Sabtu, 24 Disember 2011

Pesanan Buat Puteh

Salam,

Semalam saya mendapat panggilan dari Puteh, anak saudara saya di kampung, memberitahu dia mendapat tawaran kerja di Pulau Pinang. Ini merupakan tawaran pekerjaan pertama beliau, satu pencapaian baru dalam perjalanan hidupnya.

Sayangnya, saya tidak dapat menghadiri majlis meraikan beliau pada minggu ini yang dianjur oleh keluarga dan rakan taulan kami. Kabarnya, ia diadakan di dusun keluarga yang di isi dengan doa kesyukuran serta sajian buah-buah durian, manggis dan rambutan.

Kata beliau, dalam keseronokan itu ada perasaan takut dan gementar, maklum sajalah inilah kali pertama beliau akan hidup merantau di tempat orang, berhijrah dari kampung ke kota besar pula. Dah tentu banyak pancaroba, sambungnya.

'Pak Ngah pun rasa begitu juga semasa kali pertama menjejakkan kaki di Kuala Lumpur' jawab saya. Lalu saya pun teringat kepada pesanan Emak ketika mengizinkan saya merantau ke ibu kota itu dan kini saya sampaikan pula kepada Puteh untuk amalan beliau seperti berikut:-

Jika diri ingin dipandang
Jauhi kata tinggi melambung
Hindari sifat ayam di kandang
Bertelur satu riuh sekampung

Jauhi sifat kelaku pandai
Angkuh dan sombong menepuk dada
Ingat petua penyu di pantai
Telur beratus tapi tak bangga

Bila diri ingin dikenang
Semailah benih di tengah sawah
Bawalah rasmi padi di ladang
Tambah berisi tunduk ke bawah

Bila ingin harum bak mawar
Jauhi sifat meninggi diri
Bisa ular tidakkan tawar
Walau menyuruk di batang berduri

Namun saya yakin dengan jati diri anak saudara itu, perisai dirinya kuat, tambahan pula telah di isi dengan didikan agama, pekertinya sebagai anak Melayu yang penuh adab dan kesopanan memang menjadi kebanggaan keluarganya dan kami. Dia boleh membawa dirinya kemana saja dengan keperibadian begitu. Insyaallah.

Wasalam.

Tiada ulasan: