Jumaat, 24 Ogos 2012

Sambutan Aidil Fitri : Pandangan Saya

Salam,

Setiap kali menjelang Aidilfitri, maka banyaklah persiapan yang akan kita lakukan, seperti mempersiapkan pakaian baru, menyediakan makanan dan biskut raya berbagai jenis, menukar baru hiasan dan kelengkapan rumah, bahkan kadangkala menukar kereta baru. Semuanya harus dilakukan untuk meraikan satu hari tersebut. Kata seorang pekerja saya, 'Sambutan Aidilfitri banyak belanja, ia harus kelihatan berbeza dari hari-hari biasa'.

Maka tidak hairanlah jika persiapan menyambut Aidilfitri telah menjadi suatu kegiatan dagangan dan pesta berjual-beli. Sampai ada dikalangan kita yang agak keterlaluan, memaksa kehendak di luar kemampuan diri, malah sanggup berhabisan untuk meraikannya. Pokoknya semua orang harus bergembira di Aidilfitri.

Memang benar, Aidilfitri tak salah menyambutnya dengan penuh kegembiraan. Ia adalah satu daripada dua perayaan terbesar Islam dan dinanti-nantikan setiap tahun. Tetapi, apakah itu pengertian sambutan Aidilfitri sebenar yang harus disambut dengan sesuatu yang bersifat lahiriah semata-mata?

Bagi saya, Aidilfitri merupakan penutup Ramadan yang membawa pengertian yang sangat besar,
  • Pertama, adalah rasa bersyukur kerana dapat mengurus hawa nafsu dan merasanya rahmat Allah.
  • Kedua, dapat berkumpul dan bertemu saudara mara serta sahabat handai sambil saling mengucapkan 'Taqabbalullah minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu) atau ucapan 'Maaf Zahir Batin' yang menjadi amalan masyarakat kita.
  • Ketiga, hari bertemunya keadilan dan kasih sayang mereka yang berada terhadap saudaranya para fakir dan miskin. Orang kaya melupakan darjatnya dan merendahkan diri untuk membantu saudaranya yang miskin supaya dapat merasa gembira bersama keluarga pada hari Aidilfitri. Manakala, orang miskin membuang rasa iri hati, 'inferiority' dan rasa terpinggir, kerana kesusahan dan kesedihan mereka tidak diabaikan oleh saudara seagama yang kaya  di Aidilfitri.
Itulah sebenarnya syiar agama dalam menyambut Aidilfitri, bukanlah dengan berbelanja besar dan berlebih-lebihan yang hanya akan mengosongkan  nilai-nilai kerohanian dan penghayatan Ramadan yang baru kita lalui. Semoga kita akan lebih arif dalam menyambut Aidilftri pada tahun akan datang dengan meneladani sunnah Rasulullah dan selari dengan perintah Allah SWT. Ini pandangan saya mungkin salah, tetapi bersama-samalah kita memikirkannya.

Wasalam.

Tiada ulasan: