Rabu, 21 Mei 2014

PRK-P76 Teluk Intan: Pendapat Saya

Salam,

Beberapa hari ni PRK di Teluk Intan menjadi bualan hangat dikalangan teman-teman saya, terutamanya pendekatan parti DAP dipilihan raya kecil kali ini dan nama Dyana Sofea. Ada yang baik dan ada yang tidak baik, namun begitulah kancah berpolitik cara orang kita. Memuji dan menghina seperti tiada batasan adab dan resam lagi.

Bagi saya, meletakkan calon Melayu oleh DAP bukanlah perkara baharu, kerana sebelum inipun parti itu telah menampilkan calon-calon Melayu dalam beberapa pilihanraya, malah mereka telah mempunyai beberapa wakil Melayu di parlimen. 

Apa yang hangat pada kali ini ialah faktor Dyana Sofea, anak muda yang mewakili pemikiran generasi muda Malaysia yang mahu melihat diri mereka sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni dan tidak lagi ingin membezakan diri mengikut kaum dan fahaman perkauman.

Dyana menggambarkan watak generasinya yang mempunyai keberanian dan kebijaksanaan dalam menentukan nasib mereka sendiri dan bukannya angguk mengikut telunjuk pemikiran lama. Generasinya mampu dan tahu berfikir. Mereka dahagakan perubahan dan tahu boleh melakukannya.

Satu perkara lagi yang menarik tentang Dyana Sofea, ialah kematangan keluarganya, mereka saling menghormati dan mendokong diantara satu sama lain, walaupun berbeza wadah perjuangan politik. Inilah yang kita ingin lihat,  keharmonian dan kasih sayang dikalangan keluarga tetap utuh walaupun berlaku pertembungan fahaman dan semangat perjuangan.

Di pihak DAP pula, ia satu anjakan besar yang dapat memberikan 'political mileage' kepada mereka. Pertamanya, dari sudut pandangan orang Melayu terhadap DAP yang selama ini beranggapan sebagai parti dominan satu kaum sahaja. Strategi DAP kali ini boleh mengubah persepsi orang Melayu bahawa DAP memperjuangkan kebajikan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Keduanya, DAP dapat dilihat sebagai sebuah parti yang berani mempertaruhkan anak muda dan idealisme mereka untuk menunjukkan kepelbagaian sebagai sebuah parti untuk semua golongan dan kaum. Ia seharusnya membuka mata lain-lain parti politik di negara ini.

Kesimpulannya, masa depan Malaysia adalah milik generasi Dyana. Mereka perlu dididik dan diberi peluang serta pilihan dari awal lagi dalam menentu arah Malaysia yang harmoni dan cemerlang.

Saya sekadar memberi pendapat, mungkin salah mungkin juga benar.

Wasalam.

Tiada ulasan: