Rabu, 25 Julai 2012

Ramadan Eratkan Silaturahim


Salam,

Kita sekali lagi menemui bulan suci Ramadan, bulan yang mengajar kita erti ketulusan dalam beribadah dan bulan yang menyuburkan kasih sayang sesama insan.

Lazimnya, masyarakat kita akan bersemangat untuk melakukan kebaikan dalam bulan ini, sedia bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Masjid, surau dan pejabat-pejabat akan mengadakan kutipan derma dan majlis-majlis khas untuk membantu orang susah, anak yatim, ibu tunggal dan rumah-rumah kebajikan. Jalinan silaturahim amat dirasakan, kita saling membantu sesama umat.

Ramadan juga menjadi momentum untuk mengadakan majlis berbuka puasa, samada di masjid, surau ataupun di pejabat. Sesiapa saja boleh menikmati makanan yang disediakan, samada yang tidak dikenali atau yang tidak dijemput pun boleh berbuka puasa bersama-sama. Kata seorang sahabat saya 'Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa walaupun dengan hanya sebiji tamar atau seteguk air. Dengan membelanjakan sedikit kemampuan, kita akan diberikan pahala ibadat puasa yang seumpamanya' katanya lagi.

Bagi orang-orang bisnes dan korporat pula, majlis berbuka puasa mereka adalah untuk meraikan tetamu dan pelanggan tidak cuma di rumah atau di pejabat tetapi lebih kerap berlokasi di tempat makan istimewa seperti hotel, kelab dan restoran mewah. Di gedung-gedung ini cukup meriah dengan sajian cita rasa kuliner Ramadan yang berbagai untuk dinikmati sepuas-puasnya. Kadangkala diisi pula dengan persembahan hiburan nasyid, ghazal dan keroncong sebagai halwa telinga.

Ramadan selain dari bulan untuk menyucikan roh, ia juga menyadarkan kita tentang hubungan sosial bagi membantu mereka yang tidak senasib dengan kita melalui semangat persaudaraan Islam yang ampuh. Kalaulah suasana begini dapat berterusan di luar Ramadan, alangkah hebatnya kita umat-umat Islam. Mari kita fikirkan bersama.

Wasalam.

Tiada ulasan: