Isnin, 9 Jun 2014

Sehari Menyusuri Sungai Judah, Pulau Carey

Kenalan saya: Intan a/l Kamit
Salam,

Pada Sabtu 7.6.2014 yang lalu, saya dan beberapa orang teman berpakat untuk menyusuri Sungai Judah, di Pulau Carey. Menikmati alam semula jadi merupakan sebahagian dari kegemaran kami pada masa lapang. Kepuasan daripada aktiviti ini ialah dapat menginsafi kebesaran dan nikmat Allah yang menganugerahkan bumi ini kepada makhlukNya.

Disamping itu, kami mengambil peluang untuk bertemu kenalan-kenalan baru di Kampung Sungai Judah yang diduduki kaum orang asli dari rumpun Mahmeri. Nama kampung ini diambil sempena Sungai Judah yang menjadi jalan air kepada penduduk untuk ke laut mencari mata pencarian.

Saya dibawa menyusuri Sungai Judah oleh kenalan saya bernama Intan dengan boat sangkut kecil sesuai untuk 4 orang penumpang. Sungai ini amat menarik, suasananya yang damai dan menghijau amat menenangkan. Ditambah pula aroma segar dedaun bakau dan perepat yang dibawa angin sepoi bahasa. Bertambah menarik di sungai ini terdapat burung-burung helang, undan dll berkeliaran di udara mencari ikan. Di gigi air kelihatan banyak ikan belacak dan ketam-ketam kecil. Manakala di darat terdapat pula kumpulan monyet dan biawak.

Sdr. Intan membawa saya ke kawasan dimana terdapat banyak ikan. Saya tidak memancing, tetapi 2 orang kawan saya kelihatan teruja menaikkan ikan tanda, senangin dan gelama. Belut dan buntal banyak juga di sini.

Penat menyusuri sungai, kami berihat di tebingnya dan makan bekalan yang kami bawa dari rumah. Selepas asar, kami menyusuri jalan balik ke Kuala  Lumpur. Saya kongsikan pengalaman ini kepada teman-teman di blog ini yang mungkin berminat untuk beriadah dan menikmati keindahan alam semula jadi di Sungai Judah.

Wasalam.

Tiada ulasan: