Rabu, 17 Oktober 2012

Malala Yousafzai : Srikandi Remaja Pakistan

Amat Kejam! itu yang berlaku kepada Malala Yousafzai, seorang gadis berumur 14 tahun yang di tembak kerana menyuara dan memperjuangkan hak pendidikan untuk kanak-kanak perempuan di Lembah Swat Pakistan. Beliau diserang semasa pulang dari sekolahnya di Kota Mingora oleh seorang militan Tehrik-i-Taliban pada 9 Oktober 2012 yang lalu.

Malala merupakan seorang gadis yang bercita-cita tinggi. Beliau sangat ingin belajar dan mahu menjadi seorang doktor. Dia bukanlah gadis biasa, tetapi seorang aktivis yang memperjuangkan hak-hak pendidikan di Lembah Swat. Beliau menjadi terkenal di Pakistan kerana keberaniannya dalam menyuarakan penentangan terhadap dasar puak Taliban yang melarang anak-anak perempuan bersekolah di wilayah tersebut. Beliau menceritakan kisah hidupnya yang penuh duka dan ketakutan dibawah cengkaman puak Taliban yang membakar dan memusnahkan sekolah-sekolah untuk kanak-kanak perempuan melalui blognya.

Seorang jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan memberitahu akhbar Pakistan Tribune Express bahawa Malala ditembak bukanlah kerana dia memperjuangkan hak pendidikan wanita tetap disebabkan gadis itu berfikiran sekular dan cuba mempelopori budaya barat di Lembah Swat. Percubaan bunuh tersebut juga sebagai satu amaran kepada remaja lain yang cuba mengikut pendirian Malala.

Berita terbaru mengenai Malala ialah beliau masih tidak sedarkan diri dan telah di terbangkan ke Queen Elizabeth Hospital di Birmingham England untuk rawatan lanjut.

Saya berpendapat kekejaman terhadap Malala Yousafzai dilakukan oleh mereka yang didasari oleh ideologi salah. Memperjuangkan idealisme bukanlah hal yang salah, namun jika perjuangan itu dengan melakukan kekejaman yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi orang lain akan dilihat sebagai sesat dan merosakkan..

Tiada ulasan: