Ahad, 25 Januari 2009

Pengurusan Penyenggaraan Bangunan Bertingkat - Cadangan Saya



Salam,

Pada hari Ahad yang lalu, saya memenuhi jemputan seorang teman untuk menghadiri mesyuarat pertama penubuhan jawatankuasa badan pengurusan bersama (JMB) di sebuah pangsapuri di Kepong. Beliau adalah pengurus penyenggaraan pangsapuri berkenaan.

Mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar. JMB berjaya ditubuhkan dan ahli-ahli jawatankuasanya turut dipilih. Apa yang menarik perhatian saya ialah sebilangan besar pemilik yang hadir tahu apa itu JMB, keperluan dan kepentingannya. Mereka memahami konsep tinggal di bangunan bertingkat yang melibatkan perkongsian dikalangan pemilik dan penghuni, terutama bagi harta bersama.

Keadaan tersebut berbeza daripada mesyuarat pertama JMB yang pernah saya hadiri. Kebanyakannya hangat dengan hal-hal yang berkaitan pengurusan diantara pemilik dan pemaju. Mereka saling tuduh menuduh dan seperti tiada penyelesaian seumpama "Ayam dan Telur". Kita selalu mendengar isu-isu seperti pemaju tidak memberikan perkhidmatan penyenggaraan yang memuaskan atau pemilik tidak menjelaskan caj penyenggaraan mereka. Dalam hal tersebut, peranan Pesuruhjaya Bangunan (COB) amat penting untuk menyelesaikan apa-apa masalah yang dibangkitkan oleh pemaju dan pemilik.

Saya mencadangkan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Pesuruhjaya Bangunan mengambil inisiatif yang lebih efektif untuk mendidik pemaju dan pembeli tentang Akta 663 dan Akta 318. Malah jadikan ia sebagai agenda nasional bagi membantu pemaju dan pembeli, jika kekurangan tenaga kerja bolehlah melantik agen atau wakil penerangan bagi membuat "road show" ke seluruh negara. Objektif utama ialah setiap pihak dapat berfungsi dengan lebih tersusun dan mengikut peruntukan undang-undang. Jika kita mahu rakyat hidup dalam kawasan perumahan yang harmoni dan bersih, kesedaran dan kefahaman tentangnya perlu didahului. Mungkin cadangan saya ini berguna.

Wasalam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Benar apa yang saudara katakan. Pengalaman saya selama 18 tahun mengendalikan bangunan bertingkat (strata) ini, kesalahan tidak boleh diletakan kepada Kerajaan sahaja. Yang lebih utama adalah Pemaju Perumahan tersebut yang menjalankan pembangunan harus peka dengan persoalan strata ini, market segmentation dan end user untuk produk tersebut. Ianya sukar tetapi mudah sekiranya kita mengetahui dari mana harus bermula.

kamarilham berkata...

Sdr AS Alias,
Salam,terima kasih kerana sudi memberikan catatan Sdr. Memang benar kata Sdr itu.Pemaju,pembeli dan ahli-ahli JMC wajar memikirkan titik permulaan tanggungjawab mereka dan dari situlah berputiknya keharmonian dan semangat kerjasama. Wasalam.