Selasa, 7 Ogos 2012

London 2012 : Kemenangan Moral Atlet Muslimah

Fatima Sulaiman Dahman (Yemen)
Aia Mohamed (Qatar)
Salam,

Summer Olympics London 2012 telah melakar sejarah bagi atlet wanita Islam. Satu kemajuan dalam perjuangan menuntuk hak mereka untuk menyertai sukan di peringkat antarabangsa. Kalau dahulu mereka berdepan dengan dilema kerana tidak dibenarkan menyertai olimpik, samada kerana halangan politik, sosial, agama mahupun peraturan sukan itu sendiri, tetapi di London kali ini, buat pertama kalinya atlet-atlet wanita dapat bertanding dalam semua 26 jenis sukan yang ditawarkan.

Kalau 16 tahun dahulu semasa Atlanta Games 1996, sebanyak 26 negara tidak menghantar atlet wanita mereka, tetapi di temasya kali ini semua negara peserta mengirim setidak-tidaknya seorang ahli sukan wanita untuk bertanding. Brunei umpamanya, telah menghantar seorang pelari wanitanya, Maziah Mahasin untuk menyertai lumba lari jarak 400M. Negara tersebut sebelum ini tidak pernah menghantar atlet wanita dalam sukan olimpik.

Isu utama ialah peraturan berpakaian atlet wanita (dress codes), dimana berlaku pertembungan antara tuntutan agama dan peraturan sukan itu sendiri. Di satu pihak bertegas tidak akan mengorbankan tuntutan agama semata-mata untuk membolehkan atlet Muslimah bertanding. Manakala di pihak satu lagi berkeras mempertahankan prinsip, keselamatan serta disiplin sukan itu sendiri. Perkara ini berlaku apabila FIFA mengharamkan pemakaian tudung pasukan bola sepak wanita Iran dalam pusingan kelayakan Olimpik 2012. Sebelum itu Persatuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) melarang atlet wanita yang menutup tangan dan kaki mereka. Terbaru, apabila Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) menolak penyertaan atlet Saudi Arabia yang memakai hijab di Olimpik 2012.

Bagaimanapun, perselisihan tersebut berjaya diselesaikan apabila semua pihak menemui kata sepakat bahawa pemakaian atlet Muslimah tidak memudaratkan baik dari segi keselamatan mahupun kesihatan, dan hanya memerlukan perubahan dalam peraturan sukan dan mencipta pakaian (modest sportswear) yang menepati kehendak agama dan bersesuaian dengan sukan yang disertai.

Bagi saya, ini merupakan satu kejayaan dakwah, apabila Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan gabungannya dapat menerima nilai Islam dalam sukan. Ia juga merupakan kemajuan baru untuk mengikis sikap prejudis pihak-pihak yang mengatakan Islam mengongkong hak-hak wanita. Disamping memperbetulkan pentafsiran mereka yang mengamalkan religious extremism dalam agama.

Katakanlah atlet-atlet Muslimah ini tidak memenangi pingat dalam Olimpik kali ini, tetapi perjuangan mereka akan menjadi inspirasi dan membakar semangat kepada generasi baru Islam untuk mengambil sukan sebagai karier atau  profesion mereka kelak.

Wasalam.

Tiada ulasan: