Jumaat, 28 November 2008

Pentingnya nama - cadangan untuk peniaga Melayu

Salam,

Para saudara yang dihormati, pada kali ini elok juga jika kita berbincang tentang mengapa pentingnya nama kepada sesuatu perniagaan atau syarikat. Saya dapati ramai juga para peniaga dan usahawan Melayu meremehkan pentingnya memiliki sebuah nama yang baik untuk perniagaan mereka.

Bagi sesetengah orang menamakan perniagaan sama pentingnya dengan memilih nama untuk anak mereka. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, selera dan aspirasi mereka, trend nama, keindahan, keunikan dan kecocokan dengan bangsa dan agama. Memberi nama kepada perniagaan lebih kepada kesesuaian dengan jenis aktiviti perniagaan dan kadangkala sangat peribadi sifatnya.

Saya melihat orang-orang kita cenderung menamakan perniagaan mereka kepada nama berbau barat dan arab, tetapi kini ramai yang mula menggunakan nama-nama Melayu. Saya amat menyokong dan berharap peniaga-peniaga Melayu menamakan perniagaan ataupun syarikat mereka yang mencerminkan Melayu di atas sebab-sebab berikut:-
  • Bahawa kita para peniaga dan usahawan Melayu turut menyumbang untuk memertabatkan bangsa dan imej Melayu dalam sektor yang kita ceburi ini. Alangkah bangganya kita bila melihat kedai, gerai dan pejabat di pekan mahupun bandar menggunakan nama Melayu yang indah, menarik dan penuh makna.
  • Ia juga melambangkan aspirasi, kekayaan budaya dan jati diri kita bangsa Melayu. Bayangkan suatu hari nanti anda membawa syarikat anda ke peringkat antarabangsa dan berimejkan Melayu yang maju.
Kesimpulannya, jika nanti anda ingin menamakan atau menjenamakan semula perniagaan anda, carilah nama yang menepati aspirasi dan jiwa perniagaan anda, kerana nama tersebut merupakan lambang dan identiti yang penting untuk perniagaan ataupun syarikat anda serta jangan lupa menggunakan nama Melayu.

Wasalam.

Rabu, 26 November 2008

Pesan orang-orang tua - Perhatian untuk anak muda Melayu



Salam.

Pada kali ini saya ingin berkongsi peribahasa orang-orang tua yang wajar kita ambil perhatian dan fahami seperti berikut:-
  • Kalau tidak ada emas dikandung, sanak saudara jadi orang lain (maknanya: Apabila kita miskin dan tidak berharta, saudara mara pun akan menjauhkan diri dan membenci kita).
  • Kalau tidak berwang, kemana pergi terbuang (maknanya: Apabila seseorang itu tidak berharta dia akan sentiasa tersisih)
  • Kalau tak berpadi, sebarang kerja tak menjadi (maknanya: Apabila kita tak berwang, segala hajat susah tercapai)
  • Kalau tak berduit, kemana pergi tercuit-tercuit (maknanya: Apabila tak berharta, kemana pergipun susah)
  • Kala ada beremas...Hidup, kalau tidak beremas...Mati! (maknanya: Harta kekayaan menentukan nasib)
Wasalam.

Ahad, 23 November 2008

Mereka ada dalam hati


Mereka ada dalam hati
Dalam jambangan jiwa
Dalam doaku

Atuk Kamal, Pak Udo Yusuf, Mak Udo Iti, Kak Saadiah, Adik Badar.
Wan Chu Busu, Abang Hasan, Kak Tom, Iji, Pau, Teq.
Anjang, Wak Alang, Kak Ana, Atan, Atim
Wak Nab, Kak Kamaliah, Ucu Ramli, Abang In.
Pak Unggal, Mak Unggal, Abang Sahak, Kak Nab, Kak Tam.
Wan Andah, Abang Abu.
Wan Puteh, Kak Enson, Kak Ramlah dan Abang An

Dari mana hendak kemana
Tinggi rumput dari padi
Bulan mana tahun mana
Dapat kita berjumpa lagi

Selasa, 18 November 2008

Contoh bangsa Melayu hebat


Salam,

Saya amat tertarik dengan berita Sinar Harian (suara cakna komuniti anda) pada Selasa 18 November 2008 tentang kenyataan Datuk Tajuddin Abdul Rahman Pengerusi FELCRA. Beliau berpendapat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia adalah bukti pemimpin Melayu hebat. Saya bersetuju sangat dengan pendapat itu.

Saya mohon izin Sinar Harian untuk memuatkan sebahagian daripada berita tersebut dalam blog saya ini agar saya dapat berkongsi dengan pembaca tentangnya. Semoga ia juga menjadi pendorong kepada anak cucu, bangsa Melayu untuk terus bangun mendarjatkan bangsa kita sebagai satu bangsa yang hebat, bermaruah dan progresif.

Wasalam.

Formula Mahathir bukti pemimpin Melayu hebat

Shah Alam - Langkah Amerika Syarikat meniru formula ekonomi yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menangani krisis kewangan serantau membuktikan kehebatan kepimpinan Melayu diiktiraf dunia.

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, formula ekonomi yang diperkenalkan bekas Perdana menteri itu ternyata berjaya apabila Malaysia tidak meminjam daripada Tabung Kewangan (IMF) atau Bank Dunia sewaktu menangani krisis kewangan Asia pada 1997.

Pada masa itu, Malaysia antara lain memperkenalkan mekanisme seperti penetapan tambatan ringgit kepada dolar Amerika, mengenakan kawalan pilihan tukaran mata wang asing serta tidak memperdagangkan ringgit di peringkat antarabangsa sehingga membolehkan negara bertahan dan seterusnya pulih daripada krisis itu.

"Kita dah buktikan formula ekonomi Tun Mahathir telah berjaya dan sekarang orang Amerika tiru formula Tun dalam menghadapi krisis (kewangan) dunia. Itu menunjukkan kehebatan pemimpin Melayu dalam ekonomi dunia.

Pendek kata, kita berjaya melaksanakan pemerintahan dan kepimpinan Melayu bukan hanya dalam negara kita tetapi juga dunia, dan kita akan menjadi lebih baik di masa depan" katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program perancangan pengurusan industri anjuran bersama Felcra Bhd, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Antarabangsa Pengurusan Perladangan di sini, semalam.

Sabtu, 8 November 2008

Barack Obama - Detik perubahan sudah tiba




Salam.

Suasana penuh kemeriahan bagaikan pesta menceriakan seluruh Amerika pada Rabu, 5 November 2008. Orang ramai bersorak kegembiraan sambil melaungkan "Obama! Obama! Yes we can!" Barack Obama pada hari itu memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, sekali gus muncul sebagai Presiden ke44.

Maka terciptalah satu lembaran baru dalam sejarah Amerika Syarikat apabila rakyatnya mengetepikan warna kulit dan keturunan dalam menentukan kepimpinan baru negara itu. Kini, Barack Obama adalah Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu merdeka.

Saya tumpang gembira kerana banyak sebab, tetapi paling utama ialah kerana beliau pernah hidup dan mendapat pendidikan di alam Melayu. Semasa zaman kanak-kanaknya beliau pernah menetap di Jakarta Indonesia untuk beberapa tahun sejak tahun 1967. Saya percaya sedikit sebanyak tentu ada budaya murni dan resam Melayu dalam jiwa beliau. Seperti menurut kata bekas rakan persekolahannya Dewi Asmara Oetojo, beliau seorang yang sangat mudah didekati dan sangat bijak.

Kemenangan besar Obama memberi harapan baru kepada penduduk dunia tentang perubahan yang bakal dibawa beliau sebagai pemimpin negara kuasa besar dunia. "A change that we can believe in" Beliau perlu mengubah sikap Amerika Syarikat kepada lebih bersahabat dengan negara-negara lain, kerana selama ini Amerika dipandang sebagai bersikap bongkak dan menindas serta berperanan dalam mencaturkan agenda politik, ketenteraan dan ekonomi dunia. Justeru itu, siapa yang menerajui negara perkasa itu sememangnya amat penting. Amerika Syarikat dibawah pentadbiran Presiden George W. Bush telah merosakkan kedamaian dunia, mewujudkan kemelut peperangan dengan sikapnya yang angkuh serta dasarnya yang tidak mempedulikan suara pemimpin-pemimpin negara lain.

Saya tertarik kepada ucapan tahniah Yousof Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan kepada Obama "your election marks a new chapter in the remarkable history of the United States. For long, the ideas of democracy, liberty and freedom espoused by the United States has been source of inspiration. I hope that under your dynamic leadership, the United States will continue to be a source of global peace and new ideas for humanity"

Namun ada pendapat yang mengatakan, walaupun Presiden berganti. Amerika tetap Amerika. Dasar Amerika tidak akan berubah. Dunia harus ikut telunjuk Amerika. Amerika adalah negara paling berkuasa di dunia. Itulah antara realiti dan cabaran Obama.

Dunia kini sedang memerhati siapa sebenarnya insan yang bernama Barack Hussein Obama ll ini.

Wasalam.

Khamis, 6 November 2008

Tips menulis rancangan perniagaan - panduan kepada peniaga Melayu



Salam,

Pada hari Isnin, 4 November '08 yang lalu, saya bertemu janji dengan seorang rakan lama. Beliau adalah seorang bekas akauntan dan juruaudit. Kini beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya. Di kesempatan itu, saya juga ingin mendapatkan nasihat beliau tentang beberapa aspek penting sebuah rancangan perniagaan yang meyakinkan bagi tujuan mendapatkan rakan kongsi dan pembiayaan kewangan.

Kata beliau, perkara utama yang harus dijauhi ialah melakukan kesilapan biasa "common mistakes" yang terdapat di dalam kebanyakan rancangan perniagaan seperti salah ejaan, fakta bercelaru dan jangkaan tidak realistik. Walaupun rancangan perniagaan anda itu kelihatan kemas dan menarik tetapi jika terdapat di dalamnya banyak kesilapan tentunya akan mematikan minat pembaca untuk meneruskan penilaian mereka terhadap rancangan perniagaan anda.

Sambung beliau, katakanlah pihak bank ingin meneliti rancangan perniagaan anda bagi tujuan memberikan pinjaman, tetapi mereka dapati banyak kesilapan dalam dokumen tersebut. Sedangkan mereka perlu meneliti berpuluh-puluh permohonan pinjaman setiap hari. Fikirkan, apa akan jadi kepada permohonan anda?

Beliau memberikan lima perkara yang perlu dielakkan semasa menulis rancangan perniagaan untuk kita renungi bersama:-
  1. Terlalu panjang atau berjela. Pembaca rancangan perniagaan anda melihat kepada pelan perniagaan yang padat dan ringkas. Apabila terlalu panjang ia seakan sebuah tesis.
  2. Menggunakan bahasa jargon. Pelan perniagaan anda hendaklah ditulis dengan bahasa yang mudah dan senang difahami. Menggunakan perkataan jargon dan terlalu teknikal hanya difahami oleh sebilangan orang-orang tertentu sahaja.
  3. Unjuran keputusan kewangan tidak realistik. Pelan perniagaan anda harus menunjukkan jangkaan keputusan kewangan yang munasabah berdasar kepada situasi semasa anda seperti permintaan terhadap produk anda, keupayaan mengeluarkan produk pada masa yang ditetapkan, keadaan pasaran dan modal pusingan.
  4. Tiada petunjuk persaingan. Adalah mustahil produk atau perkhidmatan anda tiada persaingan dalam dunia serba maju ini. Rancangan perniagaan anda mesti disertai dengan kajian persaingan untuk makluman pembaca, pelabur mahupun pengkaji pelan perniagaan anda.
  5. Tiada makluman tentang pasukan pengurusan. Rancangan perniagaan anda hendaklah memuatkan maklumat tentang pasukan pengurusan anda. Ia penting agar penilai rancangan anda mengetahui akan pengalaman dan kemahiran pasukan pengurusan perniagaan anda.
Untuk menyediakan satu rancangan perniagaan yang baik, anda perlu melalui beberapa proses dan mempunyai ciri-ciri berikut:-
  1. Memulakannya dengan melaksanakan satu analisa S.W.O.T (strength, weakness, opportunity, threat). Ia adalah untuk menilai kekuatan dan kelemahan perniagaan anda, peluang dan halangan yang boleh memberikan impak kepada perniagaan anda samada positif atau negatif.
  2. Menetapkan visi perniagaan anda dan bagaimana untuk mencapainya dalam suatu tempoh masa tertentu. Perkara ini penting kerana anda perlu ada ketetapan hala tuju untuk perniagaan anda.
  3. Memerlukan 2 atau 3 bulan untuk kajian penyelidikan. (terutama pasaran dan pesaing)
  4. Memerlukan 2 atau 4 deraf sebelum menulis satu rancangan yang muktamad.
  5. Memadai dengan 15 hingga 25 muka surat sahaja tidak termasuk lampiran.
Rancangan perniagaan anda seelok-eloknya mengikut templat berikut:-
  1. Kulit muka depan (cover sheet)
  2. Ringkasan eksekutif (1-2 muka surat sahaja)
  3. Kandungan (table of contents)
  4. Perihal dan ide perniagaan. (jenis perniagaan, lokasi perniagaan dan makluman produk)
  5. Analisa pemasaran (termasuk persaingan)
  6. Penyata kewangan (prestasi sebelum, semasa dan jangkaan 3 - 5 tahun)
  7. Pasukan Pengurusan (maklumat pegawai pengurusan dan kakitangan)
  8. Lampiran (surat perjanjian, kontrak, brochures dan carta)
Semoga sumbangan kecil yang saya coretkan dalam 3 siri mengenai Rancangan Perniagaan di blog ini berguna kepada anak cucu saya, bangsa Melayu yang ingin memulakan perniagaan atau mereka yang ingin memajukan lagi perniagaan sediada. Harapan saya, agar peniaga dan usahawan Melayu boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain yang telah kehadapan dalam bidang ini.

Wasalam.

Ahad, 2 November 2008

Kellie's Castle










Bertandang di kota warisan ini
Ketika siang beranjak senja
Tidak pernah kita menjangka
Ia masih cantik walau dimamah masa
Tambah pesona melihat alam di sekelilingnya

Lalu kita teruja
Untuk menyingkap misteri
Menjelajah cerita
Betapa besarnya cinta William Kellie Smith
Terhadap isterinya

Di sini aku jadi hiba
Kerana cinta yang kau harapkan cahayanya
Untuk menerangi hidupmu
Telah aku ambil lewa
Lalu dalam segenggam kesal
Aku genggam erat jemarimu

Akan aku teduhkan kembali jiwamu dengan kasihku
Akan aku berikan kembali kekuatan dalam setiap langkahmu
Akan aku temani kembali dirimu setiap kali kau rasa sepi
Yang hadir nyata dan ternyata sungguh
Bahawa kamulah yang aku cinta
...Isteriku