Jumaat, 16 Mei 2014

Bercucuk Tanam, Kegemaran Baru Saya dan Isteri


Salam,

Hai apa kabar! pada kali ini saya ingin berkongsi kegemaran baru saya bercucuk tanam pokok buahan. Ide ni datang secara kebetulan saja, semasa tu saya dan isteri singgah di gerai buah-buahan di Rawang, Johor.

Sambil membelek buah Nona dan Asam Gelugur, isteri saya mencadangkan supaya kami menanam pokok buahan ini supaya nanti, anak-anak kami dapat mengenal rupa pokoknya, lagipun buah-buah ini jarang sekali dilihat.

Pada awalnya, kami menghadapi dua cabaran utama, pertamanya kami tidak mempunyai tanah dan tinggal di bandar. Keduanya, kami tidak pernah bercucuk tanam atau mempunyai pengalaman. Langkah awal kami ialah mendapatkan kebenaran bapa mertua untuk bercucuk tanam di tanah beliau di Bkt. Kangkar, Johor. Kemudian mendapatkan maklumat melalui pembacaan serta minta nasihat pengusaha 'nursery' dan orang kampong.

Kami berpakat untuk menanam pokok-pokok buahan seperti Quinine, Durian Belanda dan Nona. Benihnya kami perolehi dari seorang teman di Jelebu, N.Sembilan.  Bermula daripada itu, kami jadikan bercucuk tanam sebagai satu daripada hobi pilihan. Namun ia bukanlah dalam konteks kegiatan pertanian, cuma kegiatan memanfaatkan ruang kosong di persekitaran halaman dan belakang rumah sahaja.

Apa yang kami dapati dari manfaat bercucuk tanam ialah ia boleh memberikan keseronokan dan menghilangkan stress, mengeluar peluh, malah mampu memperindahkan kawasan rumah dengan hijauan segar dari variasi tanaman. Paling menjadi kesukaan isteri ialah dapat lebih kerap pulang ke kampong.

Hobi ini cukup simpel, apabila melihat pokok yang di tanam tumbuh segar menghijau timbul rasa kepuasan dan rasa ghairah yang menyeronokkan.

Sayangnya, kami tidak mempunyai masa dan meminta emak dan bapa mertua membantu kami menjaga pokok-pokok tersebut seperti menyiram dan menabur baja. Namun bila ada ruang masa kami akan bergegas ke kampung melihat hasil tanam-tanaman kami itu.

Pada masa ini, tanaman kami telah berkembang, kami telah mempunyai pokok buahan seperti Asam Gelugur, Limau Purut, Jambu Air dan Limau Bali. Kesimpulannya, anak-anak kami dapat mengenal pokok buahan yang kini jarang dapat dilihat.

Itu saja yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Mungkin berguna.

Wasalam.

Tiada ulasan: