Jumaat, 28 November 2008

Pentingnya nama - cadangan untuk peniaga Melayu

Salam,

Para saudara yang dihormati, pada kali ini elok juga jika kita berbincang tentang mengapa pentingnya nama kepada sesuatu perniagaan atau syarikat. Saya dapati ramai juga para peniaga dan usahawan Melayu meremehkan pentingnya memiliki sebuah nama yang baik untuk perniagaan mereka.

Bagi sesetengah orang menamakan perniagaan sama pentingnya dengan memilih nama untuk anak mereka. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, selera dan aspirasi mereka, trend nama, keindahan, keunikan dan kecocokan dengan bangsa dan agama. Memberi nama kepada perniagaan lebih kepada kesesuaian dengan jenis aktiviti perniagaan dan kadangkala sangat peribadi sifatnya.

Saya melihat orang-orang kita cenderung menamakan perniagaan mereka kepada nama berbau barat dan arab, tetapi kini ramai yang mula menggunakan nama-nama Melayu. Saya amat menyokong dan berharap peniaga-peniaga Melayu menamakan perniagaan ataupun syarikat mereka yang mencerminkan Melayu di atas sebab-sebab berikut:-
  • Bahawa kita para peniaga dan usahawan Melayu turut menyumbang untuk memertabatkan bangsa dan imej Melayu dalam sektor yang kita ceburi ini. Alangkah bangganya kita bila melihat kedai, gerai dan pejabat di pekan mahupun bandar menggunakan nama Melayu yang indah, menarik dan penuh makna.
  • Ia juga melambangkan aspirasi, kekayaan budaya dan jati diri kita bangsa Melayu. Bayangkan suatu hari nanti anda membawa syarikat anda ke peringkat antarabangsa dan berimejkan Melayu yang maju.
Kesimpulannya, jika nanti anda ingin menamakan atau menjenamakan semula perniagaan anda, carilah nama yang menepati aspirasi dan jiwa perniagaan anda, kerana nama tersebut merupakan lambang dan identiti yang penting untuk perniagaan ataupun syarikat anda serta jangan lupa menggunakan nama Melayu.

Wasalam.

1 ulasan:

ME berkata...

Mat, nice blog. Lama tak dengar cerita. Hows life? .. Mashitoh