Jumaat, 21 September 2012

Serumpun Bak Serai : Rahsia Kejayaan Kelab KSHS

Merencana aktiviti kelab
Bergotong royong melaksanakan aktiviti
Satu daripada aktiviti Kelab 'Masquerade Party'
Salam,

Semasa menghadiri jamuan 'Hi-Tea Raya' di sebuah kelab golf di Templer Park Resort baru-baru ini, seorang kenalan memuji keakraban yang terjalin di kalangan ahli-ahli kelab KSHS dan bertanyakan rahsianya. Elok juga kalau saya kongsikan bersama para pembaca kejayaan kami itu, mungkin boleh dijadikan panduan kepada anda yang ingin mempunyai kelab sukan ataupun sosial bersama rakan-rakan anda samada di pejabat mahupun di taman kediaman anda.

KSHS terbentuk daripada hasrat rakan-rakan yang ingin memusatkan kegemaran bersukan dan bersosial dalam satu pertubuhan yang sah. Melalui aspirasi tersebut wujud persefahaman ataupun kesatuan fikiran yang memudahkan lagi kami berfungsi sebagai satu pasukan yang berkesan. Budaya saling berinteraksi dan berkomunikasi dalam merencana mahupun melaksanakan aktiviti kelab telah melahirkan pula hubungan yang erat diantara kami.

Bagi mengekalkan jalinan erat itu semua ahli bersepakat untuk menyemai budaya 'serumpun bak serai, selubang bagai tebu' di kalangan para ahli. Setiap ahli menganggap ahli yang lain sebagai teman yang akrab menyebabkan hubungan kami menjadi kukuh. Rasa persahabatan daripada keakraban ini mengeratkan lagi persefahaman dan semangat kerjasama dalam aktiviti yang dirancang. Persefahaman ini pula akan mendorong semua ahli bekerja dengan tujuan yang sama dan memiliki kefahaman yang jelas berkaitan peranan masing-masing. Setiap rakan memandang tinggi pendapat rakan yang lain.

Sifat bermuafakat sedemikian meningkatkan lagi hubungan kami serta mampu mengatasi masalah ataupun pertembungan pendapat. Bermuafakat dapat menghasilkan kerja bermutu dan menghindarkan ahli daripada mementingkan diri sendiri dan bersikap individu, bak kata orang-orang tua kita dahulu "bulat air kerana pembentung. bulat manusia kerana muafakat"

Ini pengalaman saya, mungkin boleh dijadikan panduan.

Wasalam.

Tiada ulasan: