Khamis, 3 Julai 2014

Road Movies: Pendapat Saya

Pelakon Liar's Dice: Nawazuddin Siddiqui dan Geetanjali Thapa
Salam,

Malam Isnin yang lalu, sementara menunggu siaran langsung Brasil 2014 di TV, saya terluang untuk menonton sebuah filem Hindi bertajuk Liar's Dice yang ditulis dan diarah oleh Geeta Mohandas. 

Ia sebuah filem 'road movie' yang mengesahkan tentang seorang wanita desa yang tinggal di sempadan Indo-Tibet bersama anak kecilnya, berjalan jauh ke kotaraya New Delhi untuk mencari suaminya yang hilang semasa bekerja sebagai buruh binaan di sana.

Filem ini menyertai banyak festival filem antarabangsa, malah berjaya merangkul anugerah Best Actress dan Best Cinematography di 61st. India National Film Award pada bulan Mei 2014 yang lalu.

Bagi saya, road movie merupakan satu cabang seni filem yang baik, kerana mempunyai konsep dan falsafah tersendiri.  Filem jenis ini biasanya mencurahkan tema kebebasan, dan mengemukakan permasalahan tentang kehidupan, ideologi, sosio budaya malah politik pun.

Ramuan yang digunakan oleh pembikin filem road movie atau road drama ini, biasanya akan berkisar kepada sebuah perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pertemuan watak-watak yang berlawanan dan bertahan di atas segala perbezaan, terutama perbezaan keperibadian, ideologi dan prinsip hidup. Musik dan lagu serta pemandangan lanskap yang cantik merupakan elemen penting bagi melengkapi makna filem sesebuah road movie.

Kesimpulannya,  menonton filem road movie selalunya membuat kita terpaut untuk mengikutinya, seolah-olah mengajak untuk turut berkembara kala kita menontonnya.

Saya turut terfikir kenapa pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mentafsir dan menghuraikan filem road movies sebagai 'filem kurang bermutu berdasarkan ukuran standard'. Bagi saya silap tu..! kerana banyak filem genre ini yang berkualiti dan memenangi oscar seperti Rain Man, It happened One Night, Little Miss Sunshine dll. Malah ramai bintang-bintang ternama turut membintangi filem-filem road movie seperti Dustin Hoffman, Jack Nicholson, Tom Cruise dll.

Rasanya molek jika pihak DBP mentafsir semula huraiannya mengenai Road Movie, saya sekadar memberi pendapat, mungkin berguna.

Wasalam.

Tiada ulasan: