Jumaat, 30 Mei 2014

Dyana Sofya: Pengamatan Saya

Salam,

Pengamatan saya, Dyana adalah bintang baru dunia politik negara yang mempunyai inspirasi dan keperibadian tinggi. Tambahan pula memiliki daya intelektual, pandangan ke depan serta kharisma sebagai pemimpin masa depan negara. Dia membuka perspektif baru kepada anak muda supaya berani keluar dari kebiasaan.

Pemimpin muda ini dilihat mempunyai iltizam politik yang jelas dan visioner. Seperti katanya, dia mempunyai impian untuk Malaysia yang lebih baik.

Sebagai sebuah negara yang terdiri dari berbagai kaum dan etnik. Maka, adalah diperlukan seorang pemimpin yang visioner untuk dapat menyatukan semua perbezaan dan untuk dapat menyatukan semua potensi yang dimiliki bangsa Malaysia.

Dyana Sofya tidak boleh diketepikan!

Kepada Dyana, samada menang atau kalah merebut kerusi di PRK-P76 Teluk Intan nanti, adalah sebuah ketentuan. Pantun ini mungkin molek di jadikan renungan.

Dari Sibu berakit galah
Ikan timbul di muara sungai
Kalau begitu kehendak Allah
Niat terkabul hajatpun tertunai

Benang emas  jarum suasa
Menjahit songket samping separuh
Pandai bijak indah berbahasa
Walaupun muda kuat pengaruh

Amar makruf nahi mungkar
Tugas utama sang pemimpin
Meski kerja sangat sukar
Selalu berfikir kepalapun dingin

Amanah rakyat yang dipegang
Dunia akhirat siap ditagih
Meski hanya sehalus benang
Jelaskan kemana ia dialih

Dahan kemuning biarlah patah
Asal mengkudu jangan punah
Pada zahir pemimpin disembah
Dalam batin rakyat memerintah

Sekadar sumbangan kecil saya untuk pemimpin muda ini. 

Wasalam.

Isnin, 26 Mei 2014

Kesantunan Berbahasa: Pendapat Saya

Salam,

Semasa saya kecil, Atuk dan Opah pernah menasihati saya, kakak dan juga adik, supaya jangan bercakap patah mematah, berbicara dengan cerca-mencerca, dan pantang mulut carut-mencarut. Hal ini dianggap kurang ajar kerana seringkali di salut dengan emosi dan kurang menghormati konteks. Pantang larang ini agar kami dapat berfikir secara rasional dan matang sebelum bercakap atau mengambil tindakan.

Begitulah cara orang Melayu mengajar anak bangsanya agar mengamal adab dan kesantunan semasa bercakap atau menyampaikan pendapat dan sebagainya. Adab resam Melayu mengajar agar anak bangsanya menjunjung tinggi nilai budaya Melayu dalam berbahasa mahupun perilaku.

Kesantunan berbahasa bermakna rasa hormat dan timbang rasa yang kita berikan kepada orang yang mendengar. Ia bererti kehalusan dalam kita menggunakan bahasa ketika berhujah samada kepada orang yang lebih tinggi tarafnya atau orang yang rendah kedudukannya daripada kita.

Baru-baru ini, kecoh kebiadapan berbahasa oleh seorang ahli politik yang kononnya pemimpin rakyat kerana mengeluarkan kata kesat kepada lawannya. Ini telah menyebabkan kemarahan dan protes pelbagai pihak. Ia merupakan reaksi atau tindakan semula jadi bila maruah dicabar.

Orang seperti ini, menampakkan keangkuhannya dan tidak menunjukkan kesopanan, lazimnya disebut sebagai orang yang tidak beradat, dan akan dipandang sebagai rendah akhlak dan budi pekerti.

Kesimpulannya, apabila kita ingin bercakap perlulah berfikir dan kaji kesannya kepada pendengar. Maklumat yang hendak disampaikan perlu mengandungi isi. Kita harus punya ilmu dan pengetahuan tentang perkara yang hendak dicakapkan. Jika tidak mampu untuk berfikir dan tidak mempunyai kematangan, tidak perlulah bercakap. Kadangkala, diam sebagai pemerhati lebih baik daripada sibuk mengutarakan pendapat yang tidak bernas.

Alahai, orang politik kita. Saya sekadar memberi pendapat. Renongkanlah.

Wasalam.

Sabtu, 24 Mei 2014

Mei 1.2014 : di Tasik Kenyir, Terengganu

Salam,

Pada cuti hari pekerja baru-baru ni, saya dan beberapa orang teman memilih Tasik Kenyir sebagai destinasi percutian kami pada tahun ini. Hasrat kami ke sana untuk menikmati keindahan alam semulajadi sambil memancing. Tasik ini mempunyai pemandangan lanskap yang mengagumkan dan merupakan tempat paling sesuai untuk merehatkan diri dari kesibukan hidup di kota.

Tasik Kenyir terletak di Kuala Berang, Terengganu. Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa 6 jam melalui Lebuhraya Pantai Timur melalui Jabor, Terengganu. Percutian kali ini disertai seramai 19 orang teman-teman karib saya termasuk 8 orang wanita.

Kami menggunakan pakej 'houseboat' kerana dirasakan lebih 'adventure' berbanding menginap di 'resort'. Kami memulakan perjalanan dari ibu kota pada jam 12 tengah malam dan tiba di Kuala Berang jam 6 pagi, serta memulakan acara kami dari jeti Pengkalan Gawi ke lubuk pancing di Sungai Cacing pada jam 9 pagi.

Percutian kali ini menyeronokkan kerana saya dapat berkumpul bersama teman-teman rapat yang kebanyakannya telah saya kenali lebih dari 20 tahun. Kami dapat berkongsi suka duka perjalanan hidup kami sepanjang tempoh tersebut dalam suasana santai dan ceria. Disamping bertukar-tukar maklumat tentang urusan perniagaan.

Disamping memancing, sempat juga kami berkhemah dan 'jungle tracking' menyusuri tebing-tebing sungai . Banyak juga ikan yang dapat kami naikkan seperti ikan Toman, Belida, Lampan, Baung, Patung, Tilan dan Temperas.

Pada hari terakhir, kami sempat berkunjung ke air terjun Lasir, berehat sambil mandi manda dengan air terjun yang dingin dan menyegarkan.

Kata seorang rakan wanita saya 'oh..damainya di sini dan nak datang sini lagi la' Ya, Tasik Kenyir memang menenangkan diri saya.

Wasalam. 

Rabu, 21 Mei 2014

PRK-P76 Teluk Intan: Pendapat Saya

Salam,

Beberapa hari ni PRK di Teluk Intan menjadi bualan hangat dikalangan teman-teman saya, terutamanya pendekatan parti DAP dipilihan raya kecil kali ini dan nama Dyana Sofea. Ada yang baik dan ada yang tidak baik, namun begitulah kancah berpolitik cara orang kita. Memuji dan menghina seperti tiada batasan adab dan resam lagi.

Bagi saya, meletakkan calon Melayu oleh DAP bukanlah perkara baharu, kerana sebelum inipun parti itu telah menampilkan calon-calon Melayu dalam beberapa pilihanraya, malah mereka telah mempunyai beberapa wakil Melayu di parlimen. 

Apa yang hangat pada kali ini ialah faktor Dyana Sofea, anak muda yang mewakili pemikiran generasi muda Malaysia yang mahu melihat diri mereka sebagai satu bangsa Malaysia yang harmoni dan tidak lagi ingin membezakan diri mengikut kaum dan fahaman perkauman.

Dyana menggambarkan watak generasinya yang mempunyai keberanian dan kebijaksanaan dalam menentukan nasib mereka sendiri dan bukannya angguk mengikut telunjuk pemikiran lama. Generasinya mampu dan tahu berfikir. Mereka dahagakan perubahan dan tahu boleh melakukannya.

Satu perkara lagi yang menarik tentang Dyana Sofea, ialah kematangan keluarganya, mereka saling menghormati dan mendokong diantara satu sama lain, walaupun berbeza wadah perjuangan politik. Inilah yang kita ingin lihat,  keharmonian dan kasih sayang dikalangan keluarga tetap utuh walaupun berlaku pertembungan fahaman dan semangat perjuangan.

Di pihak DAP pula, ia satu anjakan besar yang dapat memberikan 'political mileage' kepada mereka. Pertamanya, dari sudut pandangan orang Melayu terhadap DAP yang selama ini beranggapan sebagai parti dominan satu kaum sahaja. Strategi DAP kali ini boleh mengubah persepsi orang Melayu bahawa DAP memperjuangkan kebajikan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Keduanya, DAP dapat dilihat sebagai sebuah parti yang berani mempertaruhkan anak muda dan idealisme mereka untuk menunjukkan kepelbagaian sebagai sebuah parti untuk semua golongan dan kaum. Ia seharusnya membuka mata lain-lain parti politik di negara ini.

