Ahad, 19 Ogos 2012

Syabas! PLUSLine dan PLUS Ronda


Salam,

Pada coretan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman ketika mengalami kerosakan kereta di Lebuhraya Utara-Selatan pada 16 Ogos 2012 baru-baru ini.

Kejadian berlaku semasa saya dalam perjalanan ke Bukit Kangkar, Johor. Setibanya saya di KM276.9 diantara Nilai dan Seremban pada jam 12.48 pagi, salah satu tayar belakang kereta saya meletup. Mujurlah tiada apa yang lebih buruk berlaku. Keadaan lebuhraya waktu itu gelap-gelita dan sibuk dengan kenderaan, maklum sajalah pesta balik kampung telah bermula.

Dalam suasana tersebut saya mempunyai dua kebimbangan, pertamanya takut dirempuh oleh kenderaan lain dari belakang dan keduanya, takut di kunjungi oleh orang-orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap keadaan saya pada waktu itu.

Saya lantas menelefon PLUSLine untuk bantuan kecemasan. Apa yang saya hargai ialah apabila panggilan saya dijawab dengan pantas oleh seorang petugas lelaki dengan nada bersopan dan menenangkan. Selepas lima minit saya membuat panggilan kedua untuk bertanya sesuatu, sekali lagi panggilan saya dijawab pantas. Wah, hebat organisasi ini kerana dalam deringan pertama sahaja panggilan saya telahpun dijawab.

Manakala polis bantuan PLUS Ronda pula tiba dalam masa kurang daripada 10 minit. Sekali lagi saya merasa kagum dengan 'response time' pasukan ini, pantas dan cekap, serta tangkas memberikan bantuan. Begitu efisyen dan tinggi mutu perkhidmatan PLUSline dan PLUS Ronda. Saya merasakan wajar mencatatkannya sebagai satu contoh 'a world class customer services' oleh salah satu syarikat Malaysia yang patut diberikan penghargaan dan sanjungan tinggi. Seharusnya ia menjadi teladan kepada organisasi Malaysia yang lain.

Kepada operator PLUSLine dan dua anggota polis bantuan PLUS Ronda yang bertugas pada waktu itu, saya ucapkan penghargaan dan terima kasih kerana telah menjalankan tugas dengan cekap serta berdedikasi, sejajar menepati 'Mission Statement PLUS : providing efficient and safe expressway network that enhances quality of life'. Anda membuatkan saya sebagai salah seorang pengguna yang akan merasa lebih yakin dan selamat di lebuhraya anda.

Syabas! PLUSLine dan PLUSRonda!

1 ulasan:

Unknown berkata...

Kena bayar tak klu towing plus?