Rabu, 29 Julai 2009

Mendidik Anak - Nasihat Orang Tua-Tua Dahulu












Salam,

Pada hari Isnin yang lalu, sebuah steysen radio telah membincangkan satu topik menarik tentang 'Anak-Anak' bersama para pendengarnya. Ramai pemanggil yang membandingkan pengalaman mereka sebagai kanak-kanak dengan suasana anak-anak pada hari ini.

Anak-anak pada zaman sekarang lebih mewah, kehendak mereka mudah dituruti ibu-bapa. Ramai juga pendengar yang memberi komen anak-anak hari ini lebih vokal dan berani menyatakan pendapat mereka. Ada pula yang berpendapat anak-anak hari ini tidak mahu mendengar nasihat, tidak menghormati orang tua dan ada yang sampai keperingkat kurang ajar.

Saya tertarik dengan perbandingan tersebut. Saya ingin berkongsi dengan para pembaca bagaimana orang-orang tua dahulu mendidik anak-anak mereka. Saya melihatnya dari perspektif pusaka adat resam, iaitu melalui perumpamaan, bidalan dan kiasan. Semoga kita dapat menghalusi cara orang-orang tua dahulu mendidik anak-anak mereka:-

Bapa borek anak rintik
Anak mencontohi kelakuan orang tuanya.

Ibu-bapa hendaklah menunjukkan pekerti yang baik kepada anak-anak. Baik dan buruknya kelakuan anak-anak adalah diperolehi melalui perlakuan ibu-bapa juga.

Biar mati anak, jangan mati adat.
Jikalau anak sendiri melanggar adat, dia mesti dihukum.
Dalam konteks ini adat bermaksud undang-undang, peraturan dan adab. Ibu-bapa hendaklah bersikap tegas dalam perkara ini supaya anak-anak menghormati nya.

Ibarat anjing kepada orang, raja kepada kita.
Anak sendiri, tetap dianggap baik.
Ibu-bapa seharusnya bersikap positif terhadap anak-anak mereka dan sentiasa memberi sokongan apabila anak-anak menghadapi kesukaran dan kesusahan.

Kalau bapanya bergendang, masakan anaknya tidak menari.
Jika bapanya suka menceritakan ilmunya yang kosong, anaknya pun turut menceritakan hal yang sama juga.
Ibu-bapa sewajarnya menunjukkan perkara-perkara yang berfaedah dan bermanfaat kepada anak-anak mereka, kerana anak-anak biasanya menjadikan ibu-bapa sebagai idola mereka.

Ke mana tumpah kuah, jikalau tidak ke nasi.
Peribadi anak dipengaruhi oleh sifat ibu bapanya.
Ibu-bapa pastikan mereka terlebih dahulu menunjukkan sifat dan amalan baik jika mahu anak-anak mereka menjadi insan yang baik dan berpekerti tinggi.

Kelok paku asam belimbing, anak dipangku kemenakan dibimbing.
Anak dan anak saudara sama-sama dijaga.
Ibu-bapa bukan sahaja bertanggungjawab untuk mendidik anak mereka, malah anak-anak lain yang bergaul dan berkawan dengan anak mereka juga turut dijaga dan dididik sama.

Kerbau menanduk anaknya dengan papar, tidak dengan ujungnya.
Marah anak bukan sebab benci, tetapi untuk mendidik.
Ibu-bapa mestilah mendidik anak dengan bijaksana, ikhlas dan jujur serta jangan sampai anak-anak tersalah faham dengan cara didikan tersebut.

Malu jikalau anak harimau menjadi anak kambing.
Tidak patut anak orang pandai menjadi bodoh, anak pemberani menjadi penakut.
Ibu-bapa pastikan anak-anak mereka berupaya untuk mencapai atau melebihi pencapaian mereka. Janganlah membiarkan anak-anak tidak dilatih kerana ibu-bapa sibuk dengan tugas dan urusan mereka.

Mati anak berkalang bapak, mati bapak berkalang anak.
Anak dan orang tuanya tolong menolong.
Ibu-bapa seharus mewujudkan keluarga yang harmoni dan membina semangat berpasukan dengan anak-anak supaya kehidupan keluarga menjadi rukun dan seronaok.

Tatkala rebung tiada dipatah, ketika sudah menjadi aur apa gunanya lagi.
Mendidik anak biarlah semasa kecil, apabila dewasa sudah terlambat.
Ibu-bapa seharusnya melatih, membentuk dan mendidik anak sejak kecil lagi bukannya sesudah mereka dewasa.

Kepada anda rakan-rakan saya yang menjadi ibu dan bapa, fikirkanlah! Kalau bukan kita yang memberikan kasih sayang dan pendidikan yang baik kepada anak-anak kita, siapa lagi?

Umpama daun dapat dilayang, getah jatuh ke perdu juga.

Kasih kepada anak sendiri tidak akan sama dengan kasih kepada anak orang.

Saya sekadar berkongsi pandangan.

Wasalam.

Selasa, 21 Julai 2009

Renungan - Masalah Keciciran Dan Buta Huruf Anak-Anak Kita














Salam,

Saya terbaca satu laporan akhbar Berita Harian pada 21 Julai 2009.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata lebih dari 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan di luar bandar dan pendalaman. Banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memastikan semua rakyat berpeluang dan berupaya untuk mendapat pendidikan.

"Kementerian Pelajaran perlu melipatgandakan usaha menyediakan infrastruktur, terutama kepada sekolah luar bandar untuk merapatkan jurang kerana pendidikan di Malaysia sudah mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan" kata beliau pada perasmian Bengkel Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 di Sepang Selangor.

Saya bersetujulah dengan apa yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri itu. Namun setelah lebih 50 tahun negara kita merdeka, mengapakah kita masih lagi menghadapi masalah anak-anak yang tercicir persekolahan mereka? Malah bukan itu saja, masalah buta huruf juga masih berleluasa, masalah bangunan sekolah runtuh, masalah sekolah-sekolah daif tanpa bekalan air dan elektrik. Masalah penempatan guru turut menjadi isu. Mujurlah, pertelagahan isu PPSMI boleh dikira selesai.

Saya amat berharap, pihak kerajaan benar-benar serius untuk menangani masalah-masalah ini. kerana pendidikan amat penting bagi menjadikan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan dan berupaya mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.

Saya juga ingin mencadangkan supaya diwujudkan atau ditempatkan program celik komputer dan kemudahan internet desa disetiap sekolah di pedalaman dan luar bandar. Kemudahan itu dibukakan kepada setiap penduduk untuk mempelajarinya. Pihak sekolah atau guru wajib memainkan peranan untu mengajar mereka tentang ilmu teknologi ini.

Cadangan saya ini mungkin berguna.

Wasalam.

Isnin, 13 Julai 2009

Kes Dera Amah - Mana Kemanusiaan Kita?





Salam,

Kes dera amah!, Kes buli amah!, semakin banyak dibongkarkan! Kebanyakan kes ini membabitkan pembantu rumah dari Indonesia. Mengapakah mereka dibuat sebegitu rupa? Didera mental dan fizikal mereka? Sehingga ada yang menyebabkan kecacatan! Dimanakah peri kemanusiaan kita?

Saya agak kecewa kerana ada orang-orang kita yang berkata perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana jumlahnya kecil. Dilaporkan kurang daripada 50 kes yang berhubung dengan penderaan majikan terhadap pembantu rumah dalam tempoh setahun. Bagi saya itu bukan persoalannya, tetapi saya kesal dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh orang-orang kita yang kononnya berpendidikan dan bertamadun.

Kes penderaan ini tentunya menyukarkan kepentingan banyak pihak terutamanya majikan atau pasangan suami isteri yang bekerja. Mereka amat memerlukan seorang pembantu rumah bagi menjaga seisi rumah termasuk anak-anak.

Perkara ini makin menyulitkan apabila Kerajaan Indonesia bertindak untuk menghentikan sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Ia sudah tentulah memberi kesan kepada semangat persaudaraan, kejiranan dan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. Seorang sahabat saya berkata, apa nak dirisaukan kita boleh mendapatkan pembantu rumah dari Filipina dan Thailand. Memang benar, tetapi ia tidak akan menghentikan perbuatan tidak berhati perut orang-orang kita yang berhati kejam.

Berbagai sebab boleh menjadi punca berlakunya penderaan ini, di antaranya seperti yang diperkatakan ramai orang, pembantu rumah yang didatangkan itu tidak mencapai tahap yang diingini oleh orang-orang Malaysia. Ada yang pemalas, panjang tangan dan membuli anak-anak. Terdapat juga yang berpendapat berlakunya pertembungan budaya, makanan, bahasa dll.

Pokoknya, majikan perlu bertimbang rasa terhadap pembantu rumah mereka. Pembantu rumah adalah manusia seperti kita. Mereka tidak harus dibebankan dengan tugas dan masa kerja yang tidak munasabah, seperti bangun seawal 5 pagi dan berlarutan ke tengah malam setiap hari tanpa rehat. Tanya diri kita, adakah kita mahukan pembantu rumah yang mengambil alih sepenuhnya tugas kita sebagai seorang isteri mahupun suami dalam rumah kita, seperti mengemas, membasuh, mencuci kereta, menyiram pokok-pokok bunga, memasak, mengasuh, mendidik sehingga menyuapkan anak-anak kita makan? Sedangkan mereka dinamakan hanya sebagai pembantu rumah kita.

Saya amat menyokong Kerajaan Malaysia yang mahukan pembantu rumah diberi hari rehat sehari dalam seminggu dan tidak bertolak ansur terhadap mereka yang mendera pembantu rumah mereka untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Saya ingin mencadangkan Kementerian Sumber Manusia dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) mensyaratkan supaya mereka yang ingin mempunyai pembantu rumah menghadiri kursus majikan, ia termasuk juga kepada bakal pembantu rumah perlu diberi kursus khas demi menjadikan mereka pekerja yang berdisiplin, bertanggungjawab dan tahu hak mereka sebagai pekerja. Mungkin cadangan ini berguna!

Ingatlah!, orang Indonesia adalah saudara dan rumpun bangsa kita juga!

Wassalam.

Khamis, 9 Julai 2009

Memakai Cincin - Sesuatu Yang Saya Tidak Ketahui











Salam,

Pada kali ini saya ingin berkongsi bersama para pembaca sebuah buku "Rahsia Cincin Nabi Dan Hukum Bercincin" terjemahan Abdullah Al-Qari b. Hj. Salleh. Kitab asalnya dikarang oleh Imaamal Al Baihaqi. Apa yang menarik hati saya ialah selama ini saya beranggapan memakai cincin hanyalah satu perhiasan diri.

Rupanya, memakai cincin adalah suatu Sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan bukanlah semata-semata sebagai perhiasan mahupun tradisi. Adalah makruh jika memakai cincin sebagai satu hiasan diri. Cincin hendaklah dipakai kerana kita mahu menghidupkan dan mengikut Sunnah Nabi s.a.w tidak lebih daripada itu.

Memakai cincin emas bagi lelaki adalah haram. Nabi memakai cincin yang diperbuat dari perak. Para ahli Fiqh Islam juga sepakat diharuskan memakai cincin di jari kiri atau di jari kanan.

Apa yang menarik tentang memakai cincin ini ia tidak mengubah Sunnah Allah, tidak seperti memakai subang yang menurut tradisinya perlu bertindik terlebih dahulu.

Akhirnya, Allah telah berfirman "Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah ikutan yang baik bagi kamu, bagi siapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah dah hari akhirat, dan yang banyak menyebutkan Allah" (Al-Ahzab : 21)

Semoga makluman ini bermanfaat juga kepada rakan-rakan seperti saya.

Wassalam

Jumaat, 3 Julai 2009

Tatakelakuan Dan Integriti Seorang Pekerja



Salam,

Sebagai seorang pekerja, kita dikehendaki untuk menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh amanah, bermoral, mematuhi undang-undang dan peraturan syarikat. Ini bererti kita dituntut untuk melakukan tanggungjawab kita dengan cara yang betul. Kita sentiasa memilih untuk bertindak dengan adil dan jujur. Kita bertindak dengan penuh integriti.

Integriti kita sangat berharga. Ia merupakan maruah. Seorang pekerja wajib mempertahankan integriti peribadinya dalam usaha untuk mencapai kejayaan dan masa depan syarikat. Pekerja perlu memahami aspirasi dan harapan syarikat dengan lebih baik. Pekerja harus mengelakkan sebarang situasi yang melibatkan atau kelihatan seperti melibatkan konflik antara kepentingan peribadi dan kepentingan syarikat. Ini bermakna pekerja perlu mengelakkan keadaan yang boleh mengaburi pertimbangannya apabila melakukan kerja.

Sebagai seorang pekerja Islam, kita dituntut supaya menjadi pekerja yang mempunyai tingkat integriti dan profesionalisme yang paling tinggi yang seiring dengan tuntutan iman dan akhlak muslim, seperti pesanan Rasulullah ini:-

"Seorang muslim itu adalah ibarat lebah. Apabila ia makan, ia makan barang yang baik. Dan apabila mengeluarkan sesuatu daripada badannya, yang dikeluarkan itu pun barang yang baik, berupa madu yang manis dan segar, malah dapat menjadi ubat bagi manusia. Dan apabila ia hinggap, sekalipun ia sebuah ranting yang lapuk dan rapuh, maka tempat ia hinggap itu sedikitpun tidak rosak lantarannya"

Maka kita harus berikhtiar untuk menjalankan urusan secara adil dengan semua pihak seperti pelanggan, pembekal, pesaing malah pekerja syarikat sekalipun. Tiada seorang pun harus mengambil kesempatan ke atas sesiapa melalui pemanipulasian, penyembunyian, penyalahagunaan kuasa, salahnyata fakta atau sebarang amalan urusan tidak adil yang lain.

Kita bukan saja bertanggungjawab untuk berkelakuan secara beretika, malah kita juga berkewajipan untuk melaporkan sebarang amalan buruk seperti rasuah, salahguna kuasa, salah laku dan sebagainya. Atas kesedaran itu, saya telah mendedahkan satu perbuatan melanggar tatakelakuan oleh beberapa orang ahli pengurusan kanan syarikat. Akibatnya, saya telah menjadi mangsa dendam dan pembalasan mereka yang berkuasa dalam syarikat.

Saya berpendapat, jika sesebuah syarikat itu ingin kekal berdaya maju dan berdaya saing serta mahu bergerak di landasan yang betul, maka adalah penting baginya mengekalkan standard etika dan tatakelakuan yang tinggi. Ia wajib menyediakan dan mendidik mengenai cara pekerjanya harus berkelakuan. Ia harus ingat pekerjanya yang jujur merupakan satu aset dan pekerja yang melaporkan pelanggaran tatakelakuan sewajarnya dilindungi. Disiplin ini wajib dipertahankan kerana kita tidak mahu satu hari nanti perlakuan beretika dan bermoral akan menjadi jalan yang sukar ditemui.

Wassalam.

Ahad, 28 Jun 2009

Mengenal Seorang Sahabat








Salam,

Apakah seseorang yang sering mendampingi anda, memiliki persamaan dan berkongsi kegemaran itu boleh dianggap sebagai seorang sahabat baik anda? Jawapannya belum tentu, anda akan hanya dapat menilai dan menganggap seseorang itu sebagai sahabat baik apabila anda diuji dengan kesukaran.

Saya ingin berkongsi bersama para pembaca satu pengalaman yang menyedarkan saya tentang nilai orang-orang yang rapat di sekeliling saya yang selama ini saya anggap sebagai sahabat-sahabat baik saya.

Sebelum ini saya mengakui memiliki ramai sahabat. Bagi saya, seorang sahabat adalah teman yang saya merasa selesa bila berjumpa, berbagi pengalaman, punya persamaan dan kesukaan. Orang-orang yang dapat saya undang ke rumah. Orang-orang yang saya kasihi dan percayai.

Maka datang petunjuk Tuhan. Saya diuji dengan satu kepayahan yang mencabar kekuatan mental dan integriti diri. Diketika itu saya memerlukan sahabat yang sudi menemani di saat kesukaran, sahabat yang menghiburkan ketika duka, sahabat yang memiliki hati untuk mahu menolong saya. Baru saya sedar rupanya saya mempunyai dua golongan sahabat, satu golongan menjauhkan diri ketika susah dan satu lagi bangun untuk membela saya.

Kini saya berpendapat ada satu perbezaan antara menjadi seorang kenalan dan menjadi seorang sahabat. Seorang sahabat menemani kita dalam suka dan duka. Sahabat yang baik tidak hanya menemani kita disaat senang saja tetapi memiliki hati yang sudi merasakan beban yang kita tanggung dan mahu menolong kita dalam kesukaran, tidak hanya menerima kelebihan tetapi juga mahu menerima kekurangan kita dan menuntun kita kearah yang positif.

Saya bertuah mempunyai beberapa orang sahabat yang datang memberi semangat disaat saya lemah, merawati duka di hati dan menemani saya dalam kesulitan. Mereka membuat saya tenang pada saat saya merasakan seperti seluruh alam menentang saya. Mereka bagai kekasih yang setia mengasihi saya walauapapun yang terjadi. Mereka berdoa untuk saya dan menginginkan yang terbaik buat saya.

Terima kasih para sahabat sejatiku!

Wassalam.

Jumaat, 26 Jun 2009

Azam Baru Bagi Mencapai Iltizam












Salam,

Saya sudah melangkah ke bulan kesepuluh menulis dalam blog ini, dan berehat seketika selama tiga bulan untuk pembelajaran cara menulis yang lebih baik. Kini saya mahu menyusuri tempoh yang baru pula. Saya mahu membangkitkan satu perasaan untuk memperbaiki lagi diri dalam setiap pekerjaan dan perbuatan saya, azam untuk mencapai iltizam. Jika saya hanya berangan-angan tanpa azam, nescaya saya tidak dapat menuju kematlamat iltizam yang saya idam-idamkan.

Kepada para pengunjung, kini saya kembali bagi mencetus tulisan-tulisan yang diilhamkan dari pengalaman dan pandangan saya. Semoga kita dapat membincangkannya bersama-sama demi mencerna buah fikiran yang positif.

"Dan apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan.
Maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya
(dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)"
Surah Al-Baqarah : Ayat 215

Wassalam.

Jumaat, 27 Mac 2009

30,000 Melayu Singapura Mungkin Dibuang Kerja


Salam,

Lebih 30,000 pekerja Melayu di Singapura dianggarkan berdepan risiko dibuang kerja berikutan ekonomi yang mencengkam seluruh dunia.

Justeru, masyarakat Melayu perlu menetapkan fokus dan keutamaan dalam menghadapi krisis itu dengan teguh dan bersatu hati, kata anggota parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Dr Ahmad Magdad, malam semalam.

Ketika melancarkan sesi dialog pertama "Bicara Bingkas Bisnes" salah satu inisiatif di bawah pelan tindakan Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Singapura (DPPMS), Dr Ahmad yang juga Penasihat DPPMS, berkata, aspek yang paling bahaya dalam krisis ekonomi bagi kebanyakan negara bukan kadar pertumbuhan lembap atau kemerosotan pada eksport atau harga hartanah, namun kadar pengangguran yang meningkat.

Singapura, sebagai sebuah ekonomi paling terbuka di dunia, tidak akan terlepas daripada hakikat itu. Katanya, perangkaan terbaru menunjukkan seramai 7,000 pekerja dibuang kerja pada suku keempat tahun lalu dan jumlah ini dijangka terus meningkat pada suku pertama tahun ini. Jumlah penganggur yang mendapatkan bantuan juga semakin meningkat.

Berdasarkan nisbah pekerja yang dibuang ketika krisis kewangan Asia pada 1998, dua daripada lima pekerja dibuang adalah Melayu. Oleh itu, diramalkan sekitar 30,000 pekerja Melayu berdepan dengan kemungkinan diberhentikan kerja, tambahnya.

Ahmad menyeru persatuan Melayu supaya bergabung tenaga dan menggaris strategi bagi membantu keluarga dan individu yang dilanda kesusahan walaupun yakin kerajaan akan melakukan yang termampu untuk mengurangkan kadar pengangguran di samping menolong peniaga bangkit semula selepas kemelesetan ini.

Masyarakat perlu menyokong usaha kerajaan dengan mengembeling tenaga dan kekuatan masing-masing untuk menunjukkan azam individu dan sosial dalam mengharungi fasa ekonomi yang mencabar, katanya.

Sebagai maklum balas terhadap krisis ekonomi sekarang, DPPMS menggaris pelan tindakan untuk membantu peniaga Melayu, termasuk inisiatif mengenali DPPMS dan progranm mendekati masyarakat.

(Laporan : Berita Minggu, Ahad, 22 Mac 2009)

Wasalam.

Isnin, 9 Mac 2009

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 2009


Salam,

Diucapkan kepada semua pengunjung blog ini "SELAMAT MENYAMBUT MAULIDIR RASUL 2009"

Sesungguhnya keunggulan kepimpinan Junjungan Besar ini kepada umat manusia memang diakui semua pihak sehinggakan para orientalis barat juga meletakkan baginda sebagai pemimpin terhebat didalam kepimpinan dunia.

Wasalam.

Rabu, 4 Mac 2009

Niat Murni Pelaksanaan Bertangguh


Salam,

Harian Metro pada Selasa 3 Mac 2009 melaporkan kerajaan masih mengkaji cadangan mewujudkan Tabung Pemberhentian Pekerja dibawah Skim Penamatan Perkhidmatan (SPP) bagi menyalurkan pampasan kepada rakyat yang diberhentikan kerja berikutan kegawatan ekonomi.

Namun begitu, usaha untuk mewujudkan tabung tersebut masih belum menjadi kenyataan kerana Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) masih belum mencapai kata sepakat mengenai penubuhannya.