Kesimpulannya, masa depan Malaysia adalah milik generasi Dyana. Mereka perlu dididik dan diberi peluang serta pilihan dari awal lagi dalam menentu arah Malaysia yang harmoni dan cemerlang.

Saya sekadar memberi pendapat, mungkin salah mungkin juga benar.

Wasalam.

Selasa, 20 Mei 2014

Seronoknya Bercuti di Kota Kinabalu


Salam, 

Pada 8 April 2014 yang lalu, saya berkesempatan mengikuti seramai 22 orang rakan ke Kota Kinabalu Sabah, selama 5 hari. Tujuan mereka ke sana adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu dan bersantai di Pulau Manukan.

Manakala saya tidak dapat mengikut mereka mendaki kerana tidak membuat persediaan diri mahupun latihan kecergasan untuk memanjat gunung setinggi 4,095 meter dan suhu yang boleh mencecah ke 0 darjah selsius. Saya sekadar menikmati keindahan alam di Kinabalu Park, Kundasang, Mesilau, Poring dan Pulau Manukan.

Itulah pertama kali saya menjejakkan kaki ke negeri di bawah bayu ini. Saya lantas terpegun dengan keindahan dan kedamaian tempat-tempat yang saya lawati itu. Hati terus terdetik untuk kembali lagi ke Sabah. Tambahan pula, orang-orangnya amat peramah dan makanan Sabah memang lazat.

Di sana kami menginap di rumah penginapan yang saya berikan pujian 'excellence services', yang wajar saya sebutkan di sini iaitu Sutera Sanctuary Lodges, Mesilau Nature Resort dan The Manukan Island Resort.

Kesimpulannya, saya dah terpikat dengan negeri Sabah, dan pastinya akan kembali menjelajah ke daerah-daerahnya yang lain pula.

Jumaat, 16 Mei 2014

Bercucuk Tanam, Kegemaran Baru Saya dan Isteri


Salam,

Hai apa kabar! pada kali ini saya ingin berkongsi kegemaran baru saya bercucuk tanam pokok buahan. Ide ni datang secara kebetulan saja, semasa tu saya dan isteri singgah di gerai buah-buahan di Rawang, Johor.

Sambil membelek buah Nona dan Asam Gelugur, isteri saya mencadangkan supaya kami menanam pokok buahan ini supaya nanti, anak-anak kami dapat mengenal rupa pokoknya, lagipun buah-buah ini jarang sekali dilihat.

Pada awalnya, kami menghadapi dua cabaran utama, pertamanya kami tidak mempunyai tanah dan tinggal di bandar. Keduanya, kami tidak pernah bercucuk tanam atau mempunyai pengalaman. Langkah awal kami ialah mendapatkan kebenaran bapa mertua untuk bercucuk tanam di tanah beliau di Bkt. Kangkar, Johor. Kemudian mendapatkan maklumat melalui pembacaan serta minta nasihat pengusaha 'nursery' dan orang kampong.

Kami berpakat untuk menanam pokok-pokok buahan seperti Quinine, Durian Belanda dan Nona. Benihnya kami perolehi dari seorang teman di Jelebu, N.Sembilan.  Bermula daripada itu, kami jadikan bercucuk tanam sebagai satu daripada hobi pilihan. Namun ia bukanlah dalam konteks kegiatan pertanian, cuma kegiatan memanfaatkan ruang kosong di persekitaran halaman dan belakang rumah sahaja.

Apa yang kami dapati dari manfaat bercucuk tanam ialah ia boleh memberikan keseronokan dan menghilangkan stress, mengeluar peluh, malah mampu memperindahkan kawasan rumah dengan hijauan segar dari variasi tanaman. Paling menjadi kesukaan isteri ialah dapat lebih kerap pulang ke kampong.

Hobi ini cukup simpel, apabila melihat pokok yang di tanam tumbuh segar menghijau timbul rasa kepuasan dan rasa ghairah yang menyeronokkan.

Sayangnya, kami tidak mempunyai masa dan meminta emak dan bapa mertua membantu kami menjaga pokok-pokok tersebut seperti menyiram dan menabur baja. Namun bila ada ruang masa kami akan bergegas ke kampung melihat hasil tanam-tanaman kami itu.

Pada masa ini, tanaman kami telah berkembang, kami telah mempunyai pokok buahan seperti Asam Gelugur, Limau Purut, Jambu Air dan Limau Bali. Kesimpulannya, anak-anak kami dapat mengenal pokok buahan yang kini jarang dapat dilihat.

Itu saja yang dapat saya kongsikan pada kali ini. Mungkin berguna.

Wasalam.