Ahad, 12 Oktober 2008

Pantun untuk para pemimpin Melayu


Pemimpin yang berwibawa:-
Hijau menguning padi di sawah
Tunduk berisi bagai nak rebah
Pendirian kukuh tidak goyah
Menghadap cabaran tidak gelabah

Pemimpin yang berani:-
Kuala Lipis di negeri Pahang
Jauh dari Tasik Bera
Jangan ditakut jantannya orang
Hidup mati di tangan yang Esa

Pemimpin yang adil:-
Berdayung mudek ke Kuala Sepat
Kolek bocor dikayuhi juga
Kalau menimbang sama berat
Kalau mengukur sama tepat

Pemimpin yang pengasih:-
Duduk Jebat bersila panggung
Satria pembela paling terulung
Karam di laut jadi pelampung
Lumpuh di darat jadi pendukung

Pemimpin yang amanah:-Makan sirih berulas pinang
Pinang berasal dari Jerteh
Meski hanya sehalus benang

Tetap dijelas kemana dialih

Pemimpin yang dikenang:-Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

4 ulasan:

Putri Bestari berkata...

Bang, I love all the Pantun here. They are so beautiful.
My blog Putri Bestari Garden is intended to publish all the poems I wrote.... Taman Puisi.
I will be back soon.

Mat Warong berkata...

Maafkan saya jika tanpa izin ingin saya menegur pantun-pantun saudara.

Nampaknya maksud pantun saudara amat baik. Namun dengan ikhlas mahu saya katakan bahawa sauadara gagal memahami warisan pantun sejati Melayu. Aapa yang saudara lakukan hanyalah menyusun rima akhir dalam pantun sauadara sedangkan itu bukanlah struktur murni warisan pantun Melayu.
Mari kita lihat pantun berikut:

"Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga"

Pasti dengan jelas saudara akan dapati bahawa struktur murni pantun Melayu bukan sahaja ditegakkan oleh rima akhirnya sahaja tetapi jauh dari itu ialah rima tengahnya.

Lihat: pandan=badan
tengah=tanah
daik=baik
tiga=juga

Lantas mahu saya betulkan bait pertama rangkaian pantun saudara seperti yang pada asalnya seperti berikut:

"Hijau menguning padi di sawah
Tunduk berisi bagai nak rebah
Pendirian kukuh tidak goyah
Menghadap cabaran tidak gelabah"

Menjadi lebih murni jika digubah seperti berikut:

Berdiri buluh tegaknya galah
Merayap tebuan jejak lelabah
Pendirian kukuh tidak goyah
Menghadap cabaran tidak gelabah

Lihat sahaja bagaimana murninya rima tengah dan rima akhir.

Terima kasih.
Dr Rahmat Ghazali
Ketua Program Pengajian Siswazah
FKPM
UiTM, Shah Alam

kamarilham berkata...

Sdr MW,
Salam,terima kasih kerana sudi memberikan teguran. Saya amat menghargai dan mengalu-alukan sesuatu yang berhasrat murni.Semoga kita sentiasa dapat berinteraksi dan memupuk persaudaraan.Wasalam.

Syahnon Tizry berkata...

Terima kasih Dr Rahmat atas teguran membina yang diberikan. Saya juga ingin membuat teguran yang sama.