Isnin, 26 Mei 2014

Kesantunan Berbahasa: Pendapat Saya

Salam,

Semasa saya kecil, Atuk dan Opah pernah menasihati saya, kakak dan juga adik, supaya jangan bercakap patah mematah, berbicara dengan cerca-mencerca, dan pantang mulut carut-mencarut. Hal ini dianggap kurang ajar kerana seringkali di salut dengan emosi dan kurang menghormati konteks. Pantang larang ini agar kami dapat berfikir secara rasional dan matang sebelum bercakap atau mengambil tindakan.

Begitulah cara orang Melayu mengajar anak bangsanya agar mengamal adab dan kesantunan semasa bercakap atau menyampaikan pendapat dan sebagainya. Adab resam Melayu mengajar agar anak bangsanya menjunjung tinggi nilai budaya Melayu dalam berbahasa mahupun perilaku.

Kesantunan berbahasa bermakna rasa hormat dan timbang rasa yang kita berikan kepada orang yang mendengar. Ia bererti kehalusan dalam kita menggunakan bahasa ketika berhujah samada kepada orang yang lebih tinggi tarafnya atau orang yang rendah kedudukannya daripada kita.

Baru-baru ini, kecoh kebiadapan berbahasa oleh seorang ahli politik yang kononnya pemimpin rakyat kerana mengeluarkan kata kesat kepada lawannya. Ini telah menyebabkan kemarahan dan protes pelbagai pihak. Ia merupakan reaksi atau tindakan semula jadi bila maruah dicabar.

Orang seperti ini, menampakkan keangkuhannya dan tidak menunjukkan kesopanan, lazimnya disebut sebagai orang yang tidak beradat, dan akan dipandang sebagai rendah akhlak dan budi pekerti.

Kesimpulannya, apabila kita ingin bercakap perlulah berfikir dan kaji kesannya kepada pendengar. Maklumat yang hendak disampaikan perlu mengandungi isi. Kita harus punya ilmu dan pengetahuan tentang perkara yang hendak dicakapkan. Jika tidak mampu untuk berfikir dan tidak mempunyai kematangan, tidak perlulah bercakap. Kadangkala, diam sebagai pemerhati lebih baik daripada sibuk mengutarakan pendapat yang tidak bernas.

Alahai, orang politik kita. Saya sekadar memberi pendapat. Renongkanlah.

Wasalam.

Tiada ulasan: