Selasa, 18 November 2008

Contoh bangsa Melayu hebat


Salam,

Saya amat tertarik dengan berita Sinar Harian (suara cakna komuniti anda) pada Selasa 18 November 2008 tentang kenyataan Datuk Tajuddin Abdul Rahman Pengerusi FELCRA. Beliau berpendapat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia adalah bukti pemimpin Melayu hebat. Saya bersetuju sangat dengan pendapat itu.

Saya mohon izin Sinar Harian untuk memuatkan sebahagian daripada berita tersebut dalam blog saya ini agar saya dapat berkongsi dengan pembaca tentangnya. Semoga ia juga menjadi pendorong kepada anak cucu, bangsa Melayu untuk terus bangun mendarjatkan bangsa kita sebagai satu bangsa yang hebat, bermaruah dan progresif.

Wasalam.

Formula Mahathir bukti pemimpin Melayu hebat

Shah Alam - Langkah Amerika Syarikat meniru formula ekonomi yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menangani krisis kewangan serantau membuktikan kehebatan kepimpinan Melayu diiktiraf dunia.

Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, formula ekonomi yang diperkenalkan bekas Perdana menteri itu ternyata berjaya apabila Malaysia tidak meminjam daripada Tabung Kewangan (IMF) atau Bank Dunia sewaktu menangani krisis kewangan Asia pada 1997.

Pada masa itu, Malaysia antara lain memperkenalkan mekanisme seperti penetapan tambatan ringgit kepada dolar Amerika, mengenakan kawalan pilihan tukaran mata wang asing serta tidak memperdagangkan ringgit di peringkat antarabangsa sehingga membolehkan negara bertahan dan seterusnya pulih daripada krisis itu.

"Kita dah buktikan formula ekonomi Tun Mahathir telah berjaya dan sekarang orang Amerika tiru formula Tun dalam menghadapi krisis (kewangan) dunia. Itu menunjukkan kehebatan pemimpin Melayu dalam ekonomi dunia.

Pendek kata, kita berjaya melaksanakan pemerintahan dan kepimpinan Melayu bukan hanya dalam negara kita tetapi juga dunia, dan kita akan menjadi lebih baik di masa depan" katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu program perancangan pengurusan industri anjuran bersama Felcra Bhd, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Antarabangsa Pengurusan Perladangan di sini, semalam.

Tiada ulasan: