Rabu, 15 September 2010

Bila Anak-Anak Melayu Menganggur - Apa Kita Nak Buat?

Salam,

Tadi malam, saya dan empat orang jiran lama minum teh tarik sambil bertanya kabar di sebuah kedai mamak di Ampang Point Selangor. Sempena bulan raya ini elok benarlah kami bertemu dan mengeratkan lagi persahabatan kami berempat.

Sudah tentulah topik perbualan kami berkisar tentang keluarga, pekerjaan dan kisah-kisah lama yang mencuit hati. Dalam kerancakan itu terpantul juga perkara serius yang kami bualkan, iaitu mengenai anak-anak menganggur. Seorang jiran saya ini mempunyai dua orang anak yang menganggur. Manakala seorang lagi jiran mempunyai tiga orang anak saudara yang masih menganggur.

Maka banyaklah yang terkeluar dari mulut kami tentang permasalahan ini, diantaranya anak Melayu suka memilih kerja, lemah penguasaan bahasa kedua dan kurang kemahiran. Terdapat juga syarikat-syarikat milik bukan Melayu tidak mahu mengambil anak-anak Melayu untuk bekerja dengan mereka, serta banyaklah lagi alasan dan terasa ada pula yang sensitif untuk didebatkan.

Saya lalu teringat pandangan Sdr. Abdullah Karim, Pengarah Hal Ehwal Pelajar Dewan Pemuda Pas Pusat suatu ketika dahulu. Beliau menyatakan orang Melayu kebanyakannya adalah anak-anak petani, nelayan dan anak-anak pegawai kerajaan, jadi apabila keluar dari universiti mereka sukar untuk mendapat pekerjaan dan terpaksa bersaing untuk merebut peluang tersebut sesama mereka. Berbeza pula dengan kedudukan pelajar dari kaum Cina, kebanyakan tidak perlu bersaing sesama sendiri kerana keluarga mereka banyak menceburi perniagaan dan mereka lebih banyak berkhidmat dengan syarikat milik keluarga atau saudara mara sebaik saja tamat pengajian.

Memang ada benarnya apa yang dikatakan itu, Contohnya, HarakahDaily pada 24.01.07 pernah melaporkan peratus graduan Melayu yang menganggur ialah sebanyak 96.33 peratus., berbanding graduan Cina 1.73 peratus. Manakala, pada 19.05.10, Utusan Malaysia mendedahkan peniaga Melayu cuma menguasai 10 peratus hartanah (ruang niaga) komersial di seluruh negara.

Kedua-dua contoh tersebut sudah cukup menggambarkan masa depan yang akan dihadapi oleh anak-anak Melayu. Saya berpendapat seharusnya masalah pengangguran orang-orang Melayu diletakkan sebagai agenda utama Melayu oleh masyarakat Melayu bagi membela nasib bangsanya. Orang Melayu harus dibantu dengan apa carapun supaya mendapat bahagiannya dalam bidang ekonomi. Kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu saya kira boleh membantu.

Mesti ada pemimpin, pertubuhan dan badan berkuasa yang boleh menggerakkan agenda ini bagi mewujudkan suatu mekanisme dan rangkaian ekonomi Melayu yang kuat sepertimana orang Cina menguasai ekonomi. Sistem sediada yang membantu orang Melayu harus dikaji semula keberkesanannya. Mesti ada pendekatan baru, pendidikan baru dan konsep baru. Orang Melayu wajib dikerah untuk menceburi sektor perniagaan biar wujud kantor dan kedai disetiap kampong dan bandar dengan mengambil anak-anak Melayu sebagai pekerja.

Sebagai contoh diwujudkan projek satu kampong satu rangkaian perniagaan Melayu. Saya melihat masih terdapat kampong-kampong Melayu dimana tidak ada satupun kedai yang dimiliki oleh orang Melayu melainkan diusahakan oleh peniaga Cina dan India

Cuba fikirkan sampai bila anak-anak kita mengharapkan simpati dan ehsan peniaga dan syarikat bukan Melayu untuk memberikan anak-anak kita peluang pekerjaan. Mana maruah kita?

Mungkin pendapat saya ini berguna.

Wasalam

Tiada ulasan: