menjadi penaung dan pelindung kepada anak buahnya)

Pemimpin yang bijak.
Bayang-bayang sepanjang tubuh, selimut sepanjang badan.
(Makna: Pemimpin yang bijaksana dalam memberi perintah, sesuai yang diperintahkan)

Pemimpin yang prihatin.
Rantau jauh diulangi, rantau dekat di kendana.
(Makna: Pemimpin yang selalu menjaga anak buahnya jauh dan sekat)

Pemimpin yang adil.
Matahari itu, gunung dan lembah sama diterangi.
(Makna: Pemimpin yang adil menjalankan hukuman yang sama rata)

Pemimpin yang diikuti.
Tuah yang disembah, junjung yang dipanjat.
(Makna: Pemimpin yang diikuti perintahnya)

Pemimpin yang mulia.
Dianjung seperti payung, diambak seperti kasur.
(Makna: Pemimpin yang sangat dimuliakan oleh pengikutnya)

Pemimpin yang diharap.
Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak.
(Makna: Pemimpin yang akan membantu dan menjaga anak buahnya jika ada kesusahan yang menimpa anak buahnya)

Nota:

Halus dan teliti nenek moyang kita menjelmakan pengalaman dan persekitaran mereka dalam patah kata yang indah bagi menggambarkan makna yang tersirat secara tepat, namun, penuh tertib dan bersopan untuk menyampaikan nasihat dan teguran tanpa menimbulkan rasa kecil hati dan menyinggung perasaan orang lain.

Jumaat, 19 September 2008

Renungan Untuk Anak Cucu Melayu



Salam.

Saya terdorong untuk memulakan blog saya ini dengan menulis tentang bangsa saya bangsa Melayu agar menjadi pedoman kepada anak cucu dikemudian hari. Agar mereka nanti dapat menemukan semula apa yang berharga dalam hidup ini dilahirkan sebagai seorang Melayu.

Orang Melayu hari ini tidak lagi mewarisi sifat murni nenek moyang yang amat beradab dan bersopan. Kuasa, pangkat dan kekayaan telah merajai orang Melayu. Kita boleh melihat persengketaan sesama Melayu baik dalam politik atau dunia korporat. Malah dalam kesatuan sukan dan sosial pun sifat kesopanan Melayu semakin dibelakangkan. Tanpa kita sedari ia hanya merendahkan darjat bangsa Melayu dan tarafnya.

Orang Melayu wajib insaf dan kembali kepada nilai-nilai murni bangsa. Semarakkan semula peradaban Melayu yang gemilang seperti yang nenek moyang kita bangunkan beratus-ratus tahun dahulu. Nenek moyang kita mampu mewujudkan empayar Melayu yang perkasa, Kita berbangga bila Panglima Awang adalah diantara manusia terawal yang berjaya mengelilingi dunia. Kita juga berbangga bila Haji Ismail Hashim menjuarai tilawah membaca Al Quran peringkat antarabangsa sebanyak lapan kali. Pendek kata, bangsa Melayu boleh maju dan berjaya dengan nilai kita sendiri. Nilai Melayu yang amat beradab, berbudi pekerti tinggi, lemah lembut, bertimbang rasa dan menghormati orang lain.

Saya terbaca satu artikel akhbar yang memetik kata-kata Saterawan Negara, Usman Awang yang menggambarkan watak bangsa Melayu yang murni buat pedoman anak cucu:-
  • Melayu itu bijaksana. Jika menipupun bersopan. Kurang ajarnya tetap santun. Budi bahasa jangan dikira. Beraninya cukup benar. Tunduk jika bersalah. Lembutnya cukup jantan. Setia sampai ke kubur. Bila berkelahi menikam dengan pantun. Menyanggah dengan senyum. Marahnya dalam tertawa. Merendah bukan menyembah. Meninggi bukan melonjak.
  • Watak Melayu menolak permusuhan. Jiwa Melayu mengangkat persahabatan. Kasih sayang kekeluargaan. Ringan tulang saling bertolongan. Jujur memaafkan. Ikhlas memberikan. Melayu menghargai perdamaian dengan silaturrahim yang murni. Sama di mulut sama di hati. Maaf sentiasa bersahut. Tangan dihulur bersambut.
Sudah tiba masanya, satu babak baru kita tampilkan dalam kerangka yang lebih luas dan bijak. Bangsa Melayu perlu kembali bersatu teguh dalam perpaduan yang telah membina tamaddun bangsa yang bijaksana, maju dan amat beradab. Kita mampu untuk mengubah diri kita tanpa harus kehilangan keutuhan jiwa bangsa. Biar apapun fahaman dan ideologi yang kita pegangi namun tetap bersendikan kepada sifat dan nilai bangsa Melayu yang murni.

Saya berpendapat tamaddun Melayu dan nilai bangsa Melayu perlu diajar di sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi seiring dengan pengajian tamaddun Islam. Para majikan, kesatuan, dan NGOs harus ikut aktif untuk mengadakan seminar atau bengkel kepada perkara yang sama. Perkara ini penting kerana kemajuan dan kemurnian sifat anak cucu kita nanti adalah ditentukan oleh landasan yang dibina pada hari ini.

Wassalam.

Rabu, 17 September 2008

Pantun Perkenalan









Kembang mekar di taman
Hiasan sanggul nak dara sunti
Salam perkenalan hamba ucapkan
Buat pelawat di ruang ini

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi taman
Selamat membaca hamba ucapkan
Hamba sekadar beri pandangan

Dayung perahu tuju haluan
Bawa bersama nasi bekalan
Salah dan silap harap maafkan
Jari sepuluh hamba hulurkan

Sekapur sireh



Salam.


Saya ingin menjadi seorang penulis, kerana melaluinya saya dapat melontarkan ide daripada persepsi sendiri. Mungkin ide dan persepsi saya itu bukannya selalu baik dan betul tetapi daripada maklumbalas pembaca saya boleh membuat penilaian dan memperbaikinya sebagai satu usaha pembaikan yang berterusan.

Saya amat mengagumi penulis-penulis hebat seperti A. Samad Said, Hamka, Robert Ludlum dan ramai lagi. Saya selalu bertanya kepada diri saya bagaimana mereka boleh melontar ide dengan begitu bernas dan betapa pula mereka dapat membina struktur bahasa yang menarik. Melihat kejayaan mereka, saya juga tergerak untuk mencuba.

Saya bersyukur kepada Allah kerana pada hari ini saya mula bersedia untuk menulis. Saya ingin jadikan ia sebagai medan untuk berkarya, memberi buah fikiran dan pandangan dalam berbagai perkara. Pemusatan atau fokus penulisan saya lebih kepada daerah yang dekat dengan hidup saya iaitu sosial dan pengurusan.

Apa yang saya ingin tuliskan nanti berasaskan kepada pengalaman, prinsip dan kepercayaan saya. Sudah tentulah dengan menulis ia akan menjadikan saya lebih banyak berfikir, membaca dan membuat rujukan. Inilah sebenarnya yang mencabar minda dan disiplin diri saya.

Kepada anda, jangan takut untuk mencuba, matlamat bukanlah kesempurnaan tetapi kemajuan!

Wasalam.