Rabu, 2 Julai 2014

Pantun Ramadan: Mari Hayati

Salam,

Sempena bulan Ramadan yang penuh hikmah ini, dua orang teman mengirim pesanan ringkas berbentuk pantun kepada saya. Menarik dan indah maksudnya. Saya rasa patut dikongsikan bersama teman dan pengunjung blog ini. Mari kita hayati bersama.

Kembang melati di pagi hari
Mekar kiambang di pinggir kali
Kalau hati cinta Ilahi
Ramadan yang datang sangat dinanti

Daun pandan aroma penyeri
Masak kepah berempah kari
Berpuasa Ramadan penyuci diri
Pahala melimpah Allah memberi

Indah bercahaya bulan purnama
Hati berdebar bertemu dara
Ibadah puasa ada adabnya
Bukan sekadar berlapar dahaga

Badan penat mencari lokan
Meredah hutan dari pagi
Ibadah sunat elok digandakan
Penambah bekalan kemudian hari

Kain pelikat indera sakti
Jenama sudah ramai kenali
Pada masyarakat kita berbakti
Zakat dan sedekah tanda mengasihi

Ramadan ada satu malam
Lailatul Qadar jadi idaman
Sepuluh terakhir bermula malam
Baiknya lebih seribu bulan 

Wasalam.

Tiada ulasan: