Isnin, 19 April 2010

Berjiwa Besar - Satu Pekerti Mulia


Salam,

Saya tertarik dengan pengakuan Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat bagi pilihan raya kecil P94 Hulu Selangor semalam. Beliau mengakui melakukan kesalahan di masa lampau, sambil menegaskan beliau juga tidak sempurna, "Apa yang silap, silaplah dan saya tidak pernah lari. Bila saya salah, saya mengaku dan saya minta maaf". Kenyataan tersebut beliau keluarkan apabila dituduh sebagai seorang kaki arak oleh pihak lawan.

Bagi saya, ini adalah ciri-ciri pemimpin berjiwa besar, kerana memang sukar untuk bertemu dengan seorang pemimpin seperti ini, terutama di saat beliau mempertaruhkan dirinya untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Pengakuan ini boleh menjadikan para pengundi beralih untuk memilih calon lain yang lebih bersih dan mempunyai pekerti yang baik. Pilihan raya kecil ini benar-benar menemukan beliau dengan ujian terhadap kebesaran jiwanya.

Saya bukanlah cenderung untuk turut serta dalam perdebatan personaliti calun, mahupun memihak kepada mana-mana pihak. Apa yang ingin saya nukilkan di sini ialah tentang kebesaran jiwa yang ada pada diri seseorang. Sebagai contoh, Salehuddin Al Ayubi seorang pemimpin terkenal Islam adalah seorang yang berjiwa besar. Dia berani, punya kekuatan, punya perasaan marah dan dendam, tetapi lebih memilih kasih sayang dan memaafkan.

Saya berpendapat, seseorang yang berjiwa besar atau mempunyai kebesaran jiwa mempunyai sifat-sifat berikut:-
  • ketika dihadapkan dengan keadaan dimana kita menjadi tersangat marah dan mampu pula untuk membantai lawan atau boleh berbuat sesuatu atas rasa sakit hati, tetapi kita memilih untuk bersabar, bertenang dan memaafkan.
  • berani meminta maaf ketika kita menyedari diri kita bersalah dan menerima kritik dengan hati yang terbuka.
  • sentiasa belajar dari kehidupan, tidak sombong, berfikiran positif, dan bertenang disaat semuanya menjadi rumit.
  • menerima kekalahan dikala kemenangan tidak memihak kepada kita, bah kan ikhlas mengucapkan selamat kepada pihak yang menang.
Berbalik kepada kisah Datuk Zaid tadi, selain dari mengakui kesilapannya, beliau turut menyatakan telah bertaubat kepada Allah di atas perbuatanya yang lalu, maka moleklah bagi semua pihak termasuk lawan supaya tidak menyerang peribadinya lagi. Adat bersaing dalam politik adalah bagaimana mengarahkan diri kita untuk memakmurkan daerah yang akan kita wakili serta memenangi hati rakyat melalui keikhlasan kita menjadi pemimpin mereka.

Mari kita fikir dan hayati nasihat Ustaz Ghani Shamsudin, Pengerusi Sekretariat Ulama Asia "Mereka yang telah bertaubat tidak wajar dihukum dan terus diaibkan. Sebaliknya mereka yang sanggup mengakui kesilapan dan berazam untuk kembali ke jalan yang benar harus diberi sokongan"

Wasalam.

Tiada ulasan: