Salam,
Kejatuhan ekonomi dunia dan kesannya kepada ekonomi negara menjadi bual bicara para usahawan dan peniaga Melayu yang saya temui. Baru-baru ini semasa makan malam bersama teman-teman di sebuah restoran makanan laut di Tanjung Harapan, kami juga turut berbincang mengenainya.
Banyak pihak telah mengambil langkah kawalan bagi menghadapi kegawatan ini. Ada syarikat dan perniagaan mula mengecilkan operasi mereka. Saya dimaklumkan sebanyak 45% permohonan pinjaman PKS (Pinjaman Kecil & Sederhana) tidak diluluskan oleh bank-bank komersial. Ini bermakna akan ramailah usahawan dan peniaga Melayu terhimpit dek kekurangan modal pusingan.
Sebagai peniaga mahupun syarikat, kita tidak dapat lari daripada menghadapi situasi kekurangan tunai untuk menampung komitmen perniagaan. Namun itu tidak bermakna pengurusan kita lemah, sebaliknya ia adalah sesuatu perkara biasa dimana kita tidak mampu untuk meramal perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Langkah paling penting untuk menguruskan keadaan tersebut adalah dengan menjadi lebih peka dengan perkembangan semasa dunia dan tempatan kerana dengan cara ini kita dapat mengesan masalah tersebut seawal dan setepat yang mungkin.
Sekiranya anda menjangkakan perniagaan atau syarikat anda akan menghadapi kekurangan tunai dalam sesuatu jangka masa tertentu, ada beberapa langkah yang boleh anda lakukan seperti:-
- Memaklumkan pihak bank tentang rancangan perniagaan anda supaya mereka mengetahui dan diyakinkan dengan kemajuan perniagaan anda. Ini lebih memudahkan bagi pihak bank untuk membantu anda dengan kemudahan pinjaman.
- Berunding dengan para pembekal untuk menjadualkan semula bayaran, menangguhkan bayaran dan memohon pengurangan kadar bayaran. Ini mungkin lebih mudah sekiranya anda mempunyai hubungan yang baik dengan para pembekal.
- Mengeluarkan inbois tepat pada masanya dan membuat "follow-up" segera.
- Mengikuti akaun setiap pelanggan bagi memastikan mereka menjelaskan bayaran pada masa yang ditetapkan serta untuk mengelak masalah lambat bayar.
- Menawarkan diskaun kepada pelanggan yang membayar awal atau pada masanya.
- Mengambil tindakan lebih agresif terhadap penghutang bermasalah dan yang tidak membayar tunggakan.
- Mengenakan polisi "Cash on Delivery" kepada pembeli yang lambat bayar.
- Menetapkan pemeriksaan kredit kepada pelanggan baru.
- Mengawal sepenuhnya perbelanjaan syarikat.
- Semua pemiutang diletakkan di bawah pelan pembayaran.
- Berjimat dan memotong perbelanjaan operasi dan pentadbiran.
- Menjadualkan semua bayaran kecuali gaji pekerja.
Wasalam.
2 ulasan:
MRaffie
yang pentingnya, di saat kapal dilanda gelombang besar, jangan Nakhoda bertelingkah, sebab bukan masa menuding jari mencari & mencipta alasan penyebab gelombang, sebaliknya bermusyawarahlah dengan kelasi & anak2 kapal supaya sama2 berganding bahu sebab kedua2 pihak akan merasai risiko kejayaan atau kegagalan misi kapal.
Saya sangat bersetuju dengan anda, dan pengalaman nahkoda bertelingkah dengan anak-anak kapalnya memang pernah saya lalui dan sedang berlaku disebuah organisasi yang kita kenali.
Catat Ulasan