Saya harus bertanya mengapakah perkara semurni ini masih belum boleh direalisasikan, sedangkan beribu-ribu pekerja dinegara ini telah diberhentikan akibat kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara kita. Malah perkara seperti ini pernah dibangkitkan oleh MTUC lebih sedekad lalu.

Saya berpendapat kerajaan perlulah lebih perihatin dan proaktif jika mahu membantu pekerja dan majikan dalam perkara ini dan tidaklah boleh memberi alasan bahawa MTUC dan MEF perlu terlebih dahulu mencapai kata sepakat baru mahu untuk bertindak. Kerajaan perlu campurtangan dan memuktamadkan persefahaman. Fikirkanlah!

Wasalam.

Isnin, 16 Februari 2009

Merudum lagi bola sepak kita

Salam,

Alahai, ranking bola sepak Malaysia jatuh lagi, kali ini tiga tangga daripada kedudukan 158 kepada 161. Ini menurut ranking terkini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Jumaat 13 Februari 2009.

Menurut laman web FIFA, Malaysia mengumpulkan 104 mata kurang 10 mata daripada senarai bulan Januari 2009. Kedudukan terendah Malaysia ialah tempat ke-170 pada April 2008. Kedudukan terbaik Malaysia dalam ranking FIFA adalah kedudukan ke-75, tetapi itu adalah pada tahun 1993.

Saya turut kecewa dengan kedudukan terbaru pasukan bola sepak kita ini, saya lihat semua pihak telah berusaha keras untuk memperbaiki mutu bola sepak negara, tetapi semuanya seperti tak menjadi, terumbang ambing, pada satu ketika ia kelihatan kembali meningkat kemudian kembali jatuh dengan teruk. Yang tetap menjadi mangsa kritikan dan cemuhan ialah para pemain dan jurulatih.

Saya ingin mencadangkan kepada FAM sebagai badan yang diberikan amanah untuk menjaga bola sepak Malaysia, agar mengambil langkah-langkah berani untuk berbuat sesuatu bagi bola sepak Malaysia. Mungkin langkah pertama ialah meminta Kementerian Pendidikan mengambil bekas pemain-pemain bola sepak negeri dan negara agar dilantik sebagai guru khas untuk mengajar bola sepak di sekolah-sekolah rendah dan menengah rendah. Kedua meminta kerajaan negeri mengeluarkan biasiswa bola sepak kepada bakat-bakat bola sepak sehingga ke peringkat universiti. Ketiga, meminta syarikat-syarikat GLC dan swasta untuk mengambil pasukan daerah sebagai anak angkat dan membantu mereka dari segi kewangan.

Matlamat bukan sahaja untuk mendidik generasi muda berpotensi sebagai pemain bola sepak negara pada masa depan tetapi menjadi pegawai atau pengurus bola sepak yang berwibawa juga. Objektif bukanlah jangka pendek tapi untuk 15 atau 20 tahun akan datang. Mungkin cadangan ini berguna untuk FAM fikirkan.

Wasalam.

Ahad, 25 Januari 2009

Selamat Tahun Baru Cina 2009



Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada para pembaca dan pengunjung blog ini dan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan harapan "May good fortune come our way" pada tahun Lembu ini.

Pengurusan Penyenggaraan Bangunan Bertingkat - Cadangan Saya



Salam,

Pada hari Ahad yang lalu, saya memenuhi jemputan seorang teman untuk menghadiri mesyuarat pertama penubuhan jawatankuasa badan pengurusan bersama (JMB) di sebuah pangsapuri di Kepong. Beliau adalah pengurus penyenggaraan pangsapuri berkenaan.

Mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar. JMB berjaya ditubuhkan dan ahli-ahli jawatankuasanya turut dipilih. Apa yang menarik perhatian saya ialah sebilangan besar pemilik yang hadir tahu apa itu JMB, keperluan dan kepentingannya. Mereka memahami konsep tinggal di bangunan bertingkat yang melibatkan perkongsian dikalangan pemilik dan penghuni, terutama bagi harta bersama.

Keadaan tersebut berbeza daripada mesyuarat pertama JMB yang pernah saya hadiri. Kebanyakannya hangat dengan hal-hal yang berkaitan pengurusan diantara pemilik dan pemaju. Mereka saling tuduh menuduh dan seperti tiada penyelesaian seumpama "Ayam dan Telur". Kita selalu mendengar isu-isu seperti pemaju tidak memberikan perkhidmatan penyenggaraan yang memuaskan atau pemilik tidak menjelaskan caj penyenggaraan mereka. Dalam hal tersebut, peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB) amat penting untuk menyelesaikan apa-apa masalah yang dibangkitkan oleh pemaju dan pemilik.

Saya mencadangkan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Pesuruhjaya Bangunan mengambil inisiatif yang lebih efektif untuk mendidik pemaju dan pembeli tentang Akta 663 dan Akta 318. Malah jadikan ia sebagai agenda nasional bagi membantu pemaju dan pembeli, jika kekurangan tenaga kerja bolehlah melantik agen atau wakil penerangan bagi membuat "road show" ke seluruh negara. Objektif utama ialah setiap pihak dapat berfungsi dengan lebih tersusun dan mengikut peruntukan undang-undang. Jika kita mahu rakyat hidup dalam kawasan perumahan yang harmoni dan bersih, kesedaran dan kefahaman tentangnya perlu didahului. Mungkin cadangan saya ini berguna.

Wasalam.

Sabtu, 24 Januari 2009

Pantun Majlis Perpisahan Seorang Teman


Salam,

Pada 20.01.09 yang lalu, saya dan beberapa orang teman mengadakan satu majlis perpisahan untuk seorang teman rapat kami. Apa yang ingin saya kongsikan dengan para pembaca ialah majlis tersebut diserikan dengan pantun-pantun Melayu yang indah oleh seorang teman. Ia amat halus dan berseni. Kata beliau "pantun Melayu warisan zaman, tradisi kita dilupa jangan"

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari pulau mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal bismillah pembuka bicara

Orang ke laut menjala udang
Petang hari pasang pelita
Yang di tunggu sudahpun datang
Yang dinanti sudahpun tiba

Batu kecubung warna ungu
Ditatah berlian batu bermutu
Adat Melayu menyambut tamu
Hamparkan tikar lebarkan pintu

Berjalan malam memakai suluh
Singgah sebentar dirumah Cek Mamat
Angkatkan tangan jari sepuluh
Doa minta biar selamat

Jasamu dikenang nama diberi
Buat merai teman bestari
Anda sahabat yang kami kasihi
Jasa anda amat dihargai

Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Nama yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan kami tak lupa
Sudah terpahat di dalam hati

Mudik ke hilir berperahu layang
Singgah sebentar di Indera Giri
Pergilah kasih pergilah sayang
Pandai-pandailah menjaga diri

Dari mana hendak kemana
Tinggi rumput dari padi
Tahun mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi

Lebah tidak bersarang lagi
Habis pulang ke Gunung Ledang
Sembah tidak dipanjangkan lagi
Perut lapar hari dah petang

Lemak rasanya sibuah pinang
Buat menjamu paduka raja
Makanan lazat sudah terhidang
Marilah kita menjamu selera

Wasalam

Khamis, 22 Januari 2009

PRK Kuala Terengganu - Pendapat Saya



Salam,

Segala debaran sudah berakhir, kerusi Parlimen Kuala Terengganu kini dikuasai PAS. Tahniah diucapkan kepada YB Mohd. Abdul Wahid Endut. Berbagai pendapat mengenai keputusan ini dibuat oleh banyak pihak. Ada yang mengatakan faktor calon jadi penentu, pengundi atas pagar terpengaruh dengan cerita jajaan, orang Melayu menolak UMNO dan banyak lagi.

Saya sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air. Bagi saya adalah wajib bagi setiap warga negara mengambil berat tentang politik dan kepimpinan negara kerana masa depan anak cucu kita nanti terletak kepada para pemimpin dari parti-parti yang kita pilih sendiri.

Berbalik kepada PRK-Kuala Terengganu, sejak dari awal lagi saya telah menjangka persaingan dua buah parti UMNO dan PAS adalah seimbang. Apa yang menjarakkan keputusan pemilihan oleh rakyat ialah bagaimana kedua-dua pihak benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat. Mana-mana parti yang dapat memahami kemahuan pengundi generasi muda akan mempunyai kelebihan. Dalam kontek ini UMNO ketinggalan dan PAS kehadapan.

Bagi saya PAS imejnya universal tidak berteras kepada kaum dan ia meletakkan agenda keadilan, perpaduan, kebajikan rakyat dan hak asasi manusia dalam perjuangannya sangat menepati keinginan generasi muda kini. Manakala UMNO masih menggunakan pendekatan janji pembangunan setiap kali ada pilihanraya telah dianggap sebagai sogokan gula-gula bermusim oleh generasi muda. Benarlah kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yasin, Naib Presiden UMNO bahawa "UMNO telah kehilangan faktor penarik yang membuatkan rakyat benar-benar mahu mendengar apa yang dikatakan oleh pemimpin"

Wasalam.

Jumaat, 16 Januari 2009

Mengurus Kekurangan Aliran Tunai


Salam,

Kejatuhan ekonomi dunia dan kesannya kepada ekonomi negara menjadi bual bicara para usahawan dan peniaga Melayu yang saya temui. Baru-baru ini semasa makan malam bersama teman-teman di sebuah restoran makanan laut di Tanjung Harapan, kami juga turut berbincang mengenainya.

Banyak pihak telah mengambil langkah kawalan bagi menghadapi kegawatan ini. Ada syarikat dan perniagaan mula mengecilkan operasi mereka. Saya dimaklumkan sebanyak 45% permohonan pinjaman PKS (Pinjaman Kecil & Sederhana) tidak diluluskan oleh bank-bank komersial. Ini bermakna akan ramailah usahawan dan peniaga Melayu terhimpit dek kekurangan modal pusingan.

Sebagai peniaga mahupun syarikat, kita tidak dapat lari daripada menghadapi situasi kekurangan tunai untuk menampung komitmen perniagaan. Namun itu tidak bermakna pengurusan kita lemah, sebaliknya ia adalah sesuatu perkara biasa dimana kita tidak mampu untuk meramal perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Langkah paling penting untuk menguruskan keadaan tersebut adalah dengan menjadi lebih peka dengan perkembangan semasa dunia dan tempatan kerana dengan cara ini kita dapat mengesan masalah tersebut seawal dan setepat yang mungkin.

Sekiranya anda menjangkakan perniagaan atau syarikat anda akan menghadapi kekurangan tunai dalam sesuatu jangka masa tertentu, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan seperti:-
  • Memaklumkan pihak bank tentang rancangan perniagaan anda supaya mereka mengetahui dan diyakinkan dengan kemajuan perniagaan anda. Ini lebih memudahkan bagi pihak bank untuk membantu anda dengan kemudahan pinjaman.
  • Berunding dengan para pembekal untuk menjadualkan semula bayaran, menangguhkan bayaran dan memohon pengurangan kadar bayaran. Ini mungkin lebih mudah sekiranya anda mempunyai hubungan yang baik dengan para pembekal.
Langkah memperbaiki perolehan tunai:-
  • Mengeluarkan inbois tepat pada masanya dan membuat "follow-up" segera.
  • Mengikuti akaun setiap pelanggan bagi memastikan mereka menjelaskan bayaran pada masa yang ditetapkan serta untuk mengelak masalah lambat bayar.
  • Menawarkan diskaun kepada pelanggan yang membayar awal atau pada masanya.
  • Mengambil tindakan lebih agresif terhadap penghutang bermasalah dan yang tidak membayar tunggakan.
  • Mengenakan polisi "Cash on Delivery" kepada pembeli yang lambat bayar.
  • Menetapkan pemeriksaan kredit kepada pelanggan baru.
Langkah menggunakan tunai dengan berkesan:-
  • Mengawal sepenuhnya perbelanjaan syarikat.
  • Semua pemiutang diletakkan di bawah pelan pembayaran.
  • Berjimat dan memotong perbelanjaan operasi dan pentadbiran.
  • Menjadualkan semua bayaran kecuali gaji pekerja.
Akhirnya, anda seharusnya menyediakan perancangan aliran tunai secara mingguan, suku tahun dan untuk tahun kehadapan kerana ia dapat memberi amaran awal tentang sebarang masalah kewangan yang bakal timbul.

Wasalam.

Isnin, 12 Januari 2009

Mutiara Kata Tun - Untuk Anak Cucu Melayu




Musuh kita yang besar ialah diri kita sendiri. Terdapat sikap negatif di kalangan kita yang menyebabkan kita selalu memandang rendah terhadap kita dan membesar-besarkan kebolehan orang lain.


Tun Dr. Mahathir
Ucapan pada majlis makan malam
wartawan Malaysia
pada 19 November 1988










Ahad, 11 Januari 2009

Pengalaman Perit Yang Berharga


Salam,

Saya telah ditanya oleh seorang daripada 5 anak saudara tentang pengalaman pahit saya sebagai seorang pengurus. Saya lalu terfikir molek juga jika saya dapat berkongsi pengalaman ini bersama para pembaca. Mungkin berguna untuk dijadikan teladan atau dapat memberikan gambaran kepada para pembaca tentang pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku kepada seorang pengurus atau ketua syarikat.

Mengetuai sebuah syarikat sudah pasti menjadi cita-cita semua pengurus yang berimpian besar. Pertama, kerana mempunyai kuasa eksekutif dalam semua hal syarikat. Kedua, rasa dihormati dan ketiga imbuhan yang tinggi seperti gaji, elaun dan lain-lain faedah. Namun yang terlupa di hati saya ketika dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi kepada anak syarikat dalam sebuah "conglomerate" besar ini ialah gelagat politik organisasinya.

Satu pukulan buat saya ialah apabila permainan politik ini datangnya dari orang-orang di atas saya. Inilah keperitan yang harus saya terima. Memanglah, secara realitinya kita harus menyedari bahawa konflik dan politik organisasi adalah satu hakikat yang tidak dapat dielakkan. Malah boleh dikatakan gelagat politik boleh ditemui dalam semua organisasi. Bagi saya jika ia tidak berorientasikan aqidah yang benar hanya akan memusnahkan syarikat.

Gelagat politik yang saya hadapi ini ialah kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam syarikat yang menggunakan kuasa untuk memperolehi kehendak dan kepentingan seseorang. Dengan menggunakan kuasa ditangan mereka, anggota-anggota yang terlibat dalam kancah ini akan berusaha untuk meletakkan prioriti yang berlainan daripada matlamat dan misi syarikat. Diantara strategi-strategi mereka ialah:-
  • Membentuk pasukan sendiri dan mengenepikan mereka yang tidak mendatangkan kepentingan.
  • Mengawal maklumat-maklumat penting dan dinafikan kepada mereka yang tidak sealiran.
  • Mengawal agenda mesyuarat. Perkara yang dianggap akan merugikan mereka tidak diletakkan sebagai agenda penting.
  • Menubuhkan usahasama untuk memperlihatkan seolah-olah sesuatu keputusan itu diberikan oleh orang luar dan bukannya dibuat oleh orang dalam.
  • Mencari sokongan melalui pujukan.
Dalam keadaan begini adalah sukar bagi seseorang ketua syarikat untuk memacu organisasinya dengan cemerlang di landasan yang betul kerana sebarang keputusannya yang berlainan dengan kehendak kumpulan yang berkuasa akan dianggap sebagai "against the wind"

Namun begitu, saya anggap pengalaman perit ini sangat berharga kerana ia banyak mengajar saya tentang budaya ketidakadilan dan kerencatan akhlak manusia, tapi sayangnya ia berlaku dalam sebuah organisasi yang majoritinya orang Melayu. Secara positifnya saya juga dapat belajar cara untuk menghadapi gelagat politik organisasi seperti ini, dan dalam perkara-perkara bukan prinsip saya boleh mempertimbangkan kaedah menghadapinya dengan beberapa pendekatan seperti:-
  • Penjauhan (avoidance) iaitu mengenepikan konflik.
  • Mengalah (accomodation) iaitu mengutamakan kepentingan orang lain.
  • Bekerjasama (collaboration) iaitu mencapai kepentingan diri dan orang lain secara persefahaman bersama.
  • Bertolak ansur (compromise) iaitu mencapai kepentingan diri dan orang lain secara menang-menang.
  • Penguasaan (dominance) mengutamakan kepentingan diri dan mengenepikan kepentingan orang lain
Kesimpulannya, saya berpendapat permainan politik dalam sesebuah syarikat atau organisasi itu adalah suatu amalan yang negatif, walaupun ada pendapat yang mengatakan ia boleh jadi positif atau negatif. Bagi saya permainan ini tidak bersandarkan akhlak yang baik dan lambat laun akan menghancurkan syarikat.

Wasalam.

Sabtu, 10 Januari 2009

Mutiara Kata Tun - Duhai Anak Cucu Hayatilah!



"Jikalau kita menyingkap kekuatan dan daya cipta orang-orang yang terdahulu daripada kita dan menyesuaikannya dengan keperluan atau kehendak semasa, kita akan mendapat nilai-nilai yang ideal di dalam membina tradisi masyarakat kita"


Tun Dr. Mahathir
Ucapan beliau di majlis pelancaran buku
Sasterawan Negara Usman Awang
di Kuala Lumpur pada 24 September 1987

Jumaat, 9 Januari 2009

Janet Khoo - Lakonannya Berjiwa Melayu


Salam,

Semalam semasa bersembang santai dengan teman-teman di warung sambil menikmati Mee Bandung Muar dan Sirap Bandung, saya telah ditanya samada saya juga meminati artis-artis tanah air masa kini. Sudah tentulah ada kerana saya juga peminat filem-filem Melayu dan sentiasa mengikuti perkembangannya. Cuma saya lebih suka menonton filem dulu-dulu kerana penceritaan, dialog dan mutu lakonan yang lebih baik.

Berbalik kepada artis masa kini yang paling saya minati? Ramai, tetapi yang teratas dalam senarai saya ialah Janet Khoo "She is pretty, classy and sexy too". Namun itu bukanlah sebab utama saya meminati beliau tetapi jiwa Melayu dalam lakonannya itulah yang paling menarik. Mungkin kerana itu juga para penerbit selalu menampilkan beliau sebagai wanita solehah, lemah lembut dan berpekerti tinggi dalam drama-drama Melayu.

Sebagai seorang artis Cina yang amat dikenali dalam drama dan filem Melayu pastinya satu penampilan yang hebat. Saya melihat kualiti lakonan Janet Khoo dalam pelbagai karaktor yang dibawanya. Saya suka dia membawa watak "goodie roles" yang amat secucuk dengan personalitinya. Dia juga hebat melakonkan karaktor "bitchy roles" seperti dalam drama Idaman yang boleh meletakkannya sebagai "sex symbol" setanding dengan bintang-bintang barat seperti Diane Lane dll. Boleh jadi kerana itu juga dia tersenarai sebagai "FHM Sexiest Women" sebanyak tiga tahun berturut-turut.

Penglibatan beliau dalam seni lakon tanah air tambah bermakna apabila dinobatkan sebagai "Best Actress-In A Comedy at the Asian Television Award XI" di Singapura pada tahun 2006 menerusi drama komedi bersiri Mat Dom Teksi.

Semoga bintang kesayangan saya ini akan terus maju dalam karier seninya. Janet Khoo akan terus kekal bermahkota sebagai Seniwati di hati saya.

Wasalam

Sabtu, 3 Januari 2009

Pesan Tahun Baru - Untuk Anak Cucu

Salam,

Setelah menyusuri tahun 2008, kini kita sudah melangkah ke tahun 2009 pula. Ia tentulah merupakan permulaan hitungan hari bagi kita untuk menyusurinya dengan lebih bermakna. Kepada anak cucuku bangsa Melayu, mari kita bangkitkan satu perasaan untuk memperbaiki lagi diri kita. Mari kita terbitkan azam untuk meningkatkan hidup yang bermakna. Inilah azam untuk mencapai iltizam.

Saya ingin berkongsi dengan anak cucu pesan seorang teman kepada saya tentang memperbaiki diri. Kata beliau, kita perlu istiqamah (berterusan) dalam berusaha untuk memperbaiki diri. Nasib kita tidak akan berubah dengan sendirinya hanya kita sendiri yang mengubahnya:-

  • Allah berfirman " Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum hingga mereka mengubah apa yang ada pada diri merka sendiri" - Surah Ar-Ra'd : Ayat 11
Kita juga tidak akan terdaya untuk memadam kenangan daripada ingatan, terutamanya kenangan pahit dan kekecewaan. Masa tidak akan kembali untuk memberi peluang kepada kita memperbetulkan kenangan itu. Cuma kita perlu terus melangkah ke hadapan untuk berbuat kebaikan:-
  • Allah berfirman "Dan apa juga yang kamu buat dari jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya dan Aku akan membalas dengan sebaik-baiknya - Surah Al-Baqarah - ayat 215
Fikir-fikirkanlah. Hiasilah tahun baru ini dengan yang terbaik kerana yang terbaik itu adalah lebih baik daripada yang terbaik.

Wasalam.

Khamis, 1 Januari 2009

Ucapan Selamat Tahun Baru 2009


Salam,

Saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada para pembaca Blog ini, seluruh rakyat Malaysia dan khususnya bangsa Melayu.

Semoga tahun baru 2009 ini akan memberikan kita kudrat untuk memperbaiki diri kita. Marilah kita tampilkan semangat yang lebih kuat untuk membangunkan bangsa Melayu yang maju tanpa hilang keutuhan jiwa bangsa kita.

Marilah kita kembali bersatu teguh demi membina tamaddun bangsa walaupun kita berbeza fahaman dan ideologi. Kita mampu mengubah diri kita dan menjadi satu bangsa yang bijaksana, maju dan amat beradab.

Insyallah, usaha yang mulia diberkati Allah SWT.

Wasalam.