Jumaat, 11 Julai 2014

Seniwati Zaiton: Pesona Wanita Melayu Ideal


Salam,

Malam kelmarin, saya dan anak saudara minum teh tarik di kedai mamak Bukit Indah. Sambil minum dan berborak kosong, dia bertanya satu soalan menarik 'Pak Ngah, Along nak tanya sikit, kalau Pak Ngah mencari wanita, Pak Ngah suka wanita yang bagaimana? Aha, saya dapat menangkap maksud hatinya, dia sedang mencari calon isteri.

'Seperti Seniwati Zaiton' jawab saya ringkas. Berkerut keningnya melihat saya.

Setiap lelaki mempunyai persepsi sendiri terhadap sifat wanita yang dia senangi, dan saya melihat seniwati Zaiton punya perwatakan seorang wanita yang saya sukai 'the natural look'. Berwajah lembut menawan, lembut tutur kata, bersopan santun dan penampilan kemas. Dia membawa nilai perawakan sebenar keanggunan wanita Melayu. Bagi saya dia mempunyai pesona lengkap seorang wanita idaman.

Mungkin kerana itu, pelukisan watak filemnya juga seperti menggambarkan personaliti dirinya yang sebenar. Lihat saja lakonannya dalam Ibu Mertuaku, Bujang Lapok dan Hang Tuah. Dia juga memiliki bakat lakonan yang baik. Melalui filem Hang Tuah, seniwati ini telah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di 3rd. Asia-Pacific Film Festival pada tahun 1957, dan pada tahun 1958 dipilih sebagai duta kebudayaan ke Pacific Festival di San Francisco, USA.

'Itu pelakon dulu, artis masa la ni agaknya siapa' tanya anak saudara saya. 'Hmm..Ummi Nazeera' jawab saya dan dia angguk setuju.

Saya sekadar berkongsi, pastinya anda mempunyai persepsi sendiri terhadap wanita dan lelaki Melayu idaman anda.

Wasalam.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Saya pun yang perempuan ini, jatuh cinta dengan keperibadian Seniwati Zaiton 🤍