Jumaat, 6 Disember 2013

Pengalaman Memancing Di Pulau Sembilan, Perak


Saya (baris 2 tengah) dan Rakan Ekspedisi
Azman memantau joran-jorannya

Fauzi bergambar bersama tangkapannya
Salam,

Memancing bukanlah hobi utama saya, sekadar berseronok untuk 'sport fishing'. Saya pernah memancing di beberapa tempat seperti di Tasik Kenyir, Sungai Dinding, Port Dickson dan beberapa tempat lagi.

Namun, saya dapati, memancing adalah aktiviti yang mendatangkan keseronokan apabila dapat bergelut dengan ikan yang menyambar mata pancing. Disamping dapat menyaksikan keindahan alam seperti laut biru yang luas, kecantikan matahari senja, kejernihan air tasik serta udara yang segar nyaman. Cuma saya agak alah dengan panahan matahari dan air laut. Saya amat bergantung kepada 'sun protection lotion and moisturizer' setiap kali menyertai ekspedisi memancing.

Pada 29 November 2013 yang lalu, saya berkesempatan untuk menyertai beberapa orang kawan memancing di Pulau Sembilan, Perak. Tujuan saya menyertai mereka di samping memancing adalah untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sahabat dan menikmati keindahan ciptaan Tuhan.

Pulau Sembilan merupakan 'De Anglers' Paradise' kepada kaki pancing, kerana terdapat pelbagai spises laut di sekitar kepulauan tersebut. Pulau-pulau yang terdapat di kawasan ini ialah Pulau Rumbia, Pulau Lalang, Pulau Jarak, White Rock dll. Bagi saya ia adalah kepulauan tercantik di negara kita, kerana pantainya yang bersih, air yang jernih dan pemandangan yang indah, lagipun ia masih tidak tercemar kerana pulau-pulaunya tidak berpenghuni. Pulau Lalang dijadikan tempat kami berteduh dan berehat kerana di sini terdapat bekalan air tawar semula jadi yang mengalir dari bukitnya.

Pengalaman memancing bersama kawan-kawan dan kaki-kaki pancing yang lain amat berguna kepada saya, kerana saya dapat belajar kaedah dan teknik yang betul ketika memancing seperti 'Bottom, Jigging, Casting, Popping and Trolling'. Alhamdulillah, hasil pancingan banyak, ikan-ikan yang dapat kami naikkan ialah Jenahak, Kerapu, Talang, Pari, Alu-Alu dll.

Saya melihat keseronokan dan kepuasan tergambar di wajah kawan-kawan, mereka bercadang untuk kembali ke Pulau Sembilan pada pertengahan tahun 2014. Mungkin saya akan turut serta.

Wasalam.

Tiada ulasan: