Isnin, 23 Julai 2012

Pentingnya Keakraban Hubungan Ayah dan Anak


Salam,

Semalam, saya ada kelapangan waktu untuk menonton America's Got Talent 2012. Program 'reality tv' yang mencungkil bakat-bakat terpendam dari khalayak biasa 'talent amateurs and unknown performers'. Saya telah mengikuti program ini sejak tahun 2009 lagi.

Pada musim kali ini, saya amat tertarik dengan penyertaan pasangan anak-beranak, Maurice and Shanice Hayes, pemuzik jalanan yang telah memukau penonton dan juri. Komen salah seorang juri, Howard Stern 'I think every father in America watching is saying, this is the kind of relationship I want with my daughter, this is what I call perfection'. 'My dad is like my best friend' balas Shanice pula.

Dialog di atas menyentuh hati, lantas saya teringat kepada satu forum keibubapaan yang saya hadiri beberapa tahun dahulu, dimana hubungan seorang ayah dan anak-anak diperbincangkan. Molek juga saya kongsikan ilmu yang saya perolehi itu bersama para pembaca, mungkin berguna!

Ayah adalah ketua dan tonggak keluarga di mata anak-anak. Bagi mereka, ayah adalah watak dan pelaku utama kepada kecemerlangan keluarga, bukan hanya sekadar figura dalam rumah tangga. Menjadi seorang ayah perlu profesional, prihatin, menghormati dan mudah berkomunikasi. Kepimpinan seorang ayah harus hadir secara utuh dalam keluarga kerana ia secara nyata terkesan kepada psikologi anak-anak. Mereka perlukan model perilaku maskulin dari seorang ayah, terutamanya bagi seorang anak perempuan untuk memahami perilaku laki-laki bagi membantunya menghadapi pasangan hidupnya kelak.

Sebagai ayah, anggaplah anak-anak remaja kita sebagai teman dimana kita boleh berbagi fikiran dan bertukar-tukar pendapat. Anak-anak remaja masa kini lebih terdedah kepada dunia dengan pelbagai budaya, ilmu serta perilaku sosial remaja-remaja sebaya mereka. Mereka tahu apa yang dilakukan dan mahu diperlakukan sebagai orang dewasa. Seorang ayah perlu memahami dan menerima lingkungan sosial anak-anak, mungkin kadangkala memeranjatkan tetapi cubalah untuk menerima mereka dan jangan terlalu 'over protective' sehingga tidak dapat memahami kehendak anak-anak.

Peranan seorang ayah dalam mengasuh anak-anak adalah untuk mewujudkan rasa aman, kasih sayang dan persefahaman sesama anggota keluarga. Cintailah anak-anak dengan saksama kerana cinta anda membuat mereka sedar untuk tepat membuat pilihan hidup kelak. Banyak bersabar dan tahan diri untuk tidak mengeluarkan kata-kata keras ketika memarahi kesalahan anak-anak.

Akhirnya, cuba luangkan waktu bersama anak-anak kerana ia merupakan ikatan terbesar dalam menjalin keakraban di antara ayah dan anak. Cuba lakukan dan lihat hasil dan perbezaannya nanti. Jangan jadikan keterbatasan masa dan kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak dapat dekat dengan anak-anak.

Wasalam.

Tiada ulasan: