Khamis, 24 Julai 2014

Berwaspada Keselamatan Rumah Ketika Bercuti Hari Perayaan


Salam,

Menjelang cuti perayaan Aidil Fitri ini, keghairahan untuk pulang ke kampung atau bercuti, kadangkala kita terlalai untuk meningkatkan kewaspadaan bagi menjaga keselamatan rumah dan harta benda kita. Ini menyebabkan penjenayah mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti buruk mereka.

Dikatakan, setiap kali musim perayaan indeks jenayah terutamanya kes pecah rumah meningkat. Justeru itu, eloklah kita saling ingat mengingati dan berpesan-pesan untuk menjaga keselamatan rumah kita. Pertamanya, pastikan rumah dan tingkap serta gate dikunci, nyalakan lampu supaya di luar dan dalam rumah terang dan batalkan hantaran barangan seperti akhbar semasa kita tiada dirumah. Kepada yang berkemampuan pemasangan alarm system dan cctv adalah inisiatif yang baik.

Maklumkan kepada jiran yang tidak pulang ke kampung untuk menjadi mata dan telinga, dan minta mereka melaporkan kepada pihak polis jika ternampak sebarang orang dan kenderaan yang mencurigakan.

Seorang teman saya berpesan 'on' kan radio atau  mainkan pita ayat-ayat suci.

Saya sekadar berkongsi pesan supaya kita bersama-sama mengamalkan cara hidup yang selamat demi menjaga harta benda kita. Dikesempatan ini juga, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1435H dan memohon maaf zahir dan batin kepada teman-teman dan para pengunjung blog ini.

Wasalam.

Selasa, 22 Julai 2014

Rides Amal: Berbuka Puasa di Pusat Jagaan Fatimah Yaakub


Salam,

Semalam saya dan Isteri menyertai teman-teman ahli 'Rimau Bikerz Club' ke Majlis Berbuka Puasa bersama anak yatim dan pelajar Tahfiz al-Walid, Pusat Jagaan Fatimah Yaakub.

Pusat ini terletak di Bukit Beruntung Selangor dan diasaskan oleh Puan Hajjah Fatimah Yaakub atau lebih mesra dipanggil Mak Ngah. Pusat ini menempatkan seramai 130 anak-anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz.

Saya berasa teruja setiap kali menyertai program kelab riders ini, kerana selain minat mereka dengan aktiviti kembara bermotosikal di dalam dan luar negara, mereka amat perihatin terhadap kebajikan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Memang tepat sekali motto kelab ini 'Menunggang dan Berbakti'

Presidennya memberitahu saya 'meyantuni anak-anak yang kurang bernasib baik boleh mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, kerana disamping kita beramal dan bersedekah, kita dapat menunjukkan keperihatinan kepada anak-anak yatim yang dahagakan kasih sayang' .

Sehari mendekati anak-anak di pusat jagaan Mak Ngah, Isteri saya kelihatan tersentuh apabila mendengar kisah hidup anak-anak ini sebelum mereka bertemu dengani Mak Ngah. Kata Isteri saya 'kegembiraan yang kita berikan hari ini hanya sementara, selepas kita pulang, jiwa mereka kembali kosong. Mereka mahukan kasih sayang, sokongan dan tempat mengadu' Memang benar, sejak kecil lagi anak-anak ini terpaksa hidup berdikari hanya bersama-sama rakan senasib tanpa ada ibu dan bapa kandung yang dapat membimbing, memperduli serta mencurahkan kasih sayang.

Semoga ada teman-teman di luar sana turut dapat berbakti kepada pusat jagaan Mak Ngah, supaya anak-anak jagaannya itu dapat merasa dikasihi. Lagipun saya dapat merasakan kemampuan Mak Ngah untuk membiayai dan menampung perbelanjaan pusat ini agak terbatas. Namun keperluan untuk memelihara dan mendidik para penghuni di pusatnya harus dilaksana dan diteruskan.

Apa-apapun saya dan Isteri tidak akan terhenti di sini, tetapi akan terus menjalinkan silaturrahim bersama Mak Ngah dan anak-anak di pusat ini.

Wasalam.

Ahad, 20 Julai 2014

Madeleine al Tawil: Contoh Semangat Sebenar Anak-Anak Palestine

Salam,

Sejak pertengahan abad lalu hingga ke saat ini, bumi Palestine tidak pernah terhenti dari kekejaman dan kezaliman Israel. Mereka membantai rakyat Palestine secara sadis dan biadap. Seluruh negara di dunia seakan tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghentikan serangan masif Israel ke atas Palestine, termasuk negara-negara Islam sendiri.

Bayangkan kepiluan, duka dan nestapa hidup rakyat Palestine, ramai anak-anak terkorban, cacat dan menjadi yatim piatu. Saya terfikir mungkin ini dirancang dan disengajakan. Contohnya, baru-baru ini anak-anak kecil yang sedang bermain bola di pantai pun dibom oleh pihak Israel.

Saya berpendapat sebenarnya Israel takut dengan pertumbuhan anak-anak Palestine, kerana anak-anak ini adalah pewaris masa depan atau generasi penerus bangsa Palestine. Israel tahu perang Israel-Palestine entah sampai ke beberapa generasi lagi. Pertumbuhan generasi baru Palestine ini perlu dihapuskan dan dilumpuhkan dari awal lagi.

Mereka juga tahu semangat anak-anak ini untuk memperjuangkan kebebasan Palestine begitu berkobar. Israel mungkin boleh membunuh dan menghancurkan bumi Palestine, tetapi mereka sedar sampai bilapun cita-cita kebebasan anak-anak palestine ini tidak akan surut. Biarpun hanya bersenjatakan batu, mereka tetap memiliki semangat juang yang tinggi dan berani mati demi masa depan generasi dan anak cucu mereka. Semboyan itulah yang mengalir dalam diri setiap anak Palestine.

Contoh terbaru, seperti dilaporkan oleh Richard Engel, seorang journalist untuk NBC News pada 19 Julai 2014. Seorang gadis Palestine bernama Madeleine al Tawil yang berusia 12 tahun, walaupun perutnya rabak terkena serpihan bom Israel dan sedang dirawat di Shifa Hospital tetapi bingkas memberitahu wartawan ini, katanya 'we are stronger than Israelis. They are fighting against us, they think they are stronger. But we are stronger then they are'

Syabas Madeleine! Syabas anak-anak Palestine!

Wasalam.

Khamis, 17 Julai 2014

Germany Juara FIFA Brasil 2014: Saya Meneka Tepat!


The joy of winning!
Salam,

Menjadi pula tekaan saya pada piala dunia kali ini. Germany menjuarai FIFA Brasil 2014 setelah menumpaskan Argentina dengan keputusan 1-0. Kejayaan itu turut mencatat sejarah sebagai pasukan Eropah pertama memenangi piala dunia di bumi Amerika Selatan.

Kejayaan itu bukanlah faktor nasib semata tetapi berkat perancangan rapi pihak German FA dan mereka di Bundesliga. Bak kata jurulatihnya Joachim Loew 'kami telah memulakan projek ini sejak beberapa tahun lalu, dan kemenangan ini merupakan kemuncak kepada hasil kerja keras selama ini'

Apakah yang mereka lakukan?

Apabila menyedari mutu bola sepak German di awal tahun 2000an pada tahap terendah, Germany FA cepat bangkit dan lantas merencana pembangunan semula pasukan bola sepak mereka melalui satu perancangan 'National Plan' bermula tahun 2004. Inovasi pada peringkat akar umbi dibantu dengan ideologi dan komitmen mereka yang di atas telah merubah mutu bola sepak German.

Mereka mewujudkan 'youth centres, bagi mencari, mendidik dan melatih bakat-bakat baru dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan yang terutama aspek teknikal bola sepak. Manakala kelab-kelab di Bundesliga pula turut sama menyediakan pusat latihan untuk mendidik pemain muda membina kemahiran permainan mereka dan menyerap pemain-pemain muda ini ke dalam pasukan utama kelab.

Program jangka panjang German FA ialah melatih anak-anak remaja seawal umur 9 tahun di bawah program yang dikenali sebagai U9. Program ini adalah untuk mendidik anak-anak itu membina kemahiran individu dengan meletakkan mereka di dalam kumpulan empat sepasukan dan bermain di padang yang lebih kecil. Mereka hanya dibenarkan bermain dalam satu pasukan penuh apabila layak ke peringkat seterusnya iaitu U13.

Mungkin kita boleh belajar dari formula German FA ni!

Wasalam.

Ahad, 13 Julai 2014

Saudara Islamku: Sedar danTahulah Diuntung

Salam,

'Some 11,000,000 muslims have been violently killed since 1948, of which 90% of them who perished were killed by fellow muslims' Begitulah hasil kajian Dr. Gunnar Heinsohn, Director of The Raphael Lemkin Institute yang juga Emeritus Professor of Social Science di University of Bremen, Germany.

Muslim membunuh Muslim lain. Fakta yang amat menyedihkan. Mungkin ada yang meragui kajian itu sebagai berat sebelah (bias), dan satu agenda untuk memburukkan umat Islam. Namun seorang sarjana Islam, Salim Mansor, Professor of Political Science di Universiti of Western Ontario, Canada dalam satu kajiannya mengenai Iraq, menyatakan jumlah korban perang di Iraq lebih besar diakibatkan oleh puak radikal Islam dan persengketaan Sunni-Syiah berbanding korban yang disebabkan oleh operasi ketenteraan Amerika dan sekutunya.

Apapun kata orang dan motif mereka, kita sebagai umat Islam patut tahu diuntung. Saban hari kita membaca berita perbalahan sesama umat Islam, saling tuduh menuduh siapa benar dan siapa salah. Setiap pihak mendakwa membela agama dan atas nama Allah. Bayangkan disatu pihak melaungkan Allahuakbar dan lawannya pun sama melaungkan Allahuakbar, tetapi kedua-dua pihak saling berbunuhan.

Seolah-olah kita sudah mengabaikan larangan agama supaya jangan berbunuhan sesama Islam. Malah ijmak ulama ada mengatakan bahawa selagi seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, maka mereka ini dikenali sebagai ahli kiblat yang tidak boleh diperangi.

Apakah yang menjadikan umat Islam berpecah belah dan berpuak-puak (sect)? The lust for power and cruelty'? Diperalat kuasa luar? Tersesat jalan agama? ataupun mentafsir agama mengikut kepentingan sendiri? Kesannya ia telah memusnahkan kita. Kini wujud 'sectarian war dan proxy war' dikalangan umat Islam, yang menjadikan kita lemah, runtuh akhlak dan lumpuhnya perpaduan sesama ummah.

Lihat apa kata Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel 'and when your enemies are fighting each other, don't strengthen either one of them, weaken both' ini strategi jelas pihak musuh untuk menguasai kita. Manakala The New York Times pada 29 Mei 2014 melaporkan 'U.S strategies to fight terrorism increasingly uses proxies' maksudnya mereka akan menggunakan taktik mengadu domba, mengeksplotasi nafsu dan kelemahan pemimpin Islam untuk mencapai matlamat mereka.

Apa yang menjadi keprihatinan saya sebenarnya juga menjadi keprihatinan seluruh dunia Islam. Namun saya tidak dapat berbuat apa-apa dan seluruh 2 billion umat Islam di merata pelusuk dunia juga tidak dapat berbuat apa-apa. Kita tidak berupaya untuk membela saudara kita. Umat Islam semakin tertindas dan dizalimi, lihat apa yang berlaku di Palestine, Nyanmar, China dan Thailand. Saudara kita di Eropah pun turut menjadi mangsa deskriminasi.

Bagi saya, umat Islam tak kira apa pun puak yang kita yakini, wajib kembali kepada asas Islam, tidak ada salahnya kita mengulang kembali pelajaran tentang ajaran Islam yang damai sebagai cara hidup sebenar.

Ini pandangan saya, mungkin benar mungkin juga salah, tetapi renungilah.

Wasalam.

Jumaat, 11 Julai 2014

Seniwati Zaiton: Pesona Wanita Melayu Ideal


Salam,

Malam kelmarin, saya dan anak saudara minum teh tarik di kedai mamak Bukit Indah. Sambil minum dan berborak kosong, dia bertanya satu soalan menarik 'Pak Ngah, Along nak tanya sikit, kalau Pak Ngah mencari wanita, Pak Ngah suka wanita yang bagaimana? Aha, saya dapat menangkap maksud hatinya, dia sedang mencari calon isteri.

'Seperti Seniwati Zaiton' jawab saya ringkas. Berkerut keningnya melihat saya.

Setiap lelaki mempunyai persepsi sendiri terhadap sifat wanita yang dia senangi, dan saya melihat seniwati Zaiton punya perwatakan seorang wanita yang saya sukai 'the natural look'. Berwajah lembut menawan, lembut tutur kata, bersopan santun dan penampilan kemas. Dia membawa nilai perawakan sebenar keanggunan wanita Melayu. Bagi saya dia mempunyai pesona lengkap seorang wanita idaman.

Mungkin kerana itu, pelukisan watak filemnya juga seperti menggambarkan personaliti dirinya yang sebenar. Lihat saja lakonannya dalam Ibu Mertuaku, Bujang Lapok dan Hang Tuah. Dia juga memiliki bakat lakonan yang baik. Melalui filem Hang Tuah, seniwati ini telah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di 3rd. Asia-Pacific Film Festival pada tahun 1957, dan pada tahun 1958 dipilih sebagai duta kebudayaan ke Pacific Festival di San Francisco, USA.

'Itu pelakon dulu, artis masa la ni agaknya siapa' tanya anak saudara saya. 'Hmm..Ummi Nazeera' jawab saya dan dia angguk setuju.

Saya sekadar berkongsi, pastinya anda mempunyai persepsi sendiri terhadap wanita dan lelaki Melayu idaman anda.

Wasalam.

Isnin, 7 Julai 2014

Potensi dan Kreativiti Anak-Anak: Peranan Saya dan Isteri Penting


Emir
Hasil kerja tangan kreatif Emir
Salam,

Sebagai bapa, tentulah saya merasa amat senang melihat anak-anak melakukan sesuatu hal yang punya daya ciptaan dan kreatif. Saya melihat anak sulung saya, Emir yang berusia lima tahun gemar melukis dan mewarna, menyanyi dan bercerita. Hal seperti ini bererti dia memiliki cipta rasa yang baik.

Saya dan Isteri terfikir bagaimana cara untuk meningkatkan lagi daya kreativiti Emir agar terbit potensinya yang sebenar. Pada asasnya setiap anak mempunyai potensi diri, tetapi ia tidak terbit begitu saja. Ia harus melalui satu proses dan ibubapa perlu menggali potensi bakat anak mereka. Itulah nasihat beberapa orang teman kami yang mempunyai anak-anak yang pintar, cerdas dan kreatif.

Seorang teman memberitahu agar kami membangkitkan motivasi dan minat Emir dan juga adiknya Elmyra pada kegiatan yang boleh mengembangkan kemampuan mereka. Berikan penghargaan kepada setiap apa yang mereka lakukan sehingga mereka akan merasa tersanjung.

Langkah pertama ialah luangkan waktu untuk bersama mereka dengan bermain bersama, berkreasi bersama seperti melukis dan mewarna, bacakan buku untuk mereka dan biasakan mereka bertanya jawab dengan kami supaya otak mereka terstimulasi. Bawa mereka berjalan-jalan supaya mereka lebih memerhati dan dapat membuka fikiran melalui pengalaman mereka. Dedahkan anak-anak kepada bermain musik kerana musik berupaya membuat anak itu berfikir kreatif dan berimaginasi.

Saya berasa beruntung punyai teman-teman yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman mereka. Saya dan Isteri akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada anak-anak kami dan berharap apa yang kami lakukan menjadi penyumbang terhadap perkembangan minda, intelek dan merangsang kemahiran anak-anak. Demi masa depan Emir dan Elmyra. InsyaAllah.

Sekadar berkongsi ilmu, mungkin berguna.

Wasalam.

Khamis, 3 Julai 2014

Road Movies: Pendapat Saya

Pelakon Liar's Dice: Nawazuddin Siddiqui dan Geetanjali Thapa
Salam,

Malam Isnin yang lalu, sementara menunggu siaran langsung Brasil 2014 di TV, saya terluang untuk menonton sebuah filem Hindi bertajuk Liar's Dice yang ditulis dan diarah oleh Geeta Mohandas. 

Ia sebuah filem 'road movie' yang mengesahkan tentang seorang wanita desa yang tinggal di sempadan Indo-Tibet bersama anak kecilnya, berjalan jauh ke kotaraya New Delhi untuk mencari suaminya yang hilang semasa bekerja sebagai buruh binaan di sana.

Filem ini menyertai banyak festival filem antarabangsa, malah berjaya merangkul anugerah Best Actress dan Best Cinematography di 61st. India National Film Award pada bulan Mei 2014 yang lalu.

Bagi saya, road movie merupakan satu cabang seni filem yang baik, kerana mempunyai konsep dan falsafah tersendiri.  Filem jenis ini biasanya mencurahkan tema kebebasan, dan mengemukakan permasalahan tentang kehidupan, ideologi, sosio budaya malah politik pun.

Ramuan yang digunakan oleh pembikin filem road movie atau road drama ini, biasanya akan berkisar kepada sebuah perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pertemuan watak-watak yang berlawanan dan bertahan di atas segala perbezaan, terutama perbezaan keperibadian, ideologi dan prinsip hidup. Musik dan lagu serta pemandangan lanskap yang cantik merupakan elemen penting bagi melengkapi makna filem sesebuah road movie.

Kesimpulannya,  menonton filem road movie selalunya membuat kita terpaut untuk mengikutinya, seolah-olah mengajak untuk turut berkembara kala kita menontonnya.

Saya turut terfikir kenapa pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mentafsir dan menghuraikan filem road movies sebagai 'filem kurang bermutu berdasarkan ukuran standard'. Bagi saya silap tu..! kerana banyak filem genre ini yang berkualiti dan memenangi oscar seperti Rain Man, It happened One Night, Little Miss Sunshine dll. Malah ramai bintang-bintang ternama turut membintangi filem-filem road movie seperti Dustin Hoffman, Jack Nicholson, Tom Cruise dll.

Rasanya molek jika pihak DBP mentafsir semula huraiannya mengenai Road Movie, saya sekadar memberi pendapat, mungkin berguna.

Wasalam.

Rabu, 2 Julai 2014

Pantun Ramadan: Mari Hayati

Salam,

Sempena bulan Ramadan yang penuh hikmah ini, dua orang teman mengirim pesanan ringkas berbentuk pantun kepada saya. Menarik dan indah maksudnya. Saya rasa patut dikongsikan bersama teman dan pengunjung blog ini. Mari kita hayati bersama.

Kembang melati di pagi hari
Mekar kiambang di pinggir kali
Kalau hati cinta Ilahi
Ramadan yang datang sangat dinanti

Daun pandan aroma penyeri
Masak kepah berempah kari
Berpuasa Ramadan penyuci diri
Pahala melimpah Allah memberi

Indah bercahaya bulan purnama
Hati berdebar bertemu dara
Ibadah puasa ada adabnya
Bukan sekadar berlapar dahaga

Badan penat mencari lokan
Meredah hutan dari pagi
Ibadah sunat elok digandakan
Penambah bekalan kemudian hari

Kain pelikat indera sakti
Jenama sudah ramai kenali
Pada masyarakat kita berbakti
Zakat dan sedekah tanda mengasihi

Ramadan ada satu malam
Lailatul Qadar jadi idaman
Sepuluh terakhir bermula malam
Baiknya lebih seribu bulan 

Wasalam.