Sabtu, 28 Jun 2014

Salam Ramadan 1435H


Salam,

Diucapkan Selamat Berpuasa Ramadan kepada teman, pengikut dan pengunjung blog saya. Semoga pada Ramadan kali ini kita beranjak kepada yang lebih baik. Salah dan khilaf mohon maafkan.

Wasalam.





Khamis, 26 Jun 2014

Jangan Marah

Salam,

Malam tadi, semasa berkumpul bersama beberapa orang teman di sebuah cafe di Ampang, seorang teman membuka topik perbualan mengenai cara mengawal sikap marah. 

Kata sahabat saya ni, sebagai manusia biasa kita tidak lepas dari perasaan marah. Tetapi manusia yang luar biasa adalah mereka yang dapat mengawal dan mengurus sifat marahnya. Rasulullah adalah contoh yang terbaik katanya lagi. Baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Rasul kita tidak pernah menunjukkan kemarahannya dengan lidah atau perbuatannya. Apabila baginda marah baginda akan senyap beberapa ketika bagi mengawal rasa marahnya, walaupun kelihatan mukanya merah dan peluh menitis di dahinya.

Diantara cara mudah untuk mengawal sikap marah ialah minum air putih kerana ia menyejukkan dan dapat menenangkan diri kita. Kedua, amalkan memakai pewangi, kerana bau wangian dapat membuat emosi kita stabil dan menyenangkan.

Sahabat saya ni, dikalangan teman-teman adalah yang paling alim. Percakapan dia selalunya ada rujukan ilmu agama. Semalam dia jelaskan kepada kami satu hadis yang sempat saya catatkan, seorang sahabat bertanya Rasulullah 'Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?' Maka jawab Baginda 'Jangan tunjukkan kemarahan kamu'

Di bawah ni ada satu lagi hadis yang dapat saya kongsikan:

'Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah SWT akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang memilih bidadari yang dia sukai di syurga' 
(Riwayat: Abu Daud dan Tirmizi)

Renungkanlah! 

Selasa, 24 Jun 2014

Petang Sabtu di Mesyuarat Penubuhan Persatuan Ibubapa dan Pendidik Taska PBA

Isteri dan Elmyra
Barisan AJK 2014-2016

Salam,

Sabtu, Jun 21.2014, saya dan Isteri menghadiri Majlis Penubuhan Persatuan Ibubapa dan Pendidik Taska Permata Bonda Aulad (PBA) Batu Arang kerana anak kami, Emir dan Elmyra adalah murid di taska tersebut.

Kami amat berpuas hati dengan sistem pendidikan awal di taska ini, terutamanya dalam tumpuan membina daya intelek dan kreativiti anak-anak kami. Bagi kami, para pendidik di situ cemerlang dalam pembentukan awal perkembangan dan potensi Emir dan Elmyra. Disamping menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat.

Majlis petang itu menarik dengan suasana ceria dan silaturrahim. Bagi kami, selain memeriahkan hasrat murni tersebut, saya dan Isteri dapat berkenalan dengan para ibubapa dan anak-anak mereka yang sebelum ni jarang dapat bertemu muka, maka bertambahlah lagi kenalan baru dalam hidup saya.

Saya diberitahu oleh Pengetua Taska bahawa kurikulum PERMATA Negara amat menekankan kepada kolaborasi dengan ibubapa dan komuniti. Malah setiap TASKA PERMATA diwajibkan menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Pendidik (PIBP). Tujuannya, agar ibubapa turut memainkan peranan penting dalam aktiviti pengasuhan dan pendidikan bersama pihak Taska, terutamanya kesejahteraan anak-anak semasa berada di Taska. Pendidikan anak-anak di Taska perlu ada kesinambungannya di rumah, oleh itu apa yang diajar di Taska harus diketahui oleh ibubapa supaya diamalkan juga di rumah.

Peranan lain persatuan ini ialah merancang dan melaksanakan program-program sedia ada di Taska dan juga program lain yang dirasakan sesuai dilaksanakan supaya dapat memberi faedah kepada anak-anak di Taska ini.

Ehemm...saya dan isteri bersepakat akan terus menyokong setakat yang mampu bagi membantu Pengetua taska ini meletakkan taskanya menjadi diantara yang terbaik di negara ini. InsyaAllah.

Wasalam.

Ahad, 22 Jun 2014

Cara Minum Air Putih Yang Seelok-eloknya

Salam,

Dalam satu bengkel Budaya Gaya Hidup Sihat yang saya sertai di Sg. Labu, Selangor tempoh hari, saya tertarik dengan ceramah En. Wahab Ibrahim, seorang daripada fasilitator program tersebut, mengenai keajaiban air putih atau air kosong dan cara meminumnya dengan betul.

Menurut beliau, air punyai keajaiban kerana air boleh mendengar kata-kata, boleh membaca tulisan dan boleh mengerti pesan. Ia adalah hasil daripada penemuan kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto dari University of Yokohama, Jepun. Menurut En. Wahab lagi, air juga memiliki sifat sensitif  dan reaktif. Jika dibacakan padanya kata-kata yang baik, air akan bereaksi positif.

Saya terfikir,  barangkali ini boleh menjelaskan mengapa air putih didoakan untuk berbagai tujuan seperti air penerang hati dan untuk menyembuhkan pesakit. Malah terdapat kedai-kedai yang menjual air yang telah dibacakan ayat-ayat suci Al -Quran untuk berbagai kebaikan.

En. Wahab menambah, air bermanfaat untuk apa saja yang kita niatkan ketika meminumnya. Jadi sebelum minum hendaklah didahulukan dengan Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan disertai Niat. Hembuskan perlahan kepada air dan minum secara 'Sip' atau berdikit-dikit dan jangan' gulp' atau diminum sekaligus, supaya air boleh melarut dan mengalirkan nutrien ke seluruh badan dengan baik.

Kita harus minum diantara 6 sehingga 8 gelas atau 1 liter air sehari.

Diantara kebaikan minum air kosong ini ialah:

  • Mengawal tekanan darah.
  • Meningkatkan kesuburan dengan penghasilan testosteron dan estrogen.
  • Menyihatkan jantung.
  • Mencegah keletihan dan sakit kepala.
  • Membantu pesakit stroke dengan memperkuatkan lagi otot dan ligamen, dan banyak lagi kebaikan air putih.
Kesimpulannya, buat teman-teman yang sudah mengetahui khasiat air putih atau air kosong, mudah-mudahan tulisan ini menambah hikmah pengetahuan anda, seterusnya kepada saudara-saudari yang belum mengetahui cara meminum air putih yang betul, cubalah dan saya telah mengamalkannya. InsyaAllah.

Wasalam.

Jumaat, 20 Jun 2014

Bayangkan



Jika angan 2014 menjadi nyata
Beginilah sorak dan keseronokan kita bersama mereka
Demi negara


Khamis, 19 Jun 2014

Menziarahi Pak Long Baharin di Kuala Pilah NS

Mohon izin Tengku Asmadi untuk paparan doa ini
Salam,

Semalam saya dan Isteri mengambil cuti dari urusan lain untuk menziarahi bapa saudara yang sakit di Kuala Pilah, NS. Ia sebagai tanda kasih dan sayang kami kepadanya. Harapan kami semoga dengan kunjungan kami itu dapat memberikan semangat dan meringankan beban sakitnya.

Pak Long Baharin, adalah seorang bapa saudara yang amat disenangi kami. Beliau seorang tua yang baik, periang  dan pandai mengambil hati. Setiap kali beliau hadir dalam majlis anjuran keluarga, beliaulah yang menghidupkan suasana dengan sikapnya itu.

Seorang ustaz di surau tempat saya, pernah berkata hukum menziarah orang sakit adalah sunat yang dituntut, kerana Islam sangat mengambil berat kepada kepentingan mengeratkan tali persaudaraan atau silaturrahim. Diantara cara yang dianjurkan oleh Islam ialah dengan menziarahi orang sakit.

Namun, ziarah itu ada adab-adabnya yang perlu kita ketahui, diantaranya:

  • Tujuan ziarah biarlah ikhlas dan niat yang baik.
  • Jangan terlalu lama menziarahi pesakit.
  • Sunat duduk berhampiran kepala pesakit.
  • Berikan kata-kata semangat dan gembirakan pesakit, dan
  • Menziarah diwaktu yang sesuai, elak daripada waktu senja dan lewat malam.
Saya sekadar berkongsi cerita dan pengetahuan bersama teman-teman, agar apabila anda menziarah orang sakit ada adab dan hukumnya yang perlu kita ketahui.

Wasalam.

Selasa, 17 Jun 2014

Ikan Hiasan Manfaatnya Kepada Kesihatan

Salam,

Semalam saya melawat seorang sahabat yang memiliki kedai 'Pet Shop'. Agak besar kedainya, tetapi dagangannya lebih kepada ikan hiasan dan burung. Sambil menunggu beliau berurusan dengan pelanggannya saya meluangkan masa melihat ikan berbagai warna hilir mudik dalam akuarium.  

'Melihat ikan di akuarium boleh menghilangkan stress dan mengurangi tekanan darah' kata sahabat saya tu ketika melihat saya asyik melihat ikan-ikannya. 'Ia boleh membuat you rileks dan tidorpun lebih nyenyak' jelasnya lagi.

Saya pun teringat kepada Isteri saya yang amat rajin melayani ikan puyu peliharaan kami. Setiap pagi sebelum ke pejabat dia akan melihat ikan tu, begitu jugalah rutinnya selepas balik dari pejabat. Amat teratur perhatiannya terhadap ikan puyu kami tu, seperti penjagaan air, jadual pemakanan, kebersihan termasuk menghias akuarium.

'Bebanan kerja, masalah keluarga dan kepenatan boleh menyebabkan kita stress' Bersungguh sahabat saya ini menerangkan kepada saya. 'Stress menjadikan jantung kita bergerak cepat, dan tekanan darah ikut meningkat. Pulang nanti, luangkan masa you beberapa minit untuk melihat ikan, rasa penat dan stress you akan hilang' sambungnya untuk meyakinkan saya.

Beruntung saya mendapat sahabat seperti Robert Tan ni, hari tu saya memperoleh ilmu baharu, iaitu memelihara ikan bukan saja setakat hobi atau untuk mengindahkan ruangan rumah tetapi mujarab untuk menjaga kesihatan diri.

Saya kongsikan pengetahuan baru ini bersama anda, teman-teman di blog ini. Mungkin anda boleh mulakan memelihara ikan hiasan di rumah bukan saja sebagai hobi tetapi manfaatnya kepada kesihatan kita bersama. Cubalah!

Wasalam. 

Jumaat, 13 Jun 2014

Budaya 'Ragging' Adalah Tidak Beradab


Salam,

Pada 29 Mei 2014 yang lalu, sekumpulan 7 orang pelajar baru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa di 'ragging' oleh pelajar senior sehingga menjatuhkan maruah mereka dengan melakukan perkara yang tidak senonoh di asrama universiti. Tidak tahan dengan tindakan keji pelajar senior itu, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Serdang.

Budaya 'ragging' dikalangan pelajar penghuni kampus adalah satu ikutan budaya luar yang nyata tidak sesuai dengan tata susila masyarakat Malaysia. Amalan 'ragging' paling kuat diamalkan di negara seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka. Malah istilah 'ragging' ini juga dikatakan berasal dari kawasan sana.

'Ragging' bermaksud "Penderaan atau Perpeloncoan" mengikut Kamus Dewan. Dalam konteks pelajar, bolehlah dikatakan sebagai membuli rakan pelajar yang lain.

Semasa saya belajar dan tinggal di asrama dahulu, saya juga pernah di 'ragging' oleh pelajar senior. Ia satu kejutan budaya kepada saya, maklum sajalah saya ni anak muda dari kampung yang baru ingin mengenal dunia serta pertama kali berjauhan dengan keluarga. Perasaan saya ketika di 'ragging' malu ada, marah ada, takut pun ada dan rasa nak saja pulang ke kampong semula. Hilang rasa hormat saya kepada pelajar-pelajar senior itu.

Seorang pelajar senior berkata, ini bukan buli tetapi upacara mendidik 'freshies' supaya tahu menghormati kedudukan dan tahu sempadan senior-junior dalam kehidupan di asrama. Manakala, seorang pensyarah memberitahu saya, budaya 'ragging' ini bertujuan baik untuk membentuk pelajar baru yang kental dan tahan lasak.

Hati saya berkata, apalah baiknya perlakuan yang tidak bertamadun itu, dan apa seronoknya melihat kesusahan orang lain. Kalau beginilah pandangan seorang pensyarah kepada perkara yang tidak betul, maka bagaimana tenaga pendidik ini boleh melahirkan pelajar berilmu sedangkan perlakuan tercela seperti 'ragging' yang tidak beradab itu dianggap baik.

Bagi saya, pelajar senior seharusnya menjadi pembimbing kepada 'freshies' yang baru ingin mengenal dunia, menasihati dalam mengurus hidup berdikari dan menjadi pelindung kepada rakan baru mereka. Manakala pihak universiti harus lebih keras menangani  gejala buruk ini, bukan sekadar mengadakan minggu suai kenal dan aktiviti pelengkap program semata, atau sesi bermaaf-maafan dah boleh menutup isu 'ragging' keterlaluan. Undang-undang dan hukuman tentang 'ragging' sewajarnya lebih menakutkan 'sometimes we have to be cruel in order to be kind'

Rasulullah SAW ada mengingatkan kita 'Mengapa kalian tertawa kerana kentut seseorang diantara kalian? Apa gunanya kita berseronok dengan membuat orang lain malu dan sakit.

Saya sekadar memberi pendapat, mungkin berguna.

Wasalam.

Khamis, 12 Jun 2014

Mari Bersama Manfaatkan Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Salam,

Senja hari ini, Khamis 12 Jun 2014 bersamaan 14 Syaaban 1435 akan datang malam Nisfu Syaaban, malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Ia bermula sebaik saja masuk waktu Maghrib yang dikira sebagai malam 15 Syaaban.

Sabda Rasulullah SAW 'Sesungguhnya Allah SWT akan memerhatikan hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah akan mengampunkan penghuni bumi. Dalam satu Hadis lagi baginda berkata 'Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hambaNya'

Nabi kita menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam tersebut kerana tidak mahu amalan kita diangkat dalam kita berkeadaan lalai. Baginda juga menasihatkan agar kita lakukan amalan setakat yang kita terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu, sehinggalah kita semua jemu.

Ilmu ni saya perolehi dari beberapa tazkirah agama yang saya hadiri, dan saya kongsikan bersama anda teman dan pembaca yang saya hargai.

Maka, sewajarnyalah kita melakukan amalan-amalan yang baik pada malam Nisfu Syaaban dan mengelakkan apa yang Allah tidak suka, mudah-mudahan kita semua diampun Allah. Mari kita manfaatkan malam istimewa ini bersama.

Wassalam.

Selasa, 10 Jun 2014

Diane Lane: Biduanita Pujaan

Salam,

Saya pernah menulis tentang pelakon pujaan saya Diane Lane pada 9.1.2010 dalam blog ini. Saya meminati beliau kerana disiplin dan sikap bersungguhnya dalam kerja. Mutu lakonannya sentiasa mendapat kritikan baik dan memenangi banyak 'film awards'

Melalui filem terbarunya 'Every Secret Thing' beliau sekali lagi diberikan pujian tinggi melalui lakonan mantapnya. Filem ini belum lagi ditayangkan di negara kita, dan pastinya saya akan menuju ke pawagam bila ia ditontonkan kelak kepada para peminat filem di tanah air kita.

Namun, kehidupan peribadinya tidaklah seindah kerjayanya. Pada awal tahun ini, beliau telah bercerai dengan suaminya Josh Brolin setelah 8 tahun berkahwin. Satu sumber yang dekat dengan pasangan ini menjelaskan perceraian itu dibuat melalui keputusan bersama dan dilakukan secara damai.

Apa yang menarik tentang wanita ini, beliau tidak meminta pampasan penceraian yang berlebih-lebih dari bekas suaminya. Beliau bersikap tenang dan reda dengan perpisahan itu. Melalui cerita dan berita yang lain, bekas suaminya itu dikatakan mempunyai sikap dan pekerti yang amat berbeza dari Diane. Beliau pernah ditangkap polis pada tahun 2004 atas alasan 'domestic battery', manakala Diane tidak mahu membuat tuduhan 'press charges' dan cuma mengatakan sebagai salah faham demi menjaga maruah suaminya.

Begitulah tingginya nilai pekerti Biduanita pujaan saya ini. Saya selaku peminatnya akan terus menyokong beliau secara moral. I love Diane Lane.

Wasalam.

Isnin, 9 Jun 2014

Sehari Menyusuri Sungai Judah, Pulau Carey

Kenalan saya: Intan a/l Kamit
Salam,

Pada Sabtu 7.6.2014 yang lalu, saya dan beberapa orang teman berpakat untuk menyusuri Sungai Judah, di Pulau Carey. Menikmati alam semula jadi merupakan sebahagian dari kegemaran kami pada masa lapang. Kepuasan daripada aktiviti ini ialah dapat menginsafi kebesaran dan nikmat Allah yang menganugerahkan bumi ini kepada makhlukNya.

Disamping itu, kami mengambil peluang untuk bertemu kenalan-kenalan baru di Kampung Sungai Judah yang diduduki kaum orang asli dari rumpun Mahmeri. Nama kampung ini diambil sempena Sungai Judah yang menjadi jalan air kepada penduduk untuk ke laut mencari mata pencarian.

Saya dibawa menyusuri Sungai Judah oleh kenalan saya bernama Intan dengan boat sangkut kecil sesuai untuk 4 orang penumpang. Sungai ini amat menarik, suasananya yang damai dan menghijau amat menenangkan. Ditambah pula aroma segar dedaun bakau dan perepat yang dibawa angin sepoi bahasa. Bertambah menarik di sungai ini terdapat burung-burung helang, undan dll berkeliaran di udara mencari ikan. Di gigi air kelihatan banyak ikan belacak dan ketam-ketam kecil. Manakala di darat terdapat pula kumpulan monyet dan biawak.

Sdr. Intan membawa saya ke kawasan dimana terdapat banyak ikan. Saya tidak memancing, tetapi 2 orang kawan saya kelihatan teruja menaikkan ikan tanda, senangin dan gelama. Belut dan buntal banyak juga di sini.

Penat menyusuri sungai, kami berihat di tebingnya dan makan bekalan yang kami bawa dari rumah. Selepas asar, kami menyusuri jalan balik ke Kuala  Lumpur. Saya kongsikan pengalaman ini kepada teman-teman di blog ini yang mungkin berminat untuk beriadah dan menikmati keindahan alam semula jadi di Sungai Judah.

Wasalam.

Sabtu, 7 Jun 2014

Iily Izdihar Dalam Kenangan


6.5.1996 - 18.5.2014
Aku terpaku
Saat mendapat kabar duka
Aku menangis
Ketika melihat kau terbaring kaku
Aku kehilangan
Orang yang terkasih

Aku masih bermenung
Lautku sepi tanpa ombak
Malamku sunyi tanpa bintang
Kerana untuk pertama kalinya
Aku merasakan benar-benar kehilanganmu

Dihar
Semoga kau tenang di sana
Di sini aku akan selalu berdoa
Agar kau diberikan tempat terindah

Dihar
Selamanya kaukan hadir 
Dalam ingatan dan
Dalam hatiku

Jumaat, 6 Jun 2014

Brasil 2014: German Pasukan Pilihan Saya



Salam,

Piala Dunia FIFA Brasil 2014 semakin hampir. Dikalangan teman-teman saya sudah mula rancak perbincangan mereka mengenainya, terutamanya siapakah yang akan menjulang piala kemegahan masyarakat bumi ni. Ramai yang menjangkakan Brasil atau Sepanyol mempunyai peluang besar untuk menjuarai kejohanan kali ini berdasarkan rekod lepas dan prestasi semasa.

Namun saya memilih German sebagai pasukan yang tampak terbaik untuk cemerlang di piala dunia kali ini. Saya melihat kepada kombinasi pemain senior berpengalaman dan pemain muda berbakat yang membuatkan mereka kelihatan kuat dari aspek mengawal permainan, ketenangan dan kepantasan.

Apa kurangnya dengan pasukan lain?  Tanya seorang teman karib saya.

Benar juga kata sahabat saya tu. Semua pasukan yang bertanding tentulah sama impiannya untuk menjuarai piala dunia FIFA 2014. Mereka pastinya telah membuat persiapan rapi untuk mempamerkan permainan bermutu tinggi dengan penuh semangat juang demi kehormatan dan maruah negara masing-masing.

Namun, saya melihat pasukan German berbeza daripada pasukan lain, kerana mempunyai budaya permainan mereka tersendiri, iaitu memilik variasi dalam setiap permainan dan punyai disiplin tinggi ketika di padang. Pada kejohanan ini, jurulatih mereka Joachim  Loew menitik berat kepada memperkukuhkan serangan balas dan pertahanan. 'Kami ke Brasil dengan penuh percaya diri' kata jurulatih tersebut.

Apa kurangnya dengan pasukan lain? Tanya sahabat saya tu lagi.

Entahlah, saya bukan pakar bola sepak, sekadar peminat yang mempunyai pengamatan sendiri. Apa-apapun, skuad German ke Brasil pada kali ini dengan impian menamatkan penantian selama 24 tahun untuk menjulang piala dunia buat kali keempat.

Saya berharap pasukan kegemaran saya ni dapat mencapai impian mereka. Saya sekadar memperhangatkan perdebatan bersama para sahabat je.

Wasalam.

Rabu, 4 Jun 2014

Tepung Torak: Kueh Yang Susah Ditemui

Salam,

Semasa singgah di pasar minggu Ijok, Kuala Selangor baru-baru ini, saya terjumpa seorang makcik menjual kueh-kueh tradisional Melayu seperti kuih tepong torak, koci, tepung bungkus, lepat liat, kasturi dll. Tepong torak adalah kueh kegemaran saya sejak kecil lagi kerana rasanya yang lemak manis, lembut, warna putih dan agak istimewa dari segi rupa.

'Kuih ni susah dapat nak' kata makcik tu. 'Tak ramai yang membuat kuih ni sekarang' sambungnya. 'Lagipun penyediaannya agak renyah juga' kata Makcik tu lagi.

Memang benar kata Makcik tu, saya pun dah lama tak menemui orang berjualan kuih tepong torak. Kali terakhir saya makan kuih ni ialah tiga tahun lalu semasa saya berkunjung ke Alor Star, Kedah.

Makcik, penjual kueh turut menerangkan kepada saya proses pembuatan kueh tepong torak ni. Ia dihasil dari adunan bahan seperti tepung beras, santan, gula, garam dan air. Bahan-bahan tersebut dibancuh sehingga sebati, kemudian ditapis dan dimasak dengan api kecil sehingga pekat. Adunan yang telah dimasak dibungkus pula dengan daun pisang yang telah dilayurkan seperti membungkus pulut udang, dikukus sehingga masak.

Saya terfikir juga, jika tiada usaha untuk mengekalkan pengeluaran kueh ni, mungkin lama-kelamaan generasi baru kita tidak lagi tahu atau kenal dengan kueh tepong torak sebagai satu juadah warisan Melayu.

Wasalam.