Ahad, 11 Januari 2009

Pengalaman Perit Yang Berharga


Salam,

Saya telah ditanya oleh seorang daripada 5 anak saudara tentang pengalaman pahit saya sebagai seorang pengurus. Saya lalu terfikir molek juga jika saya dapat berkongsi pengalaman ini bersama para pembaca. Mungkin berguna untuk dijadikan teladan atau dapat memberikan gambaran kepada para pembaca tentang pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku kepada seorang pengurus atau ketua syarikat.

Mengetuai sebuah syarikat sudah pasti menjadi cita-cita semua pengurus yang berimpian besar. Pertama, kerana mempunyai kuasa eksekutif dalam semua hal syarikat. Kedua, rasa dihormati dan ketiga imbuhan yang tinggi seperti gaji, elaun dan lain-lain faedah. Namun yang terlupa di hati saya ketika dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi kepada anak syarikat dalam sebuah "conglomerate" besar ini ialah gelagat politik organisasinya.

Satu pukulan buat saya ialah apabila permainan politik ini datangnya dari orang-orang di atas saya. Inilah keperitan yang harus saya terima. Memanglah, secara realitinya kita harus menyedari bahawa konflik dan politik organisasi adalah satu hakikat yang tidak dapat dielakkan. Malah boleh dikatakan gelagat politik boleh ditemui dalam semua organisasi. Bagi saya jika ia tidak berorientasikan aqidah yang benar hanya akan memusnahkan syarikat.

Gelagat politik yang saya hadapi ini ialah kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam syarikat yang menggunakan kuasa untuk memperolehi kehendak dan kepentingan seseorang. Dengan menggunakan kuasa ditangan mereka, anggota-anggota yang terlibat dalam kancah ini akan berusaha untuk meletakkan prioriti yang berlainan daripada matlamat dan misi syarikat. Diantara strategi-strategi mereka ialah:-
  • Membentuk pasukan sendiri dan mengenepikan mereka yang tidak mendatangkan kepentingan.
  • Mengawal maklumat-maklumat penting dan dinafikan kepada mereka yang tidak sealiran.
  • Mengawal agenda mesyuarat. Perkara yang dianggap akan merugikan mereka tidak diletakkan sebagai agenda penting.
  • Menubuhkan usahasama untuk memperlihatkan seolah-olah sesuatu keputusan itu diberikan oleh orang luar dan bukannya dibuat oleh orang dalam.
  • Mencari sokongan melalui pujukan.
Dalam keadaan begini adalah sukar bagi seseorang ketua syarikat untuk memacu organisasinya dengan cemerlang di landasan yang betul kerana sebarang keputusannya yang berlainan dengan kehendak kumpulan yang berkuasa akan dianggap sebagai "against the wind"

Namun begitu, saya anggap pengalaman perit ini sangat berharga kerana ia banyak mengajar saya tentang budaya ketidakadilan dan kerencatan akhlak manusia, tapi sayangnya ia berlaku dalam sebuah organisasi yang majoritinya orang Melayu. Secara positifnya saya juga dapat belajar cara untuk menghadapi gelagat politik organisasi seperti ini, dan dalam perkara-perkara bukan prinsip saya boleh mempertimbangkan kaedah menghadapinya dengan beberapa pendekatan seperti:-
  • Penjauhan (avoidance) iaitu mengenepikan konflik.
  • Mengalah (accomodation) iaitu mengutamakan kepentingan orang lain.
  • Bekerjasama (collaboration) iaitu mencapai kepentingan diri dan orang lain secara persefahaman bersama.
  • Bertolak ansur (compromise) iaitu mencapai kepentingan diri dan orang lain secara menang-menang.
  • Penguasaan (dominance) mengutamakan kepentingan diri dan mengenepikan kepentingan orang lain
Kesimpulannya, saya berpendapat permainan politik dalam sesebuah syarikat atau organisasi itu adalah suatu amalan yang negatif, walaupun ada pendapat yang mengatakan ia boleh jadi positif atau negatif. Bagi saya permainan ini tidak bersandarkan akhlak yang baik dan lambat laun akan menghancurkan syarikat.

Wasalam.

1 ulasan:

ME berkata...

Di tahun akhir pengajian saya, pensyarah saya pernah mengingatkan '.. di alam pekerjaan nanti, luruskan tindakan anda tetapi anda silap jika anda fikir semuanya lurus ..'. Di perjalanan alam pekerjaan, saya terlupa pesanan itu. Di fikiran saya, cuma 'not to get involve in office politic'.Rupanya, 'ia' akan tetap menyapa kita wpun kita tak nak. Betul .. pengalaman yg perit tapi berharga. Allah memberikan kita ujian for us to manage it. Alhamdulillah I grow throught my past challanges.