Jumaat, 12 September 2014

Membina Keperibadian Anak-Anak yang Ceria




Wajah-wajah Elmyra yang periang dan ceria
Salam,

Dalam satu majlis 'lunch talks' yang saya hadiri baru-baru ini, seorang penceramah memberitahu, anak-anak yang ceria lebih bersedia untuk menatang diri mereka, lebih kreatif untuk mencuba hal-hal baharu dan memiliki jiwa yang sihat. Keperibadian yang ceria ini dapat dibina sejak anak-anak itu kecil lagi, apa yang utama ibubapa harus mewujudkan suasana yang bahagia kepada anak-anak. 

Dan itulah impian saya dan Isteri, supaya anak-anak kami memiliki keperibadian yang ceria. Kami mahu mereka mempunyai sifat percaya diri dan dapat menatang diri mereka untuk mengharungi cabaran hidup masa depan.

Maklumat dari program ini bagus, dan saya ingin kongsikan bersama pembaca beberapa tips untuk membina keperibadian yang ceria untuk anak-anak anda:

Menjadikan anak teman bermain

Ibubapa yang menyempatkan masa untuk bermain bersama anak-anak akan menimbulkan rasa gembira kepada anak-anak dan dapat menjalinkan hubungan yang erat bersama ibubapa mereka.

Menyanyi bersama anak-anak

Menyanyi bersama anak-anak lagu-lagu yang disukai mereka dapat mewujudkan suasana gembira dan kemesraan dalam keluarga.

Memberikan anak-anak pelukan

Memeluk anak-anak sebelum tidur malam dan sewaktu perasaan mereka tertekan akan membuat mereka tenang dan merasa dilindungi. Ia juga dapat meredakan emosi negatif mereka.

Mengucapkan Terima Kasih

Jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih apabila anda meminta bantuan atau meminta anak-anak melakukan sesuatu, kerana ucapan terima kasih itu mereka merasa diperlukan dan dihargai.

Saya sekadar berkongsi ilmu yang berguna ini untuk para pembaca. Mungkin boleh dijadikan amalan.

Wasalam.

Tiada ulasan: