Rabu, 18 Julai 2012

Bukit Tinggi Daerah Yang Damai

Salam,

Pertama kali menjejakkan kaki di Bukit Tinggi, Indonesia hati saya sudah terpaut. Keindahan, kehijauan dan ketenangan alam sekelilingnya cukup mendamaikan. Ditambah pula dengan suhu yang nyaman kerana kedudukannya 930 meter dari aras laut.

Saya ke sana kerana menemani isteri mencari kain-kain sulaman tangan yang menjadi kegemarannya. Nampaknya, Galeri Sulaman Hj. Rosma menjadi tumpuan beliau. 'Di sini, sulamannya cantik dan menarik. Buatannya pun halus' kata isteri saya. Selain itu, kami turut singgah di Butik Anissa yang menjual baju-baju sulaman ekslusif, Putri Minang dan Lindungan Bulan yang menawarkan harga murah, serta Pandai Sikek yang terkenal dengan tenunan songket dan ukiran kayu.

Isteri dan Hajah Rosma
Saya lebih tertarik dengan pesona alam di Bukit Tinggi dan panoramanya yang menawan hati. Bermula dari Bandara International Minangkabau Airport di Kota Padang, perjalanan yang menyusuri Lembah Anai untuk ke sana indah dengan alam semulajadinya, kehijauan pepohon, air terjun dan sungai-sungai yang jernih.

Bukit Tinggi adalah sebuah pekan kecil yang dikelilingi gunung-gunung berapi, diantaranya Gunung Merapi, Singgalang, Tandikat dan Sago. Lembahnya kelihatan sawah  padi yang hijau meluas, lereng-lerengnya kebun-kebun sayur yang subur.  'Esok kita nikmati keindahan alam di sini' cadang isteri saya ketika sampai di hotel. Kami menginap di 'The Hills' sebuah hotel yang cantik dengan adunan gaya arkitektur Moorish dan Minangkabau.

Isteri dan Emir di rumah tradisi Minangkabau
Awal pagi, kami menuju ke Batusangkar dan Pagaruyung, perjalanan yang banyak persinggahannya kerana kami ingin merakam keindahan alam di situ. Masyarakat di sini pun peramah, cepat mesra dan menghormati tamu. Di Batusangkar kami singgah untuk menjamu selera di Pondok Floral, restoran terapung di tengah sawah dan Masjid Quba yang juga terletak di tengah sawah. Manakala di Pagaruyung kami melawat tempat-tempat peninggalan sejarah kesultanan raja-raja Minangkabau seperti Istano Basa Pagaruyung, Kompleks Batu Bersurat Adityawarman dan Kompleks Ustano (Makam) Rajo Alam.

Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik untuk kami lawati di Bukit Tinggi seperti Ngarai Sianok, Tasik Maninjau dan Sungai Batang, tetapi memandangkan kami ke sini kerana 'shopping trip' maka tidak  banyaklah tempat yang dapat kami ziarahi. Pastinya, ada kelapangan waktu Bukit Tinggi akan menjadi satu daripada destinasi percutian kami.

Saya sekadar berkongsi pengalaman.

Wasalam.

2 ulasan:

ME berkata...

Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran Kamarilham .. semoga diberkati hidup dunia akhirat ..

kamarilham berkata...

Terima kasih. Saya iringi dengan doa, semoga sahabat dan keluarga sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah.