Isnin, 13 Julai 2009

Kes Dera Amah - Mana Kemanusiaan Kita?





Salam,

Kes dera amah!, Kes buli amah!, semakin banyak dibongkarkan! Kebanyakan kes ini membabitkan pembantu rumah dari Indonesia. Mengapakah mereka dibuat sebegitu rupa? Didera mental dan fizikal mereka? Sehingga ada yang menyebabkan kecacatan! Dimanakah peri kemanusiaan kita?

Saya agak kecewa kerana ada orang-orang kita yang berkata perkara ini tak perlu diperbesarkan kerana jumlahnya kecil. Dilaporkan kurang daripada 50 kes yang berhubung dengan penderaan majikan terhadap pembantu rumah dalam tempoh setahun. Bagi saya itu bukan persoalannya, tetapi saya kesal dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh orang-orang kita yang kononnya berpendidikan dan bertamadun.

Kes penderaan ini tentunya menyukarkan kepentingan banyak pihak terutamanya majikan atau pasangan suami isteri yang bekerja. Mereka amat memerlukan seorang pembantu rumah bagi menjaga seisi rumah termasuk anak-anak.

Perkara ini makin menyulitkan apabila Kerajaan Indonesia bertindak untuk menghentikan sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Ia sudah tentulah memberi kesan kepada semangat persaudaraan, kejiranan dan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia. Seorang sahabat saya berkata, apa nak dirisaukan kita boleh mendapatkan pembantu rumah dari Filipina dan Thailand. Memang benar, tetapi ia tidak akan menghentikan perbuatan tidak berhati perut orang-orang kita yang berhati kejam.

Berbagai sebab boleh menjadi punca berlakunya penderaan ini, di antaranya seperti yang diperkatakan ramai orang, pembantu rumah yang didatangkan itu tidak mencapai tahap yang diingini oleh orang-orang Malaysia. Ada yang pemalas, panjang tangan dan membuli anak-anak. Terdapat juga yang berpendapat berlakunya pertembungan budaya, makanan, bahasa dll.

Pokoknya, majikan perlu bertimbang rasa terhadap pembantu rumah mereka. Pembantu rumah adalah manusia seperti kita. Mereka tidak harus dibebankan dengan tugas dan masa kerja yang tidak munasabah, seperti bangun seawal 5 pagi dan berlarutan ke tengah malam setiap hari tanpa rehat. Tanya diri kita, adakah kita mahukan pembantu rumah yang mengambil alih sepenuhnya tugas kita sebagai seorang isteri mahupun suami dalam rumah kita, seperti mengemas, membasuh, mencuci kereta, menyiram pokok-pokok bunga, memasak, mengasuh, mendidik sehingga menyuapkan anak-anak kita makan? Sedangkan mereka dinamakan hanya sebagai pembantu rumah kita.

Saya amat menyokong Kerajaan Malaysia yang mahukan pembantu rumah diberi hari rehat sehari dalam seminggu dan tidak bertolak ansur terhadap mereka yang mendera pembantu rumah mereka untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Saya ingin mencadangkan Kementerian Sumber Manusia dan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) mensyaratkan supaya mereka yang ingin mempunyai pembantu rumah menghadiri kursus majikan, ia termasuk juga kepada bakal pembantu rumah perlu diberi kursus khas demi menjadikan mereka pekerja yang berdisiplin, bertanggungjawab dan tahu hak mereka sebagai pekerja. Mungkin cadangan ini berguna!

Ingatlah!, orang Indonesia adalah saudara dan rumpun bangsa kita juga!

Wassalam.

5 ulasan:

ME berkata...

Itulah yg terjadi bila emosi mengatasi akal manusia

Putri Bestari berkata...

Hmm memangla ada majikan yang tak berhati perut tapi cuba interview orang2 yang ada maid. Macam2 karenah, tak kurang yang "mendera" majikan dan anak2 majikan. Bila bagi muka sikit, pijak kepala pulak. Kedua2 pihak majikan dan maid seharusnya bertolak ansur dan kedua2nya bertanggungjawab memainkan peranan masing2 dalam mewujudkan hubungan yang baik dan kondusif. Faktor perbezaan budaya juga ada menyumbang kepada ketegangan hubungan maid-majikan.

Berkenaan cuti pelepasan sehari seminggu pula, saya berpendapat ia tidak praktikal dan sukar dikuatkuasakan. Takkanlah Kerajaan nak wujudkan satu badan khusus untuk mengawasi majikan dan menguatkuasakannya. Tambahan pula, hari apa yang sesuai untuk dijadikan hari pelepasan? Sekiranya cuti hujung minggu dipilih, maka majikan pula tiada hari pelepasan untuk diri mereka sendiri.Apa pun, kita harus mencari jalan penyelesaian yang bersifat menang menang untuk kedua2 pihak.

ME berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
ME berkata...

KAMARILHAM
HAPPY XXth BIRTHDAY ...

ME berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.