Ahad, 22 Jun 2014

Cara Minum Air Putih Yang Seelok-eloknya

Salam,

Dalam satu bengkel Budaya Gaya Hidup Sihat yang saya sertai di Sg. Labu, Selangor tempoh hari, saya tertarik dengan ceramah En. Wahab Ibrahim, seorang daripada fasilitator program tersebut, mengenai keajaiban air putih atau air kosong dan cara meminumnya dengan betul.

Menurut beliau, air punyai keajaiban kerana air boleh mendengar kata-kata, boleh membaca tulisan dan boleh mengerti pesan. Ia adalah hasil daripada penemuan kajian saintifik oleh Dr. Masaru Emoto dari University of Yokohama, Jepun. Menurut En. Wahab lagi, air juga memiliki sifat sensitif  dan reaktif. Jika dibacakan padanya kata-kata yang baik, air akan bereaksi positif.

Saya terfikir,  barangkali ini boleh menjelaskan mengapa air putih didoakan untuk berbagai tujuan seperti air penerang hati dan untuk menyembuhkan pesakit. Malah terdapat kedai-kedai yang menjual air yang telah dibacakan ayat-ayat suci Al -Quran untuk berbagai kebaikan.

En. Wahab menambah, air bermanfaat untuk apa saja yang kita niatkan ketika meminumnya. Jadi sebelum minum hendaklah didahulukan dengan Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan disertai Niat. Hembuskan perlahan kepada air dan minum secara 'Sip' atau berdikit-dikit dan jangan' gulp' atau diminum sekaligus, supaya air boleh melarut dan mengalirkan nutrien ke seluruh badan dengan baik.

Kita harus minum diantara 6 sehingga 8 gelas atau 1 liter air sehari.

Diantara kebaikan minum air kosong ini ialah:

  • Mengawal tekanan darah.
  • Meningkatkan kesuburan dengan penghasilan testosteron dan estrogen.
  • Menyihatkan jantung.
  • Mencegah keletihan dan sakit kepala.
  • Membantu pesakit stroke dengan memperkuatkan lagi otot dan ligamen, dan banyak lagi kebaikan air putih.
Kesimpulannya, buat teman-teman yang sudah mengetahui khasiat air putih atau air kosong, mudah-mudahan tulisan ini menambah hikmah pengetahuan anda, seterusnya kepada saudara-saudari yang belum mengetahui cara meminum air putih yang betul, cubalah dan saya telah mengamalkannya. InsyaAllah.

Wasalam.

Tiada ulasan: