Isnin, 22 Disember 2008

Mencorak Disiplin dan Sumbangan Pekerja Melayu



Salam,

Lanjutan dari pendapat saya tentang pekerja Melayu dan disiplin, saya telah ditanya oleh dua orang teman, kaedah yang terbaik untuk memupuk disiplin dan sumbangan para pekerja. Sebenarnya, perkara ini telah banyak diperkatakan oleh mereka yang ahli dalam bidang pengurusan, samada melalui buku-buku ataupun dalam seminar-seminar yang berkaitan.

Saya lebih suka bercerita daripada pengalaman kerana itulah realiti sebenar yang saya ingin kongsikan. Bagi saya, menyemai dan memupuk disiplin serta sumbangan para pekerja haruslah mempunyai 3 ciri utama iaitu Kepimpinan, Budaya dan Dasar.

1. Kepimpinan
  • Stail kepimpinan dan pola pemikiran pemimpin adalah terutama. Seorang pemimpin syarikat perlu ada kejujuran, integriti dan pembaharuan diri yang berterusan. Pemimpin memberikan teladan. Pemimpin perlu mempertahankan nilai luhur yang baik dan merupakan keutamaan. Seorang pemimpin yang berkesan bukanlah orang yang popular atau disanjung, tetapi pemimpin yang mempunyai pengikut yang merupakan orang-orang yang mengerjakan hal yang betul.
2. Budaya
  • Ciri kedua yang perlu digerakkan ialah budaya syarikat. Pemimpin syarikat hendaklah mewujudkan satu amalan budaya kerja yang bersepadu dengan membentuk kesefahaman dan kesatuan matlamat. Ia harus digerakkan melalui semangat bekerja sebagai satu pasukan. Saya berpendapat bahawa yang menggerakkan syarikat ke tingkat yang lebih maju dan berdaya saing adalah digerakkan oleh pekerja yang bersemangat, bermotivasi, berjati diri yang sanggup berkorban tenaga dan fikiran mereka.
3. Dasar
  • Saya dapati, syarikat yang berdaya maju telah mengubah struktur mereka dari bersifat birokrasi kawalan kepada satu struktur yang lebih "simple dan flexible" dengan lapisan birokrasi yang semakin kurang. Pekerja dianggap sebagai aset yang bernilai tanpa mengira kedudukan, pangkat dan kelayakan mereka. Setiap pekerja mempunyai potensi dan kekuatan masing-masing. Pemimpin syarikat harus bertindak sebagai pemudah cara kepada para pekerja. Pemimpin syarikat juga perlu berusaha mencungkil dan mengilap segala potensi yang ada pada para pekerja mereka.
Kesimpulannya, jika anda seorang usahawan yang ingin melihat para pekerja anda berdisiplin dan mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada syarikat. Anda perlu melihat kembali stail kepimpinan dan dasar anda. Sebagai pemimpin anda perlulah berani membudayakan manusia lain secara visioner dan bermoral. Anda perlu menjadi guru dan sekali gus murid yang mahu belajar.

Wasalam.

1 ulasan:

unicorn berkata...

sedih sunggguh...bintang klasik pujaan.kuburnya entah dimana ,malah tidak diketahui bula tarikh lahir dan kematian....sungguh daif..alfatihah