Sabtu, 1 Mei 2010

Graduan Perubatan Malaysia Berebut Kerja Di Singapura - Pendapat Saya


Salam,

Hari ini Hari Pekerja. Hari untuk warga kerja menilai diri tentang pemenuhan tuntutan tanggungjawab dan amanah dalam kerjaya masing-masing.

Pada sambutan tahun ini, Kementerian Sumber Manusia mahu para pekerja lebih daya bersaing dan berkemahiran sejajar dengan misi Model Ekonomi Baru (MEB) yang mahukan pekerja meningkat keupayaan diri.

Kebetulan pada hari ini juga Berita Harian melaporkan semakin ramai graduan perubatan negara yang ingin bekerja di Singapura. Daripada 209 graduan Universiti Kebangsaan Malaysia yang lulus pada 26 Mac 2010, 20 orang daripada mereka telah menerima tawaran sebagai doktor pelatih di Singapura. Dijangka seramai 80 graduan lagi akan meninggalkan negara ini untuk bekerja di hospital-hospital di Singapura.

"Trend" begini telah membimbangkan Professor Datuk Dr Lokman Saim, Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , sehingga meminta kerajaan menghalang graduan perubatan baru daripada bekerja di luar negara. Alasan beliau supaya doktor-doktor muda tersebut terutamanya penerima biasiswa terlebih dahulu membalas jasa di atas peluang yang diberikan kepada mereka untuk dilatih menjadi doktor dengan berkhidmat di dalam negara. Di samping itu, adalah menjadi syarat kepada graduan perubatan ini untuk melaksanakan khidmat wajib mereka sebagai doktor pelatih atau pegawai perubatan selama tiga tahun di Malaysia.

Pada suatu sudut saya menyokong saranan beliau itu, tetapi saya lebih menyokong jika graduan perubatan ini dibenarkan untuk pendedahan di luar negara sebagai medan latihan untuk mereka berdaya saing dan meningkatkan keupayaan diri. Disamping itu, mereka juga akan menerima gaji yang lebih tinggi sebanyak RM6,187 (S$2,690) berbanding gaji yang mereka terima di negara ini sebanyak RM3,665.

Amat membanggakan kita bila sistem pendidikan perubatan di negara ini mendapat pengiktirafan negara-negara luar, seperti apa yang dilakukan oleh Majlis Perubatan Singapura yang mengiktiraf ijazah perubatan UKM. Kita seharusnya lebih berusaha dan meningkatkan lagi taraf pendidikan di bidang ini, agar terus menjadikan graduan perubatan kita sebagai produk negara yang teratas bertahap dunia dek kerana kualiti.

Mungkin pandangan saya ini berguna untuk para pendidik merenungnya.

Wasalam.