Salam,
Bulan November ini, kita dihangatkan dengan Festival Seksualiti Merdeka 2011, satu acara mengenai 'sexuality rights' dalam memperjuangkan hak para pengamal LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) di negara ini. Tujuannya adalah untuk mengingatkan kita bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk menzahirkan diri mereka yang sebenar, dan bebas dari sebarang bentuk diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi dan perilaku seksual mereka.
Festival ini bukanlah satu program baru, tetapi telah diadakan secara tahunan sejak 2008 lagi dengan tema-tema hebat seperti 'Queer without fear (2011), Our bodies our rights (2010), We are family (2009) dan If one of us ain't free, none of us are!(2008). Ia diisi dengan mengadakan bengkel, perbincangan, tayangan filem, pelancaran buku, aktiviti seni dan sebagainya.
Namun, pada tahun ini penentangan terhadap festival ini datang dari banyak pihak kerana dilihat sebagai memperjuangkan kemungkaran, menodai adab dan budaya serta amat berlawanan dengan fitrah manusia. Semalam pihak polis telah mengeluarkan arahan kepada penganjur supaya membatalkan festival tersebut kerana melanggar undang-undang dan bertentangan dengan ajaran pelbagai agama di negara ini.
Saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya terhadap gejala songsang ini, kerana berasa sedih mengapakah ada orang Melayu yang murni nilai adat resam dan budayanya turut terlibat dalam program seperti ini? Dan sebagai Melayu Islam, seharusnya tauhid kepada Allah menjadi pegangan pokok untuk kita bertindak benar dalam hubungan sesama manusia, diantaranya membimbing kita dengan prinsip mu'asyarah bil ma'ruf (pergaulan yang sopan dan santun), baik dalam hubungan kemanusiaan mahupun seksual.
Saya bimbang program seperti ini akan hanya memperdayakan orang Melayu, terutamanya mereka yang tidak sensitif terhadap nilai dan martabad bangsa akan turut serta menyuburkan amalan LGBT dalam masyarakat kita. Saya juga bimbang akan tiba masanya mereka akan menuntut untuk menghalalkan pula gejala 'incest sukarela' atas nama hak dan kebebasan 'sexuality independence'.
Gerakan hak dan kebebasan songsang ini wajib dihentikan dan perlu ada satu cara lain untuk membetulkan keadaan amalan LGBT di negara ini, yang nampaknya semakin menular dan berani. Ia laksana bara dalam sekam, kemungkinan ada matlamat yang lebih besar yang tersembunyi.
Akhirnya, syabas kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang telah bertindak betul dengan mengharamkan terus program ini.
Wasalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan