Sabtu, 24 Mei 2014

Mei 1.2014 : di Tasik Kenyir, Terengganu

Salam,

Pada cuti hari pekerja baru-baru ni, saya dan beberapa orang teman memilih Tasik Kenyir sebagai destinasi percutian kami pada tahun ini. Hasrat kami ke sana untuk menikmati keindahan alam semulajadi sambil memancing. Tasik ini mempunyai pemandangan lanskap yang mengagumkan dan merupakan tempat paling sesuai untuk merehatkan diri dari kesibukan hidup di kota.

Tasik Kenyir terletak di Kuala Berang, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa 6 jam melalui Lebuhraya Pantai Timur melalui Jabor, Terengganu. Percutian kali ini disertai seramai 19 orang teman-teman karib saya termasuk 8 orang wanita.

Kami menggunakan pakej 'houseboat' kerana dirasakan lebih 'adventure' berbanding menginap di 'resort'. Kami memulakan perjalanan dari ibu kota pada jam 12 tengah malam dan tiba di Kuala Berang jam 6 pagi, serta memulakan acara kami dari jeti Pengkalan Gawi ke lubuk pancing di Sungai Cacing pada jam 9 pagi.

Percutian kali ini menyeronokkan kerana saya dapat berkumpul bersama teman-teman rapat yang kebanyakannya telah saya kenali lebih dari 20 tahun. Kami dapat berkongsi suka duka perjalanan hidup kami sepanjang tempoh tersebut dalam suasana santai dan ceria. Disamping bertukar-tukar maklumat tentang urusan perniagaan.

Disamping memancing, sempat juga kami berkhemah dan 'jungle tracking' menyusuri tebing-tebing sungai . Banyak juga ikan yang dapat kami naikkan seperti ikan Toman, Belida, Lampan, Baung, Patung, Tilan dan Temperas.

Pada hari terakhir, kami sempat berkunjung ke air terjun Lasir, berehat sambil mandi manda dengan air terjun yang dingin dan menyegarkan.

Kata seorang rakan wanita saya 'oh..damainya di sini dan nak datang sini lagi la' Ya, Tasik Kenyir memang menenangkan diri saya.

Wasalam. 

Tiada ulasan: