Khamis, 6 November 2008

Tips menulis rancangan perniagaan - panduan kepada peniaga Melayu



Salam,

Pada hari Isnin, 4 November '08 yang lalu, saya bertemu janji dengan seorang rakan lama. Beliau adalah seorang bekas akauntan dan juruaudit. Kini beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya. Di kesempatan itu, saya juga ingin mendapatkan nasihat beliau tentang beberapa aspek penting sebuah rancangan perniagaan yang meyakinkan bagi tujuan mendapatkan rakan kongsi dan pembiayaan kewangan.

Kata beliau, perkara utama yang harus dijauhi ialah melakukan kesilapan biasa "common mistakes" yang terdapat di dalam kebanyakan rancangan perniagaan seperti salah ejaan, fakta bercelaru dan jangkaan tidak realistik. Walaupun rancangan perniagaan anda itu kelihatan kemas dan menarik tetapi jika terdapat di dalamnya banyak kesilapan tentunya akan mematikan minat pembaca untuk meneruskan penilaian mereka terhadap rancangan perniagaan anda.

Sambung beliau, katakanlah pihak bank ingin meneliti rancangan perniagaan anda bagi tujuan memberikan pinjaman, tetapi mereka dapati banyak kesilapan dalam dokumen tersebut. Sedangkan mereka perlu meneliti berpuluh-puluh permohonan pinjaman setiap hari. Fikirkan, apa akan jadi kepada permohonan anda?

Beliau memberikan lima perkara yang perlu dielakkan semasa menulis rancangan perniagaan untuk kita renungi bersama:-
  1. Terlalu panjang atau berjela. Pembaca rancangan perniagaan anda melihat kepada pelan perniagaan yang padat dan ringkas. Apabila terlalu panjang ia seakan sebuah tesis.
  2. Menggunakan bahasa jargon. Pelan perniagaan anda hendaklah ditulis dengan bahasa yang mudah dan senang difahami. Menggunakan perkataan jargon dan terlalu teknikal hanya difahami oleh sebilangan orang-orang tertentu sahaja.
  3. Unjuran keputusan kewangan tidak realistik. Pelan perniagaan anda harus menunjukkan jangkaan keputusan kewangan yang munasabah berdasar kepada situasi semasa anda seperti permintaan terhadap produk anda, keupayaan mengeluarkan produk pada masa yang ditetapkan, keadaan pasaran dan modal pusingan.
  4. Tiada petunjuk persaingan. Adalah mustahil produk atau perkhidmatan anda tiada persaingan dalam dunia serba maju ini. Rancangan perniagaan anda mesti disertai dengan kajian persaingan untuk makluman pembaca, pelabur mahupun pengkaji pelan perniagaan anda.
  5. Tiada makluman tentang pasukan pengurusan. Rancangan perniagaan anda hendaklah memuatkan maklumat tentang pasukan pengurusan anda. Ia penting agar penilai rancangan anda mengetahui akan pengalaman dan kemahiran pasukan pengurusan perniagaan anda.
Untuk menyediakan satu rancangan perniagaan yang baik, anda perlu melalui beberapa proses dan mempunyai ciri-ciri berikut:-
  1. Memulakannya dengan melaksanakan satu analisa S.W.O.T (strength, weakness, opportunity, threat). Ia adalah untuk menilai kekuatan dan kelemahan perniagaan anda, peluang dan halangan yang boleh memberikan impak kepada perniagaan anda samada positif atau negatif.
  2. Menetapkan visi perniagaan anda dan bagaimana untuk mencapainya dalam suatu tempoh masa tertentu. Perkara ini penting kerana anda perlu ada ketetapan hala tuju untuk perniagaan anda.
  3. Memerlukan 2 atau 3 bulan untuk kajian penyelidikan. (terutama pasaran dan pesaing)
  4. Memerlukan 2 atau 4 deraf sebelum menulis satu rancangan yang muktamad.
  5. Memadai dengan 15 hingga 25 muka surat sahaja tidak termasuk lampiran.
Rancangan perniagaan anda seelok-eloknya mengikut templat berikut:-
  1. Kulit muka depan (cover sheet)
  2. Ringkasan eksekutif (1-2 muka surat sahaja)
  3. Kandungan (table of contents)
  4. Perihal dan ide perniagaan. (jenis perniagaan, lokasi perniagaan dan makluman produk)
  5. Analisa pemasaran (termasuk persaingan)
  6. Penyata kewangan (prestasi sebelum, semasa dan jangkaan 3 - 5 tahun)
  7. Pasukan Pengurusan (maklumat pegawai pengurusan dan kakitangan)
  8. Lampiran (surat perjanjian, kontrak, brochures dan carta)
Semoga sumbangan kecil yang saya coretkan dalam 3 siri mengenai Rancangan Perniagaan di blog ini berguna kepada anak cucu saya, bangsa Melayu yang ingin memulakan perniagaan atau mereka yang ingin memajukan lagi perniagaan sediada. Harapan saya, agar peniaga dan usahawan Melayu boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain yang telah kehadapan dalam bidang ini.

Wasalam.

Tiada ulasan: