Rabu, 15 September 2010

Bila Anak-Anak Melayu Menganggur - Apa Kita Nak Buat?

Salam,

Tadi malam, saya dan empat orang jiran lama minum teh tarik sambil bertanya kabar di sebuah kedai mamak di Ampang Point Selangor. Sempena bulan raya ini elok benarlah kami bertemu dan mengeratkan lagi persahabatan kami berempat.

Sudah tentulah topik perbualan kami berkisar tentang keluarga, pekerjaan dan kisah-kisah lama yang mencuit hati. Dalam kerancakan itu terpantul juga perkara serius yang kami bualkan, iaitu mengenai anak-anak menganggur. Seorang jiran saya ini mempunyai dua orang anak yang menganggur. Manakala seorang lagi jiran mempunyai tiga orang anak saudara yang masih menganggur.

Maka banyaklah yang terkeluar dari mulut kami tentang permasalahan ini, diantaranya anak Melayu suka memilih kerja, lemah penguasaan bahasa kedua dan kurang kemahiran. Terdapat juga syarikat-syarikat milik bukan Melayu tidak mahu mengambil anak-anak Melayu untuk bekerja dengan mereka, serta banyaklah lagi alasan dan terasa ada pula yang sensitif untuk didebatkan.

Saya lalu teringat pandangan Sdr. Abdullah Karim, Pengarah Hal Ehwal Pelajar Dewan Pemuda Pas Pusat suatu ketika dahulu. Beliau menyatakan orang Melayu kebanyakannya adalah anak-anak petani, nelayan dan anak-anak pegawai kerajaan, jadi apabila keluar dari universiti mereka sukar untuk mendapat pekerjaan dan terpaksa bersaing untuk merebut peluang tersebut sesama mereka. Berbeza pula dengan kedudukan pelajar dari kaum Cina, kebanyakan tidak perlu bersaing sesama sendiri kerana keluarga mereka banyak menceburi perniagaan dan mereka lebih banyak berkhidmat dengan syarikat milik keluarga atau saudara mara sebaik saja tamat pengajian.

Memang ada benarnya apa yang dikatakan itu, Contohnya, HarakahDaily pada 24.01.07 pernah melaporkan peratus graduan Melayu yang menganggur ialah sebanyak 96.33 peratus., berbanding graduan Cina 1.73 peratus. Manakala, pada 19.05.10, Utusan Malaysia mendedahkan peniaga Melayu cuma menguasai 10 peratus hartanah (ruang niaga) komersial di seluruh negara.

Kedua-dua contoh tersebut sudah cukup menggambarkan masa depan yang akan dihadapi oleh anak-anak Melayu. Saya berpendapat seharusnya masalah pengangguran orang-orang Melayu diletakkan sebagai agenda utama Melayu oleh masyarakat Melayu bagi membela nasib bangsanya. Orang Melayu harus dibantu dengan apa carapun supaya mendapat bahagiannya dalam bidang ekonomi. Kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu saya kira boleh membantu.

Mesti ada pemimpin, pertubuhan dan badan berkuasa yang boleh menggerakkan agenda ini bagi mewujudkan suatu mekanisme dan rangkaian ekonomi Melayu yang kuat sepertimana orang Cina menguasai ekonomi. Sistem sediada yang membantu orang Melayu harus dikaji semula keberkesanannya. Mesti ada pendekatan baru, pendidikan baru dan konsep baru. Orang Melayu wajib dikerah untuk menceburi sektor perniagaan biar wujud kantor dan kedai disetiap kampong dan bandar dengan mengambil anak-anak Melayu sebagai pekerja.

Sebagai contoh diwujudkan projek satu kampong satu rangkaian perniagaan Melayu. Saya melihat masih terdapat kampong-kampong Melayu dimana tidak ada satupun kedai yang dimiliki oleh orang Melayu melainkan diusahakan oleh peniaga Cina dan India

Cuba fikirkan sampai bila anak-anak kita mengharapkan simpati dan ehsan peniaga dan syarikat bukan Melayu untuk memberikan anak-anak kita peluang pekerjaan. Mana maruah kita?

Mungkin pendapat saya ini berguna.

Wasalam

Rabu, 8 September 2010

Kepada Semua Muslimin Dan Muslimat


Selamat menyambut Aidil Fitri
Eratkan keluarga, saudara dan teman
Saya menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Salam,

Saya mengucapkan selamat menyambut hari lebaran kepada para pembaca dan pengunjung blog ini. Semoga semangat beribadah yang dikerjakan bersungguh-sungguh pada Ramadan kali ini dapat diteruskan dalam bulan-bulan berikutnya sehinggalah Ramadan tahun depan.

Hari mulia ini tentu lebih bererti jika dapat disambut dengan penghayatan konteks ajaran Islam sebenar, sederhana dan menguasai nafsu. Disamping dapat menyambutnya bersama mereka yang tersayang.

Wasalam.

Selasa, 7 September 2010

Mengenang Pak Rashid


(10 Oktober 1917 - 1 September 2006)

Berkolek mudek ke Kuala Sayung
Biarpun bocor tetap berdayung
Jasa Bapak tetap disanjung
Satria merdeka terulung

Tanggal 1 September 2010 yang lalu, genap 4 tahun Pak Rashid Maidin meninggal dunia pada usia 89 tahun. Saya mendoakan agar amal ibadah dan perjuangannya diterima Allah. Begitulah jua dengan arwah-arwah pahlawan Melayu yang tidak kita kenal saya doakan agar diberi tempat di sisi Allah.

Sejarah 'heroic' perjuangan Pak Rashid mengusir Penjajah Jepun dan British dari Tanah Melayu patut dikenang, terutamanya generasi muda yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Pak Rashid merupakan pahlawan Melayu yang sanggup menyabung nyawa demi pengabdiannya untuk membebaskan bangsa dan nusa.

Sewajarnya rasa bangga dan hormat dirasakan dalam diri setiap anak-anak Melayu di atas pengorbanan Pak Rashid. Dan yang terpenting adalah bagaimana mereka sebagai penerus bangsa dapat mewarisi sifat kepahlawanan beliau untuk masa depan Malaysia tercinta.

Pak Rashid dilahirkan pada 10.10.1917 di Kampong Gunung Mesah, Gopeng Perak. Kerjaya politiknya bermula pada tahun 1939 pada usia 22 tahun. Beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berhaluan kiri dan menentang British. Beliau kemudiannya menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tahun 1941. Pak Rashid kekal memilih PKM sebagai wadah perjuangannya.
Walaupun selepas Tanah Melayu merdeka pada 31.08.1957. Pak Rashid enggan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaya atas alasan pemerintahan masih mengikut telunjuk dan berbagai syarat penjajah British. Sehinggalah persetujuan damai tiga pihak dimetrai oleh Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan PKM pada 2.12.1989, dan tamatlah persengketaan bersenjata PKM terhadap negara yang sudah memakan masa lebih 40 tahun.
Akhirnya, Pak Rashid menetap di perkampongan perdamaian di Ban Chulaborn Patana II di Wilayah Yala Selatan Thailand. Di kampong tersebut Pak Rashid mengajar Al Quran kepada anak-anak di situ. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1.9.2006 di Sisakoin, Narathiwat, Thailand.
Coretan saya ini sekadar menyatakan bahawa Pak Rashid turut berperanan untuk kemerdekaan tanah air kita. Beliau wajar dikenang jasanya sebagai pahlawan nusa dan bangsa. Coretan ini juga sekadar pengobar semangat generasi muda supaya menghargai perjuangan orang-orang tua kita dahulu sehingga terciptanya Tanah Melayu yang bebas, maju, aman dan damai.
Wasalam.

Rabu, 1 September 2010

Mengapa Saya Memuja Wanita Ini?


Salam,

Saya mudah menyukai mereka yang bersungguh dalam kerjanya, terutama yang mempunyai semangat kental dan daya juang untuk bangun bila jatuh, bangun lagi bila kembali jatuh, sehingga berjaya mencapai kejayaan yang dicitakan. Begitulah yang berlaku kepada perjalanan seni Seniwati Diane Lane. Kesungguhan seperti itulah yang membuat saya amat meminati personaliti hebat ini.

Saya menjadi peminat beliau sudah melebihi suku abad, sejak mula menonton filem-filem lakonannya pada awal 80'an, seperti Touched By Love (1980), The Fabulous Stain (1982) dan Rumble Fish (1983). Pada masa itu saya meramalkan dia pasti akan menjadi 'a household name' dalam industri ini. Benarpun, dengan rekod 16 kali dicalonkan untuk memenangi anugerah 'Best Actress' merupakan satu pencapaian yang tak dapat disangkal lagi.

Karier filem beliau bermula dengan filem A Little Romance pada tahun 1979, lantas dinobatkan sebagai Best Juvenile Actress In A Motion Picture pada tahun yang sama. Pada tahun berikutnya beliau dianugerahkan pula sebagai Best Young Actress In a Motion Picture melalui filem Touched By Love (1980).

Namun pada tahun-tahun seterusnya beliau gagal menyerlah, filem-filem lakonannya dikritik hebat seperti filem Cattle Annie And Little Britches (1981) dan Six Pack (1982). Malah, melalui filem The Cotton Club (1984) dan Streets Of Fire (1984) dianggap sebagai 'A high profile flop' sehingga beliau dicalonkan melalui Razzie Awards sebagai Worst Supporting Actress.

Akibat dari kekecewaan itu, beliau berehat dari dunia lakonan selama tiga tahun dan kembali untuk bangkit semula pada tahun 1987 melalui filem Lady Beware dan The Big Town. Namun, proses untuk membangunkan semula karier filemnya agak perlahan dan hanya diberikan peranan-peranan kecil melalui Judge Dredd (1995) bersama Sylvester Stallone, Jack (1996) bersama Robin William dan Murder At 1600 (1997) bersama Wesley Snipes.

Akhirnya, karier seninya kembali dipuncak, kejayaan demi kejayaan bagai jatuh ke riba, bermula dengan 'blockbuster' The Perfect Storm (2000) diikuti pula dengan The Glass House (2001) dan 'No.1 Smash Hit' Hard Ball (2001). Kejayaan paling besar beliau ialah melalui filem Unfaithful (2002), dimana beliau banyak menerima pencalonan anugerah seperti, Best Actress In A Leading Role (Academy Awards USA), Best Performance By An Actress In A Motion Picture-Drama (Golden Globes USA), Outstanding Performance By A Female Actor In A Leading Role (Screen Actors Guild Awards), Best Performance By An Actress In A Motion Picture-Drama (Satellite Awards), dan Best Actress (National Society Of Film Critics Awards USA).

Sehingga kini Diane Lane masih kekal dipuncak. Bak kata penulis Daryl Moulton " She is very well regarded within the industry, adored by film fans, and has a credibility and quality that is all too rare today. Her immense talent at playing human and real characters, her drop dead gorgeous and down to earth grittiness guarantees that she will stay on top for a long, long time"

Wasalam.