Selasa, 7 September 2010

Mengenang Pak Rashid


(10 Oktober 1917 - 1 September 2006)

Berkolek mudek ke Kuala Sayung
Biarpun bocor tetap berdayung
Jasa Bapak tetap disanjung
Satria merdeka terulung

Tanggal 1 September 2010 yang lalu, genap 4 tahun Pak Rashid Maidin meninggal dunia pada usia 89 tahun. Saya mendoakan agar amal ibadah dan perjuangannya diterima Allah. Begitulah jua dengan arwah-arwah pahlawan Melayu yang tidak kita kenal saya doakan agar diberi tempat di sisi Allah.

Sejarah 'heroic' perjuangan Pak Rashid mengusir Penjajah Jepun dan British dari Tanah Melayu patut dikenang, terutamanya generasi muda yang akan mewarisi bumi Malaysia ini. Pak Rashid merupakan pahlawan Melayu yang sanggup menyabung nyawa demi pengabdiannya untuk membebaskan bangsa dan nusa.

Sewajarnya rasa bangga dan hormat dirasakan dalam diri setiap anak-anak Melayu di atas pengorbanan Pak Rashid. Dan yang terpenting adalah bagaimana mereka sebagai penerus bangsa dapat mewarisi sifat kepahlawanan beliau untuk masa depan Malaysia tercinta.

Pak Rashid dilahirkan pada 10.10.1917 di Kampong Gunung Mesah, Gopeng Perak. Kerjaya politiknya bermula pada tahun 1939 pada usia 22 tahun. Beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berhaluan kiri dan menentang British. Beliau kemudiannya menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tahun 1941. Pak Rashid kekal memilih PKM sebagai wadah perjuangannya.
Walaupun selepas Tanah Melayu merdeka pada 31.08.1957. Pak Rashid enggan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaya atas alasan pemerintahan masih mengikut telunjuk dan berbagai syarat penjajah British. Sehinggalah persetujuan damai tiga pihak dimetrai oleh Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dan PKM pada 2.12.1989, dan tamatlah persengketaan bersenjata PKM terhadap negara yang sudah memakan masa lebih 40 tahun.
Akhirnya, Pak Rashid menetap di perkampongan perdamaian di Ban Chulaborn Patana II di Wilayah Yala Selatan Thailand. Di kampong tersebut Pak Rashid mengajar Al Quran kepada anak-anak di situ. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1.9.2006 di Sisakoin, Narathiwat, Thailand.
Coretan saya ini sekadar menyatakan bahawa Pak Rashid turut berperanan untuk kemerdekaan tanah air kita. Beliau wajar dikenang jasanya sebagai pahlawan nusa dan bangsa. Coretan ini juga sekadar pengobar semangat generasi muda supaya menghargai perjuangan orang-orang tua kita dahulu sehingga terciptanya Tanah Melayu yang bebas, maju, aman dan damai.
Wasalam.

Tiada ulasan: